CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2164|Reply: 0

[Lain-Lain] Beraya Di Kampung, Bermalam Di Hotel

[Copy link]
Post time 14-7-2015 09:00 PM | Show all posts |Read mode
KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Balik kampung sudah menjadi tradisi rakyat Malaysia setiap kali tiba musim perayaan utama seperti Aidilfitri, Aidiladha, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas.

Umat Islam yang akan menyambut Aidilfitri, dijangka pada Jumaat ini, juga sudah mulai berpusu-pusu pulang ke kampung halaman, ingin bertemu sanak-saudara dan meraikan hari bahagia Syawal.

Ada warga kota yang sudah beberapa generasi tinggal di bandar-bandar besar dan sudah tidak ada keluarga terdekat mahupun rumah di kampung, tetapi masih pulang ke kampung untuk beraya.

Justeru, bilik-bilik hotel menjadi pilihan untuk bermalam.

Bernama mengadakan tinjauan di beberapa buah hotel untuk mengetahui sama ada menginap di hotel semasa musim perayaan sudah menjadi trend kepada warga kota yang pulang berhari raya di kampung.

FAKTOR KESELESAAN

"Setiap Aidilfitri dan Aidiladha hotel kami sibuk dengan warga kota yang balik beraya," kata Pengarah Pemasaran dan Jualan, Hotel Grand River View di Kota Bharu, Kelantan, Raja Rusmin Datuk Raja Mahmud.

"Ada yang tinggal di hotel kerana keselesaan bilik berhawa dingin dan air panas di bilik air kerana terbiasa begitu di bandar," katanya.

Berfikiran positif, ada yang terpaksa tinggal di hotel kerana ramai sanak-saudara pulang beraya serentak, membuatkan mereka terpaksa menyewa hotel.

Menurut Raja Rusmin, kadar penghunian pada musim raya boleh mencapai 60 ke 70 peratus, berbanding hari biasa kira-kira 50 peratus sahaja manakala penuh semasa musim cuti sekolah.

Sementara itu, Pengurus Besar Primula Beach Hotel, di Kuala Terengganu, Terengganu, Mazuki Husin memberitahu sejak enam tahun lalu lebih ramai warga kota yang balik beraya di kampung tetapi bermalam di hotel.

Mengakui keselesaan sebagai faktor utama, beliau berkata: "Lebih-lebih lagi jika rumah di kampung tiada akses Internet atau anak-anak tidak selesa dengan saudara-mara yang ramai."

Lazimnya, keluarga berkenaan akan mendaftar masuk sehari atau dua hari sebelum hari raya dan keluar dua hari selepas raya.

"Setiap pagi mereka akan balik ke kampung dan hanya kembali (ke hotel) pada waktu malam," kata Marzuki.

ADA SAUDARA, TIADA RUMAH

Di Pulau Pinang, Pengarah Operasi Boustead Hotel & Resort Sdn Bhd Datuk Mokhtar Khir berkata The Royale Bintang Penang, yang dikendalikannya, memang penuh pada musim raya kerana "orang Pulau Pinang balik beraya".

"Mereka tinggal di hotel dan selalunya bercuti agak lama. Selepas beraya dengan sanak-saudara mereka akan makan angin dan buat aktiviti sendiri," katanya.

Turut mendapat sambutan ketika musim raya adalah Homestay Lonek, di Batu Kikir, Negeri Sembilan.

Pengerusi Homestay Badariah Ahmad memberitahu Bernama rumah-rumah di Homestay Lonek ditempah warga kota yang pulang bercuti di kampung itu.

"Kebanyakan mereka sudah tidak punya ibu bapa mahupun rumah keluarga. Namun kerana mahu beraya di kampung, mereka sewa homestay agar tidak menyusahkan sanak-saudara," jelasnya.

Beliau memuji ibu bapa yang membawa anak-anak pulang beraya di kampung dan berharap tradisi itu tidak akan luput ditelan zaman.

Umumnya hubungan kekeluargaan masih menjadi keutamaan dan penting bagi kebanyakan rakyat Malaysia walaupun zaman dan cara hidup telah berubah.

SENTIASA BERKASIH SAYANG

Tidakkah tindakan bermalam di hotel boleh mengundang rasa kecil hati keluarga?

Menjawab persoalan itu, tokoh motivasi dan inspirasi Prof Dr Muhaya Mohamad berkata hubungan dalam keluarga hendaklah disaluti dengan emosi kasih sayang, memahami serta berlapang dada dan bukannya diselubungi dengki, marah atau beremosi negatif.

