|
Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini mengarahkan pengasas produk kecantikan Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali Datuk Seri Vida untuk menyelesaikan bayaran cukai pendapatan individu bagi tempoh lima tahun yang dituntut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah lebih RM4.6 juta sebelum 21 Mei depan.
Foto: BH Online
BH Online melaporkan, arahan penyelesaian di luar mahkamah itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman Anselm Charles Fernandis selepas peguam LHDN Nor Hidayah Mohd Anas memfailkan tuntutan berkenaan di dalam kamar hakim.
Vida, 47, bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguamnya, Zailan Mohamed.
Dalam penyataan tuntutan LHDN, dia dikehendaki membayar kepada LHDN mengikut Subseksyen 91(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2011 hingga 2015 berjumlah RM4,686,435.79.
Terdahulu, LHDN mengadakan perbincangan dengan Vida, namun gagal mematuhi perbincangan berkenaan menyebabkan tuntutan dibuat di mahkamah.
Nor Hidayah berkata, kes tuntutan itu akan berjalan pada 21 Mei depan jika Vida gagal mengadakan perbincangan dan menyelesaikan tuntutan berkenaan dalam tempoh ditetapkan.
Foto: IG Vida
Sementara itu, Zailan berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan LHDN bagi membuat penstrukturan semula bayaran tuntutan berkenaan selain menyelesaikan tuntutan itu dalam tempoh ditetapkan. - CARI |
|