Masihkah anda ingat kenangan siri drama popular Winter Sonata buat pertama kalinya? Bagi remaja pada awal tahun 2000an, siri ini pasti mengembalikan kenangan manis kerana menjadi antara drama terawal dalam mencetuskan kegilaan terhadap budaya negara Korea Selatan.
Kredit foto: Carian Google
Siri terbitan KBS2 itu menampilkan pelakon utama Bae Yong-joon (Joon-Sang) dan Choi Ji-woo (Yoo-Jin) yang mengisahkan sepasang kekasih terpisah secara tragik selepas Joon-Sang terlibat dalam kemalangan dan hilang ingatan sebelum dibawa keluarganya berhijrah ke Amerika Syarikat (AS).
Sepuluh tahun kemudian, Joon-Sang yang telah bertukar nama menjadi Min-Hyung kembali ke Korea Selatan dan terserempak dengan Yoo-Jin yang sudah bertunang dan bakal melangsungkan perkahwinan dengan kekasih barunya.
Kredit foto: Carian Google
Mula ditayangkan di negara asalnya beberapa bulan sebelum Piala Dunia FIFA 2002, siri itu menjadi hit seluruh Asia bermula di Jepun, disusuli China, kemudian ke negara-negara Asia Tenggara lainnya termasuklah Malaysia.
Siri tersebut juga meninggalkan impak besar bukan sahaja terhadap penonton, tetapi juga kepada pelakon utama dan industri pelancongan negara tersebut. Antara impaknya termasuklah;
1. Di puncak populariti siri Winter Sonata, nama kedua-dua pelakon utamanya menjulang tinggi dan menjadi pelakon paling digilai ramai terutamanya Bae Yong-joon.
Di Jepun, Perdana Menteri ketika itu Junichiro Koizumi pernah berkata, 'Bae Yoon-joon lebih popular berbanding saya di negara ini.'
Kredit foto: China Daily
2. Industri pelancongan di Korea Selatan berkembang sangat pesat terutamanya di lokasi penggambaran siri itu seperti Pulau Nami.
Dianggarkan dalam 10 tahun selepas siri itu, pulau berkenaan menerima lebih daripada 10 juta pelancong asing.
Kredit foto: en.yna.co.kr
3. Dikatakan, siri terbabit menjadi terapi kepada ramai penduduk Korea Selatan dan Asia yang terbeban dengan kemelesetan ekonomi pada masa itu susulan krisis kewangan serantau.
Penduduk negara berkenaan memilih untuk duduk di rumah menghabiskan masa menonton TV daripada menghabiskan masa dan wang dengan hiburan luar.
Kredit foto: Carian Google
4. Pengkritik filem Lee Young-mi berkata, orang muda negara itu menjadi lebih yakin untuk memilih kegembiraan berbanding kisah cinta tradisi Korea Selatan yang lebih realistik.
'Makin ramai orang muda enggan berkahwin awal sehingga menemui cinta sejati mereka,' katanya.
Kredit foto: Carian Google
5. Industri perfileman Korea Selatan berkembang sangat pesat ke seluruh Jepun, China dan Asia Tenggara. Walaupun sebelumnya sudah ditayangkan beberapa siri seperti Christmas in August (1998) dan Autum In My Heart (2000), siri Winter Sonatalah yang dikatakan melonjakkan industri perfileman negara itu ke kemuncak.
Kredit foto: Carian Google
6. Populariti siri ini kemudiannya membuka mata negara luar terhadap industri seni di Korea Selatan dan menular ke industri muziknya.
Tidak ketinggalan, ini juga memperkenalkan kita kepada produk-produk kecantikan dan fesyen popular negara tersebut.
Kredit foto: The Star
Susulan impak Winter Sonata yang mendalam dan meninggalkan banyak kenangan kepada remaja awal 2000an, tidak hairanlah The Korea Times melaporkan pengarah Kim Yong-soo bakal bekerjasama dengan penulis skrip asal Yoon Eun-kying dan Kim Eun-hee untuk menghasilkan sekuel kepada siri tersebut.
Kredit foto: Korea Times
Walaupun belum disahkan barisan pelakon barunya, penerbitan siri baru ini menimbulkan persoalan: Adakah peminat fanatik siri asal akan kembali memberikan sokongan? Kita nantikan. - CARI |