Ibu hamil mudah terdedah dengan ancaman toksoplasmosis. - Gambar hiasan
Selama ini ramai yang beranggapan penyakit toksoplasmosis hanya berlaku kepada pembela kucing kerana dikenali sebagai penyakit bawaan kucing. Sedangkan terdapat pelbagai lagi cara penularan yang lain boleh berlaku secara langsung dan mengakibatkan pelbagai risiko kepada kesihatan tubuh badan manusia.
Toksoplasmosis berpunca daripada sejenis parasit di dalam sel, toxoplasma gondii yang boleh menjangkiti manusia dan haiwan bertulang belakang, berbulu, dan berdarah panas. Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi Makmal Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Tunku Shahrul Anuar Tunku Ahmad Basri, parasit ini bersifat zoonotik kerana walaupun berasal daripada haiwan boleh juga menyebabkan penyakit kepada manusia melalui tiga fasa hidup, iaitu wujud dalam bentuk oosista, takizoit, dan sista tisu.
“Parasit ini boleh mengalami dua proses pembiakan iaitu seksual dan aseksual (reproduksi aseksual terjadi ketika sebuah sel tunggal membelah membentuk dua sel anak yang secara genetik sama dengan sel induk). “Apabila parasit ini berada di dalam badan kucing, haiwan tersebut menjadi perumah definitif dan parasit ini juga memerlukan perumah perantara untuk meneruskan proses hidupnya seperti haiwan bertulang belakang dan manusia.
“Parasit ini tidak membawa apa-apa jangkitan kepada kucing tetapi parasit yang menyerang perumah perantara memberi kesan yang amat besar. “Terdapat lebih 350 spesis vertebrata yang boleh menjadi perumah perantara tetapi yang paling kita titikberatkan adalah haiwan seperti tikus, burung, ayam, itik, lembu, khinzir, dan kambing kerana kita boleh mendapat jangkitan toksoplasmosis secara terus atau melalui apa yang kita makan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Teknologi Makmal Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan UiTM Puncak Alam, baru-baru ini.
Ujarnya, toxoplasma gondii yang membiak di dalam usus kucing akan dikeluarkan melalui najisnya yang mengandungi oosista dan kitaran hidupnya adalah selama setahun dalam keadaan tanah yang lembab dan teduh. Terdapat kajian mengatakan lipas dan lalat menjadi vektor mekanikal apabila disebarkan secara tidak sengaja kepada makanan dan meningkatkan lagi risiko untuk sesiapa sahaja dijangkiti.
Secara umumnya, 25 peratus daripada penduduk dunia dijangkiti toksoplasmosis dan di Malaysia pula, pemeriksaan darah yang dilakukan kepada golongan sihat menunjukkan sebanyak 30 hingga 40 peratus didapati positif dengan tanpa disedari.
|