Murid berhenti sekolah kerana malu diejek
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_19.htm
Oleh FIRDAUS HASSAN
Sarina bersama anak-anaknya, Khairulnizam fadli (kiri) dan Mustika ayuni (kanan), duduk dihadapan rumahnya yang kecil dan usang akibat kemiskinan hidup, di Kg. Kedai Buloh, di sini hari ini.
KOTA BHARU - Akibat malu menjadi bahan ejekan serta dihina rakan-rakan di sekolah kerana kedaifan hidup keluarganya yang tinggal di sebuah rumah uzur, seorang kanak-kanak 10 tahun mengambil keputusan singkat untuk berhenti sekolah sejak dua tahun lalu.
Kanak-kanak itu, Khairul Nizam Fadli yang tinggal di Kampung Kedai Buloh di sini mengakui dia malu apabila menjadi mangsa ejekan rakan-rakan sekolah di Sekolah Kebangsaan Kedai Buloh 1 di sini.
Menurut ibunya, Sarina Musa, 32, walaupun baharu berusia 10 tahun tetapi anak sulungnya itu amat memahami kepayahan hidup mereka sekeluarga sehingga tidak pernah meminta-minta untuk dibelikan pakaian sekolah yang baharu.
"Saya melakukan tiga pekerjaan sehari iaitu menyiang ikan untuk di buat kerepok bermula selepas Subuh, mencanting batik pada pukul 11 pagi dan melekatkan batu pada kain tudung pada sebelah petang sebelum sampai ke rumah pada waktu Maghrib.
"Melalui pekerjaan itu saya memperoleh pendapatan tidak menentu kira-kira RM20 hingga RM30 sehari untuk perbelanjaan harian. Suami saya, Fadli Jusoh, 36, bekerja sebagai pengutip kelapa," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Sarina berkata, akibat kesempitan hidup itu mereka sekeluarga makan serta pakai secara ala kadar sahaja selain tumpang berteduh di sebuah bangsal berkeluasan 9 meter persegi berlantaikan kayu reput, berdindingkan papan lapis dan atap zink.
Bangsal tanpa bilik serta tidak dilengkapi sebarang perabot itu dibina di atas tanah milik bapa Sarina, Musa Ali, 65, sejak 10 tahun lalu. Apabila hujan turun air akan masuk ke dalam rumah melalui celahan dinding zink serta papan lapis.
"Untuk sediakan kelengkapan sekolah Khairul Nizam saya tidak berduit. Disebabkan itu dia menjadi mangsa ejekan di sekolah kerana pakaian yang lusuh, paling teruk ialah ada kanak-kanak mengejeknya tinggal di kandang kambing.
"Khairul Nizam memberitahu dia malu dengan keadaan itu, jadi dia enggan bersekolah dan lebih selesa membantu saya dan suami. Apabila saya dan suami bekerja dia mengambil tanggungjawab menjaga adik perempuannya, Mustika Ayuni, 5, yang mengidap penyakit sawan sejak berusia lapan bulan," katanya. - K! ONLINE |