TAHUKAH HEINER BIELEFELDT APA BERLAKU DI MALAYSIA?Faisal Tehrani
Dr Mohd Faizal Musa Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia
Soalan yang sering diajukan, adakah komuniti Syiah di Malaysia? Siapakah mereka, penganut Syiah di Malaysia? Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor Datuk Zainal Abidin Osman ketika menjawab soalan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (BN-Jorak) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bertarikh 27 September 2012 menjelaskan bahawa kerajaan Johor telah mengeluarkan fatwa melarang mana-mana umat Islam di negeri Johor berpegang kepada ajaran dan fahaman Syiah. Fatwa bertarikh 9 Januari 2012 itu diwartakan pada 16 Februari 2012. Larangan tersebut merangkumi aspek mengajar, menerbit apa-apa terjemahan melalui media, menjadi anggota atau pemimpin syiah serta membantu mengembang ajaran tersebut. Tindakan negeri Johor tersebut bukanlah suatu yang menghairankan, kerana sejak beberapa dekad yang lalu, minoriti agama khususnya penganut Syiah (Imamiyyah dan Ismailiyyah) telah mengalami pemomokan secara institusi dan negara (state and institutionalized stigmatization). Dalam disiplin sosiologi, sarjana hak asasi manusia telah pun mahir dengan ciri-ciri masyarakat yang mengalami pemomokan (stigmatization). Sekadar ingatan, pemomokan ialah apabila berlaku empat perkara; iaitu ketika i) ahli masyarakat yang dominan bertindak membeza dan melabel kumpulan tertentu; ii) pelabelan ini, dalam konteks ini adalah Syiah, ditanggapi sebagai ‘sesuatu yang tidak dikehendaki’; iii) seterusnya pihak atau sasaran yang dilabel mengalami pengasingan; iv) di mana pengasingan itu, membawa kepada pihak yang dilabel kehilangan status dalam masyarakat secara tidak adil (Bruce G Link dan Jo C Phelan, 2001: 363). Siapakah penganut Syiah di Malaysia? Adalah lebih baik, sekiranya mereka sendiri menjawab soalan ini. Dalam memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), wakil komuniti ini memberitahu: “Etnik Melayu yang berketurunan Aceh, Minang, Bugis, Jawa, (hanya beberapa contoh) dan umat Islam dari keturunan Siam-Ayuthya, Pakistan dan Arab terdapat sebahagian kecilnya adalah pendokong Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w Syiah sejak turun-temurun (daripada nenek moyang). Kami mempunyai bukti atau hujah akademik serta warisan sejarah keluarga yang mesti diperakukan menurut Piagam Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia bahawa kami adalah bermazhab Syiah atau mengamalkan fikah Ja’fari sebagai MAZHAB ASAL kami (Memorandum Kepada SUHAKAM 27 Disember 2010). Apakah dakwaan di atas benar? Tentu, ia tidak akan dapat dicapai dengan pemomokan. Ia hanya dapat ditentukan dengan komunikasi dua hala, dan kajian akademik yang mendalam. Tentu, bukan negeri Johor sahaja melakukan pemomokan terhadap minoriti Syiah. Selangor yang buat masa ini diperintah oleh pakatan pembangkang turut menafikan hak-hak asasi kaum Syiah. Bahkan, sejak dekad-dekad terdahulu penganut ajaran Syiah sering diancam dengan penahanan tanpa bicara di bawah Internal Security Act (Mohamed Azam Mohamed Adil, 2005: 175-176). Sebagai contoh, Abdullah Hassan, salah seorang pengikut Syiah Imamiyyah ditahan tanpa bicara di bawah ISA (Internal Security Act) antara 2 Oktober 1997 sehingga 31 Disember 1999. Beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada tahun 2001 di mana empat Pesuruhjaya SUHAKAM pada waktu itu; iaitu Harun Hashim, Zainah Anwar, Mehrun Siraj dan Hamdan Adnan menerima laporan beliau. Laporan Abdullah Hassan kepada SUHAKAM dilakukan berikutan Malaysia menahan enam lagi pengikut Syiah di bawah ISA antara 20 Oktober 2000 sehingga 5 Januari 2001 (Leong Kar Yen, 2001). Zainah Anwar selaku Pesuruhjaya SUHAKAM berjanji untuk menghubungi Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri memandangkan penahanan ahli masyarakat atas alasan kepercayaan dan agama adalah, meminjam ungkapan Zainah, ‘clear violation of Article 11 of the Federal Constitution