View: 1791|Reply: 0
|
KBS tak tolak pinda Akta Pembangunan Sukan 1997
[Copy link]
|
|
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) tidak menolak kemungkinan meminda Akta Pembangunan Sukan 1997 bagi memberi lebih kuasa
kepada sesetengah agensi di bawahnya seperti Pesuruhjaya Sukan untuk mengambil tindakan tegas ke atas sesebuah persatuan sukan kebangsaan.
Menteri berkenaan, Khairy Jamaluddin berkata, kuasa yang diperuntukkan kepada Pesuruhjaya Sukan umpamanya adalah terhad iaitu hanya menggantung atau membatalkan persatuan sukan kebangsaan sehingga memaksa beliau campur tangan dalam menyelesaikan sesetengah isu sukan di negara ini.
"Kita cuba memuktamadkannya. Saya harap dapat bentangkan pindaan Akta Pembangunan Sukan di Dewan Rakyat awal tahun 2017. Saya akan cuba awalkan lagi tapi oleh kerana banyak rang undang-undang yang ada pada Jabatan Peguam Negara, kita kena tunggu giliran kita (KBS)," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan Undang-Undang Sukan bertemakan 'Raise the Game', anjuran firma guaman Richard Yee & Yip di Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA) di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Panel Penasihat Sukan sedang mempertimbangkan cadangan daripada KLRCA untuk menjadi pusat timbang tara dalam membincangkan mana-mana pertindihan yang wujud di kalangan Persatuan Sukan Kebangsaan selain menjadikan Malaysia sebagai pusat timbang tara sukan.
"Kita hendak meletakkan Malaysia sebagai sebuah hab untuk undang-undang sukan. Mungkin menerusi pusat timbang tara yang dicadangkan oleh KLRCA.
"Sebagai contohnya, kalau berlaku perbalahan dan sebagainya dalam sukan, inilah medannya (Pusat Timbang Tara) namun mereka boleh datang kepada menteri sekiranya tiada kata putus," katanya.
Khairy turut memuji firma guaman berkenaan yang menganjurkan persidangan berkenaan yang menjadi platform terbaik dalam membincangkan isu berkenaan undang-undang sukan serta industri sukan di kalangan penggiat sukan di negara ini.
Terdahulu dalam ucaptamanya, Khairy berkata, banyak pihak melihat beliau sendiri mempunyai kuasa untuk mengubah kepimpinan persatuan sukan kebangsaan tertentu apabila mereka kecewa dengan pencapaian atlet negara dalam sukan
antarabangsa terutamanya pasukan bola sepak negara.
Sebaliknya, beliau berkata, kuasa yang terletak dalam kementeriannya hanya untuk menyelesaikan pertikaian yang wujud antara persatuan sukan kebangsaan dan bukan campur tangan dalam pentadbiran mereka.
"Kami tidak mempunyai kuasa untuk menentukan dan menukar kepimpinan mana-mana persatuan sukan (di negara ini). Ini adalah pemisahan kuasa yang termaktub dalam konvensyen sukan di peringkat antarabangsa," kata Khairy. - Bernama
|
|
|
|
|
|
|
| |
|