View: 2449|Reply: 0
|
[Lain-Lain]
Duit raya: Sedekah atau beban?
[Copy link]
|
|
KUALA LUMPUR - Tradisi pemberian duit raya yang sepatutnya sebagai sedekah untuk menggembirakan kanak-kanak, kini menjadi beban kepada segelintir masyarakat apabila jumlah duit yang diberi terpaksa mengikut trend semasa, dan bukannya kemampuan.
Ada tuan rumah yang tidak menghulurkan duit raya atau jumlah yang diberikan kecil, akan berasa bimbang, sunyilah rumahnya kerana tiada kanak-kanak mahu berkunjung.
Penjawat awam Norazimah Aziz, 32, mengakui dia dan suami merasa terbeban memikirkan peruntukan untuk duit raya, ditambah dengan kos persiapan seperti membeli pakaian, biskut raya dan lain-lain yang memerlukan perbelanjaan tinggi.
"Pemberian duit raya suatu amalan bersedekah untuk menambah pahala, namun ia bertukar menjadi tidak ikhlas apatah lagi kini kadar duit raya mengikut trend semasa.
"Jika 10 tahun dahulu pemberian duit raya RM1 sudah cukup membuatkan kanak-kanak tersenyum lebar, kini jumlah yang sama menyebabkan ada yang mencebik muka," katanya kepada Bernama.
Menurutnya Aidilfitri tahun ini dia dan suami memperuntukkan sebanyak RM300 untuk duit raya. Norazimah tidak mahu memberi duit raya terlalu sedikit kerana bimbang dikatakan tidak berkemampuan atau kedekut.
Mengulas perkara itu, penceramah bebas Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata, hukum memberi duit raya apabila tibanya Aidilfitri dalam Islam adalah harus, namun hukum memberi sesuatu yang halal di sisi syarak kepada seseorang adalah sunnah.
"Bagaimanapun hukum ini boleh berubah kepada haram sekiranya terdapat niat untuk menunjuk kekayaan sehingga ada yang sanggup berhutang.
"Untuk itu, apabila kita niat untuk bersedekah maka bagilah duit raya sekadar yang termampu," katanya.
Beliau berkata, jika tidak berkemampuan memberikan duit raya, tuan rumah boleh menggantikannya dengan menyediakan makanan dan minuman sedap selain memberi buah tangan atau hadiah kepada kanak-kanak seperti gula-gula, coklat dan biskut.
Sekiranya terlalu ditekankan dengan pemberian duit raya, beliau bimbang ia memberi kesan negatif kepada kanak-kanak dengan menjadikan mereka bersifat materialistik.
Justeru, Wan Akashah berpendapat ibu bapa perlu mendidik anak-anak mengenai pahala ziarah pada Hari Raya yang lebih besar nilainya berbanding wang ringgit.
"Bawalah anak-anak melawat saudara-mara tidak kira yang memberi (duit raya)atau tidak.
"Kita tidak mahu anak-anak memberi fokus kepada mendapat duit raya semata-mata. Lama-kelamaan keikhlasan hubungan sesama insan semakin terhakis dengan nilai kebendaan lebih daripada semangat kekitaan," katanya. - Bernama
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Hari Raya Aidilfitri
|