which guarantees freedom of religion’. Pun dari tahun 2001, sehingga hujung 2012. Tiada perkembangan sihat berlaku yang memihak kepada minoriti Syiah di Malaysia. Secara keseluruhannya, Malaysia tidak memberikan kebebasan kepada penganut Syiah untuk beramal dengan fahaman Syiah yang dipilih atau diwarisi oleh mereka (Daily Times, 2011). Meskipun pemerintah Malaysia mendakwa penganut Syiah dibenar mengamalkan dan tidak diizin menyebar, hakikatnya, penganut fahaman ini mengalami gangguan emosi, psikologi dan sejak akhir-akhir ini ia menjadi bertambah fizikal khususnya di negeri Selangor. Insiden serbuan terhadap sebuah komuniti Syiah di Gombak pada 15 Disember 2010 misalnya dilakukan tanpa waran yang sempurna. Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor masuk ke dalam ruang solat mereka dengan berkasut, mencerca kaum wanita dan kanak-kanak, serta mengherdik kepercayaan mereka. Ini dilakukan dengan kehadiran media, yang bertujuan untuk mengaib mereka. Harus diingat, kumpulan penganut Syiah ini berhimpun sesama mereka secara rahsia, dan tidak mengganggu masyarakat sekeliling (Nota Keterangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, 2012). Pemomokan terhadap penganut Syiah berlaku secara meluas dan sedar, serta lebih menggusarkan dilakukan oleh pihak berwajib sendiri. Jabatan Hal Ehwal Agama Trengganu sebagai contoh mengarah masjid-masjid di Trengganu membaca khutbah Jumaat anti Syiah pada 23 September 2011. Hal yang sama terjadi di Selangor, sebagai rekod; khutbah Jumaat bertarikh 6 April 2012 menyeru umat Islam menghindari Syiah. Khutbah berjudul ‘Penyelewengan Syiah Di Malaysia’ tersebut menyatakan, antara lain ‘Syiah menafikan dan menolak al-Quran yang ada di tangan kita pada hari ini’. Khutbah ini adalah satu bentuk pemomokan yang jahat, memandangkan dalam masa yang sama, harus diingat seramai sepuluh orang qari bermazhab Syiah dari Iran dan Iraq telah memenangi Musabaqah Tilawah al-Quran Antarabangsa anjuran Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia sejak tahun 1961. Dakwaan dalam khutbah di Selangor itu ternyata mengelirukan dan berniat jahat terhadap minoriti ini, kerana jika Syiah ‘menafi dan menolak al-Quran’ maka apakah kedudukan sepuluh orang johan tilawah al-Quran tersebut? Apakah misalnya kedudukan johan musabaqah pdari Iraq ada tahun 2009, iaitu Osama Abdul Hamza, seorang muazzein di Haram Imam Husein, Karbala? (Dar al Quran al Kareem 1432 CE: 46). Atau apakah kedudukan akidah johan tilawah dari Iran 2006, Hossein Saeid Rostami Tabrizy? Jika khutbah Jumaat mahu jemaah mempercayai penganut Syiah ‘menafi dan menolak al-Quran sedia ada’ maka mengapakah qari berfahaman Syiah dibenarkan bertanding dalam Musabaqah Tilawah al-Quran Antarabangsa anjuran Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysa? Justeru, tuduhan Jabatan Agama Islam Selangor dalam khutbah Jumaat tersebut perlu dipandang serius kerana merupakan satu pemomokan yang berat. Secara umumnya khutbah-khutbah Jumaat yang dibacakan di seluruh Malaysia adalah berlesenkan fatwa Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia bertarikh 5 Mei 1996. Khutbah-khutbah tersebut memomok ajaran Syiah, menyebar kepalsuan tentang amalan penganut Syiah dan bertujuan untuk masyarakat mengasing, membenci dan menghindari mereka. Akhirnya, di hujung khutbah, kekeliruan terhadap siapa penganut Syiah disebar dan dikukuhkan sehingga mereka dibenci masyarakat lantaran salah faham yang dikemukakan. Kewujudan Syiah juga dikaitkan dengan pertumpahan darah, pemomokan ini menyebabkan penganut fahaman ini sering menjadi mangsa ketidakadilan. Lebih menjengkelkan, seorang pegawai rendah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia menyarankan ‘secara halus’ supaya fahaman Syiah diharamkan dan penganutnya diberi tindakan tegas. Menurut beliau, ‘sejarah Islam sendiri telah membuktikan bagaimana para khalifah Islam pernah mengharamkan, bahkan bertindak tegas terhadap pembawa pemikiran yang menyeleweng daripada