Seorang lelaki yang sedang menunggang basikal secara tiba-tiba diserang seekor anjing ketika memasuki kawasan pondok kawalan keselamatan rumahnya.
Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Terry Yee, lelaki warga Singapura itu dilihat terjatuh dari basikal akibat terkejut dan dia terus bertindak memukul anjing tersebut. Lelaki tersebut turut mengasari pengawal keselamatan di kawasan kediaman yang terletak di Bandar Kinrara, Puchong.
Susulan itu beberapa laporan polis telah dibuat terhadap lelaki berkenaan.
Kredit video : Metafora Anafora
Tindakan tidak berperikemanusiaan lelaki warga Singapura itu telah mengundang kemarahan netizen. Namun terdapat juga segelintir netizen yang menyalahkan pihak pengurusan keselamatan kerana tidak merantai anjing tersebut.
Memetik TheStarTV, lelaki dalam rakaman CCTV tersebut bagaimanapun mengaku kesal dengan perbuatannya itu dan mendedahkan dia sebenarnya adalah seorang yang sayangkan binatang.
“Saya telah keterlaluan. Saya mohon maaf kerana bertindak keterlaluan hingga memukul anjing itu, iaitu sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan,” katanya dalam temubual eksklusif dengan TheStarTV.
Jelasnya, Sabtu lepas dia telah diserang oleh anjing berkenaan dalam hujan dan turut kehilangan cincin pertunangannya.
“Pada Ahad saya diserang sekali lagi. Saya telah diserang oleh anjing berkenaan sebanyak enam kali. Mereka (pihak pengurusan) mempunyai video namun satu-satunya yang ditunjukkan adalah ketika saya mempertahankan diri,” katanya. - CARI
|