KUALA TERENGGANU - Seorang pemilik kedai gambar di Gong Badak, Kuala Nerus, mengambil kesempatan mencabul seorang gadis semasa sesi temu duga di premisnya awal tahun lalu, dihukum penjara tiga tahun dan empat bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam.
Hukuman dibuat selepas tertuduh, Hatif Kazimi Ngah, 30, dari Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal, Kuala Nerus, didapati bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mencabul kehormatan mangsa, Norzila Aziz, 23, di dalam kedainya, di Gong Badak, Kuala Nerus, lebih kurang jam 2.30 petang, 1 Januari 2016.
Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana daripadanya, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Minhad di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim. Sebelum ini, akhbar ada melaporkan seorang gadis dipercayai dicabul pemilik sebuah kedai gambar sewaktu menghadiri temu duga di premis itu di Kuala Nerus.
Mangsa yang ingin mengisi jawatan kosong sebagai jurugambar yang ditawarkan kedai terbabit dipercayai dicabul di dalam sebuah bilik yang dijadikan studio rakaman gambar, kononnya untuk menguji kepakaran mangsa dalam fotografi.
Semasa kejadian, hanya mereka berdua dalam bilik berkenaan sebelum suspek mengarahkan mangsa merakam gambar menggunakan kamera disediakan dan ketika itu suspek dikatakan mencabul mangsa.
|