|
Anak menangis sememangnya membuatkan hati ibu gundah. Jika dahulu kita lihat para ibu bersusah payah menidurkan anak mereka dengan cara menepuk bayi atau meletakkan mereka di dalam buaian.
Banyak tenaga yang digunakan bagi memastikan buaian sentiasa bergerak dan si comel kekal tidur lena. Kini, para ibu boleh tersenyum kerana teknologi membantu meringankan beban mereka dengan ciptaan buaian elektrik.
Tidak dinafikan buaian ini dapat membantu dan memudahkan kerja si ibu. Tetapi tahu kah anda buaian jenis ini tidak sesuai digunakan oleh anak anda. Ramai pakar kesihatan dan pakar penjagaan bayi menyarankan supaya tidak menggunakan buaian bagi menidurkan anak anda.
Ini kerana ia mengundang pelbagai risiko seperti kecederaan kepala pada kanak-kanak akibat terjatuh dari buaian semasa mereka tidur, bermain atau menyusu. Bersama SDK, kita kongsi antara risiko yang mungkin dihadapi oleh bayi yang menggunakan buaian elektrik ini:
1. Kebarangkalian bayi terjatuh atau dihempap spring/mesin
Kain yang digunakan untuk meletak bayi hanya disangkut pada sebatang besi penyangkut yang dihubungkan pada spring atau mesin automatik buaian. Bayangkan jika salah satu daripadanya rosak, bayi anda mungkin terjatuh atau dihempap oleh peralatan tersebut. Situasi mungkin bertambah buruk jika bayi terkena renjatan elektrik.
2. Tidak menyokong struktur tulang belakang bayi
Buaian secara saintifiknya tidak memberi sokongan penuh pada tulang belakang bayi. Jika anda perhatikan dengan teliti, bahu bayi selalunya kelihatan membongkok ketika di dalam buai.
3. Bayi lemas
Bagi bayi yang mula belajar memusingkan badan, mungkin memusingkan mukanya ke bawah sewaktu sedar ataupun dalam keadaan tidur. Ini boleh menyebabkan bayi lemas kerana kebanyakan bayi tidak pandai memusingkan kembali badan mereka.
4. Sindrom gegaran otak bayi
Enjutan buaian boleh mengakibatkan bayi anda mengalami sindrom gegaran otak kerana ubun-ubun bayi yang berusia kurang daripada 18 bulan masih lembut.
5. Menggoyang bayi dengan kuat
Enjutan perlahan mungkin tidak berbahaya pada bayi. Namun, dengan lantunan spring buaian (pergerakan atas bawah) seolah-olah sama perihalnya dengan melambung bayi anda ke udara. Ini juga mampu mengundang sindrom gegaran otak pada bayi.
mingguanwanita
|
|
|
|
|
|
|
| |
|