akidah ASWJ. Sebagai contoh Ma’bad al-Juhani, pengasas mazhab Qadariyyah telah dihukum bunuh oleh Khalifah Abdul Malik pada tahun 80 Hijrah’ (Mohd Aizam Masod, 2010). Adalah menghairankan pandangan ekstrim, radikal, melampau, bernada ugutan dan berbau hasutan di atas boleh terlepas pandang. Ini menunjukkan pemomokan terhadap penganut Syiah telah terangkat secara serius, dari sebuah fatwa menjadi satu ancaman berupa apartheid. Larangan dan fatwa Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia bertarikh 5 Mei 1996 yang disebutkan di atas menimbulkan kekeliruan memandangkan Artikel 11 dalam perlembagaan Malaysia menyatakan setiap orang diberikan kebebasan untuk menganut dan mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing. Malah, Artikel 3 dalam perlembagaan Malaysia menyatakan Islam adalah agama rasmi dan agama-agama lain dibenarkan untuk diamalkan dengan aman dan harmoni. Sekiranya Syiah ditanggapi oleh pihak berkuasa sebagai ‘bukan agama Islam’, sebagai ‘salah sebuah agama yang tua’, penganut Syiah masih perlu diberikan hak-hak mereka; memandangkan Malaysia memberi ruang kepada pengamal faham Bahai dan Sikh. Makanya, satu dialog berkesan harus dijalin antara pihak Syiah dan pemerintah Malaysia. Pemomokan harus dihenti. Oleh kerana itu, dalam memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) salah seorang penganut Syiah, Haji Kamil Zuhairi menyatakan; ‘oleh kerana tiadanya dialog dan wacana di antara pihak berkuasa agama tempatan dengan komuniti kami (Syiah) di Malaysia maka telah berkembang kejahilan, kekeliruan dan salah anggap yang sangat besar terhadap kami. Fitnah yang disebarkan mengenai kami Pencinta Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w. (Syiah) di Malaysia mengakibatkan salah faham yang sangat buruk terhadap kami. Salah faham yang buruk ini mendorong pewartaan undang-undang yang tidak adil buat kami’ (lihat Memorandum Kepada SUHAKAM 27 Disember 2010). Ketika diminta mengenang kejadian serbuan Jabatan Agama Islam Selangor pada 15 Disember 2010 tersebut, Kamil Zuhairi (2011), secara pahit menjelaskan: The officers broke into and damaged our prayer hall, a private property where we were having special prayers for the Prophet Muhammad’s grandchildren. We were condemned, criticized, slandered and threatened in local media just because we practice what had been preached by our ancestors who were Shia and have lived in Malaysia for centuries. If other communities like Hindus, Buddhists, Christians, Sikhs and others have their right to worship and practice under the constitution, then why not us? Satu soalan yang sering diajukan adalah, bagaimanakah kedudukan Syiah dalam ajaran Islam? Adalah jelas Syiah merupakan satu mazhab dalam Islam. Hakikat ini tidak dapat dipungkiri Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia, Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri. Hal ini telah diakui oleh Malaysia menerusi Deklarasi Islamabad 2007 yang dikemukakan oleh Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC). Kerajaan Malaysia dengan diwakili oleh Syed Hamid Albar, Menteri Luar Negara ketika itu antara lain menyatakan kesanggupan untuk melindungi hak-hak minoriti agama dari mazhab Syiah. Pemomokan Syiah sebagai fahaman ‘sesat’ dan penganutnya wajar dipinggir tidak dipersetujui dalam Deklarasi Islamabad 2007 itu. Saya kira Malaysia perlu diingatkan kembali mengenai Deklarasi Islamabad 2007 di atas. Sarjana Tariq Ramadan (Shahanaaz Habib, 2012) menyelar keras permainan Sunni-Syiah yang dimainkan kerajaan Malaysia sebagai ‘dangerous game’; malah tatkala menyatakan kekesalannya, Tariq Ramadan menyifatkan polisi tersebut sesuatu yang berupa ‘diskriminasi’: This is not acceptable. There are differences and disagreements on some issues but we are both Muslims. We should not use this division to colonise’ our way of dealing with Muslims because that would be creating division and by creating divisions we are promoting discrimination and nurturing trouble.
|