Kredit foto: Instagram Fendy Bakry
Fendy Bakry atau nama sebenarnya Mohd Affandi Nor Bakri, 31 menafikan berkahwin secara senyap-senyap dengan kekasih pada penghujung Ogos lalu.
Pelakon drama Mr Grey itu terkejut apabila membaca gosip mendakwa dirinya sudah bernikah dengan wanita yang turut terbabit dalam industri seni.
"Saya belum lagi berkahwin dan saya sendiri takkan berahsia apabila jodoh sudah tiba. Berkahwin juga bukan perkara main-main, tentunya ia memerlukan persiapan rapi," katanya memetik laporan Berita Harian.
Tambah Fendy lagi, sudah tentu dia mempunyai perancangan untuk menaiki pelamin, namun masanya belum tiba untuk dia berbuat demikian kerana begitu sibuk dengan penggambaran drama 65 episod yang belum ditentukan judulnya.
"Soal jodoh, biarlah Allah yang tentukan. Apa yang pasti, saya tidak akan berkahwin, tahun ini.
"Jujurnya, saya enggan terlalu memperkatakan soal jodoh, bimbang apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan. Saya bimbang diri ini juga yang malu nanti," katanya.
Kredit foto: Berita Harian - Fendy pernah mengalami sakit misteri sehingga terpaksa berubat di kampung halamannya di Beseri, Perlis
Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-31 itu juga berkata, dia belum bersedia mendedahkan identiti gadis yang berjaya mengetuk pintu hatinya.
"Saya bukannya seorang yang suka berkongsi kisah peribadi, terutama membabitkan pasangan dan keluarga. Biarlah hanya saya yang ke depan, tanpa perlu membabitkan mereka," ujarnya lagi.
Bagus juga Fendy. Lebihkan produktiviti, kurangkan kontroversi. Selamat maju jaya ya! - CARI |