Biasanya kalau pergi ke salon untuk menggunting rambut, pasti kita minta untuk mencuci rambut sebab boleh nikmati urutan sekali, bukan?
Jika dilayan urutan itu, boleh terbuai dek mimpi jugalah terutama jika memang sedang tidak enak badan.
Foto: The Huffington Post
Di Dresden, German, terdapat sebuah salon dinamakan Haar Mode Team yang turut menawarkan perkhidmatan mengurut leher khas buat pelanggan mereka.
Apa yang uniknya mengenai urutan leher ini adalah pelanggan tidak akan diurut tukang urut, sebaliknya seekor ular dilatih untuk memberikan perkhidmatan tersebut! Mesti ada yang tengah kejang-kejang otot menahan geli sebab terasa-rasa ada benda melingkar di leher sendiri.
Salon ini menggunakan Monty, seekor ular sawa untuk memberikan urutan leher kepada pelanggan, dalam masa sama menarik minat pelancong serta penduduk tempatan untuk mengunjungi salon berkenaan bagi mendapatkan urutan unik itu.
Pelanggan tidak akan dicaj bagi perkhidmatan urutan, sebaliknya mereka boleh menderma sebagai dana untuk membeli makanan reptilia terbabit.
Foto: Ruptly
Denyutan tubuh Monty yang melingkar di leher pelanggan menggantikan urutan tangan manusia. Pelanggan tidak perlu khuatir kerana Monty tidak berbahaya, malah ia sangat jinak dan ramai pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatannya.
Menurut pengalaman pelanggan, tubuh ular sawa itu hangat dan rasanya sangat menyenangkan ketika ia berdenyut memijat leher pelanggan.
Kalau ada salon di Malaysia menggunakan perkhidmatan reptilia ini untuk mengurut, anda sanggup mencubanya? - CARI |