Pada tanggal 23 Oktober 20 tahun yang lalu, seorang bintang telah "dilahirkan" secara rasminya ke dunia hiburan antarabangsa. Beliau merupakan penyanyi dan penghibur yang menjadi kegilaan ramai pada zaman millenium tidak lama dahulu - siapa lagi kalau bukan Britney Spears. Bintangnya masih bersinar sehinggalah sekarang biarpun Britney telah memperlahankan perjalanan kariernya, yang tidak serancak dahulu ketika zaman kegemilangannya.
Pernah dianggap sebagai penghibur yang bakal menggantikan ratu pop Madonna, Britney yang sangat mengagumi Madonna sebagai idolanya dari zaman kecil masih mampu menambat hati peminat muzik di seluruh dunia. Kerancakan lagu-lagunya masih boleh didengar di corong-corong radio mahupun di kelab-kelab malam di seluruh dunia, selain kelincahannya menari di atas pentas mampu memukau setiap mata yang memandang.
Berikut merupakan fakta-fakta menarik mengenai lagu ini yang mungkin anda tidak pernah tahu. Jom kita baca!
Memulakan kerjaya menerusi debut lagu Baby One More Time ciptaan Max Martin, lagu ini sebenarnya telah dihantar untuk kumpulan TLC yang pernah popular dengan lagu Waterfall sebelum ditolak oleh mereka yang kemudiannya disambar secepat mungkin oleh Britney yang ketika itu hanya berusia 16 tahun!
Konsep untuk video muzik Baby One More Time adalah idea asal Britney Spears sendiri. Pada mulanya, syarikat rakaman beliau ingin menggunakan konsep animasi superhero ala Power Rangers sebelum ditukar ke konsep pilihan Britney kerana Britney merasakan konsep superhero agak kebudak-budakan dan tidak matang.
Foto: Oceans Vibe
Pakaian seragam sekolah disarungkan Britney untuk video muzik Baby One More Time yang dikatakan agak seksi juga merupakan idea Britney, yang pada mulanya kurang disukai oleh pengarah video muzik itu sendiri - Nigel Dick. Nigel merasakan konsep pakaian itu agak keterlaluan dan beliau bimbang sekiranya akan mendapat kecaman masyarakat yang berfikiran konservatif pada ketika itu. Siapa sangka pakaian seragam sekolah yang seksi itu telah menjadi kegilaan ramai, sehinggakan ramai yang memilihnya untuk digayakan terutamanya pada malam Halloween sehinggalah sekarang! Ikonik!
Semua pakaian yang digunakan untuk video muzik itu, termasuklah yang disarungkan Britney, hanya dibeli di pasaraya murah K-Mart yang tidak melebihi kos 17 USD untuk sehelai pakaian!
Video muzik tersebut dirakamkan di Venice High School, sekolah yang sama digunakan untuk rakaman filem Greese lakonan John Travolta!
Model lelaki yang menjadi "kegilaan" Britney di dalam video muzik tersebut merupakan sepupunya sendiri yang bernama Chad Spears.
Lagu ...Baby One More Time telah terjual sebanyak 10 juta unit menjadikan lagu ini sebagai salah sebuah lagu yang paling banyak terjual, sepanjang zaman.
Wow, hebatnya Britney! Mungkin juga ramai yang tidak tahu, Britney telah menjadi inspirasi kepada banyak penyanyi baru dari zaman dahulu sehinggalah sekarang. Dari Christina Aguilera ke Miley Cyrus sehinggalah Selena Gomez, semuanya memulakan kerjaya mereka diinspirasikan dari kejayaan Britney Spears, yang menyinar seawal usia remaja sehinggalah beliau berumur 36 tahun pada tahun ini! -CARI |