"Maknanya jika hubungan dengan ibu bapa di kampung selalu baik, sentiasa berkasih sayang dan prihatin, memberi wang bulanan, sering mengunjungi atau sekurang-kurangnya menelefon mereka, pastinya mereka akan faham (jika seseorang itu bermalam di hotel)," jelas beliau.

Dr Muhaya mengakui kewajaran tinggal di hotel sekiranya rumah ibu bapa tidak cukup ruang untuk menampung kepulangan anggota keluarga serta sanak-saudara terdekat dalam satu masa.

"Bukan saja masalah untuk tidur, malah nak jaga aurat, beribadat dan gunakan bilik air pun susah. Tentu ibu bapa akan faham jika tinggal di hotel kerana memudahkan adik-beradik lain tinggal di rumah," jelasnya.

Namun, beliau juga meminta ibu bapa berbincang dengan anak-anak sebelum pulang ke kampung. "Lupakan katil empuk, hawa dingin dan keselesaan rumah sendiri untuk seketika. Berkorbanlah sedikit demi membahagiakan hati nenek dan datuk, untuk beberapa hari sahaja," nasihat Dr Muhaya kepada ibu bapa untuk memujuk anak-anak.

Meraikan hari Lebaran dengan balik kampung bukan hanya untuk makan masakan nenek, atau duit raya atau bergembira sahaja, tetapi lebih daripada itu adalah untuk mengeratkan silaturahim dan bersedekah sesama adik-beradik.

"Sewajarnya anak-anak menyediakan kemudahan dan keselesaan untuk ibu bapa di kampung. Ingatlah betapa mereka cuba memberikan keselesaan ketika memelihara kita semasa kecil dulu," katanya.

Mengajak umat Islam supaya menjadikan Aidilfitri yang lebih bermakna dengan mengetepikan seketika dunia maya, beliau berkata di kesempatan waktu itu tumpukanlah kepada realiti sekeling untuk saling berinteraksi, bertanya khabar atau melakukan aktiviti-aktiviti bersama keluarga.

"Gadget (telekomunikasi) digunakan untuk bergambar masukkan dalam kumpulan WhatsApp bagi ahli keluarga yang tidak balik bercuti di kampung. Itu saya setuju," ujarnya.

BAIK PULIH RUMAH KAMPUNG

Sementara itu, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Fadlan Mohd Othman mengakui memang pelik jika balik kampung tetapi tinggal di hotel, apatah lagi ketika Hari Raya.

"Bagaimanapun kita kena tengok isu ini dalam aspek positif dan negatif," katanya.

Tidak menafikan tindakan itu kurang sopan dan mementingkan diri, beliau menegaskan, ibu bapa tidak sewajarnya mengikut kehendak anak-anak yang jijik untuk tinggal di rumah kampung yang hanya berlantaikan simen atau kayu.

"Sesebuah keluarga mungkin perlu menyewa dua atau tiga bilik hotel untuk sekurang-kurangnya dua malam. Mereka sepatutnya tinggal di rumah kampung kerana ia hanya untuk beberapa hari saja," katanya.

Beliau berkata adalah lebih menguntungkan jika kos sewa hotel agak tinggi itu digunakan untuk membaik pulih rumah kampung atau menyediakan kemudahan seperti memasang pendingin hawa atau menaik taraf bilik air supaya lebih selesa pada musim raya akan datang.

Bersetuju jika terpaksa menyewa bilik hotel disebabkan rumah di kampung kecil untuk menampung kehadiran adik-beradik dan sanak-saudara serentak, Fadlan berkata mereka hendaklah memastikan lebih banyak masa diluangkan bersama keluarga.

Beliau memuji warga kota yang masih pulang ke kampung walaupun ibu bapa sudah meninggal dunia malah sanggup menyewa tempat penginapan semata-mata mahu beraya dengan saudara-mara.

"Eloklah dipelihara silaturrahim, berlapang dada dan saling bermaaf-maafan sempena Hari Raya," kata Fadlan, yang juga Yang Dipertua Himpunan Ulama Muda Malaysia.

-- BERNAMA




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Hari Raya Aidilfitri


    ADVERTISEMENT



     

    ADVERTISEMENT


     


    ADVERTISEMENT
    Follow Us

    ADVERTISEMENT


    Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

    23-11-2024 06:36 PM GMT+8 , Processed in 0.078197 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

    Powered by Discuz! X3.4

    Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

    Quick Reply To Top Return to the list