Edited by NormanJB at 10-4-2017 03:11 PM
ISU melibatkan status halal sesuatu makanan sering kali menjadi perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial, tambahan pula apabila maklumat tersebut disebarkan tanpa menyelidik dahulu kesahihannya, dan kali ini adalah jenama ais krim Magnum.
Sejak beberapa hari lalu, tular di laman sosial mendakwa ais krim jenama Magnum yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat pencuci mulut terkenal di India, Kwality Wall's dan diedarkan di Thailand mengandungi bahan dari sumber yang haram.
Berdasarkan gambar, Magnum perisa Classic yang tertera kod E471 didakwa mengandungi bahan campuran khinzir.
Kwality Wall's merupakan pengeluar utama dan pengedar produk makanan dan minuman sejuk beku seperti ais krim di beberapa buah negara termasuk India, Brunei, Bhutan, Nepal, Sri Lanka dan Malaysia.
Walau bagaimanapun, semakan di laman sosial mendapati status tersebut telah dimuat naik pada tahun 2014, dan pihak Magnum telah menafikan bahawa jenama keluaran mereka mengandungi khinzir.
“Dalam beberapa hari yang lepas, terdapat beberapa spekulasi yang tidak betul dan mengelirukan tersebar mendakwa bahawa ais krim Magnum menggunakan E471 diperoleh daripada lemak haiwan, dan oleh itu ia tidak vegetarian.
“Kami ingin menjelaskan bahawa ini adalah benar-benar tidak betul dan tanpa sebarang fakta asas. Ais krim Magnum menggunakan emulsifier (pengemulsi) standard yang diklasifikasikan sebagai E471 di bawah undang-undang Makanan India,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Di India, ais krim Magnum boleh didapati dalam empat perisa iaitu Classic, Truffles, Almond dan Brownie. Bagi meredakan kebimbangan dalam kalangan pengguna Islam khususnya di Malaysia, MD turut menghubungi Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi mendapatkan pengesahan.
Jurucakap Bahagian Hab Halal berkata, pihaknya sedia maklum mengenai penyebaran maklumat palsu tersebut yang telah tular semula.
Jelasnya, ais krim Magnum mempunyai Sijil Pengesahan Halal Luar Negara iaitu Majelis Ulama Indonesia (MUI) dan The Central Islamic Committee of Thailand (CICOT) dan ia iktiraf oleh JAKIM. “Pihak JAKIM telah membuat pengesahan mengenai perkara itu sebelum ini (tidak mengandungi sumber haram). Orang ramai disarankan membeli produk ais krim yang mempunyai Sijil Pengesahan dan Logo Halal Malaysia atau Logo Halal Luar Negara yang diiktiraf JAKIM,” katanya, hari ini.
Sementara JAKIM sebelum ini pernah menjelaskan mengenai kekeliruan melibat Kod E, yang sering dikaitkan mengandungi bahan terlarang dan paling kerap disalahertikan ialah E471. Menurut Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha, Kod E ialah kod untuk bahan tambah (aditif) dan selalu diguna pada label makanan di negara Kesatuan Eropah yang merujuk kepada bahan aditif yang dibenarkan, lapor Bernama. E471 pula merupakan sejenis pengemulsi iaitu mono dan digliserida, yang mana sumbernya ialah lemak sintetik yang terhasil daripada gliserol dan asid lemak semula jadi terutamanya dalam tumbuhan contohnya minyak kelapa sawit atau lemak haiwan.
|