|
KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melancarkan Malam Likur@Dataran Merdeka, semalam.
Tengku Adnan berkata pencahayaan sebanyak 1,000 pelita yang menggunakan mentol dan bateri itu akan dinyalakan mulai malam ini sehingga 17 Julai, dari 7 malam sehingga 12 tengah malam.
"Tujuan pelita ini dinyalakan adalah untuk memeriahkan dan mewarnai suasana pada waktu malam di Kuala Lumpur serta ia juga sebagai simbolik kegembiraan warga kota menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri dan pada masa yang sama sebagai daya penarik kepada pelancong," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyalakan suis lampu pelita di tengah-tengah Dataran Merdeka malam ini.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Pengarah Urusan Mydin Holdings Sdn Bhd (Mydin Holdings) Datuk Ameer Ali Mydin.
Mydin Holdings menyumbangkan sebanyak 1,000 unit pelita kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk acara Malam Likur@Dataran Merdeka.
Tengku Adnan berkata, Malam Likur@Dataran Merdeka itu adalah anjuran Unit Pelancongan DBKL sebagai antara aturcara dalam Pelan Induk Pelancongan Kuala Lumpur 2015-2025.
"Dalam masyarakat Melayu terutamanya di luar bandar dan kampung, pelita dinyalakan dalam bulan Ramadan dan malam 1 Syawal, ia juga digunakan untuk menyambut kepulangan saudara-mara dan adik-beradik ke kampung halaman untuk meraikan bersama-sama Hari Raya Aidilfitri," katanya.
Ia juga bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadan sebagai bulan ibadah menjelang malam-malam terakhir menjelang bulan Syawal, katanya.
Selepas majlis berbuka puasa, Tengku Adnan bersama-sama warga kota menunaikan solat Maghrib, Isyak serta solat sunat Tarawih berjemaah di Dataran Merdeka. - Bernama
|
|