|
Buruan 16 regu terjawab
- Apit kanan PBG, Anas Muhaimin (kiri) melibas bola pada perlawanan separuh akhir pusingan play-offmenentang MPSJ.
[url=]<[/url] 1 / 1 [url=]>[/url]
PENCARIAN 16 regu terbaik dari empat zon termasuk pusingan play-off kini telah terjawab dengan Stadium Tiitiwangsa, Kuala Lumpur bakal menjadi penentu kejuaraan sebenar hujung minggu ini.
Mazatech A, ATM F, InstaPutra, PDRM D, Bukit Putra, Jaguh Kampung Penang A, Bukit Putra C dan Risda, antara pasukan yang layak secara automatik hasil kemenangan peringkat zon (Timur, Utara, Selatan dan Tengah).
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) A, Petronas Batu Gajah (PBG), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Bentara-MAS, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Hanelang A, Kerinchi Club B dan Gastep B melengkapkan 16 pasukan terbaik.
Kesemua 16 pasukan ini akan berentap Sabtu ini, dengan empat kumpulan dibahagikan bagi merebut dua kedudukan setiap kumpulan yang bertanding pada aksi final keesokan harinya, bagi memburu gelaran Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) 2014.
Peluang kedua
Langkah Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memperkenalkan sistem play-off bagi regu yang menduduki tempat ketiga dan keempat pada saingan zon, memberi peluang kedua buat peserta merebut slot kejohanan akhir.
Buktinya, peluang pusingan play-off hujung dimanfaatkan sepenuhnya regu untuk (ATM) A, PBG, MPSJ, Bentara-MAS, PKNS, Hanelang A, Kerinchi Club B dan Gastep B.
Pusingan play-off STL hujung minggu lalu, membawa tuah buat ATM A apabila muncul juara selepas menewaskan PBG pada perlawanan akhir.
MPSJ pula, menduduki tempat ketiga dengan menewaskan Bentara-MAS tatkala kesemua empat pasukan ini, beserta empat lagi pasukan yang kecundang di suku akhir iaitu (PKNS), Hanelang A, Kerinchi Club B dan Gastep B mengesahkan kemaraan ke pusingan Grand Final.
Lambat Panas
Pada perlawanan akhir, ATM A dibarisi Hairul Hazizi, Saiful Bajuri dan Che Azroi Che Aziz, mempamerkan aksi bertenaga untuk menundukkan trio muda PBG, Meor Zulfikar, Shohibul Fadillah dan Anas Muhaimin dengan keputusan 21-16, 21-12.
Bagi Jurulatih ATM A, Rashidi Nordin, barisan pemainnya ternyata memulakan aksi dengan kurang bertenaga pada awal perlawanan sebelum mempamerkan aksi sebenar.
“Macam biasa, pada set pertama kita terpaksa mengejar dari belakang setelah ketinggalan jauh. Di peringkat awal permainan, pemain lambat panas, kemudiannya berjaya memberi tekanan kepada mereka dan memaksa lawan melakukan kesilapan demi kesilapan.
“Kemenangan ini adalah pembakar semangat kepada kami untuk persiapan menghadapi Grand Final,” katanya.
Raih sokongan
Sementara itu, MPSJ yang diperkuatkan pemain kebangsaan, Idham Sulaiman, Syazwan Dahlan dan Arif Busu pula, menewaskan Bentara-MAS dalam pertarungan tiga set, dengan keputusan 21-18, 14-21, 21-15.
Perlawanan yang berlangsung di hadapan hampir 300 peminat sepak takraw tanah air, turut disaksikan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail.
sinar harian
|
|