|
Mungkin ada yang lupa atau tidak tahu mengenai insiden Lisdawati Nazaruddin dan Rita Rudaini bergelut dalam kolam renang. Disebabkan kes lebih 13 tahun lalu itulah kedua-dua pelakon terbabit bermasam muka.
Kredit foto: IG
Bagaimanapun, dalam temu bual bersama Berita Harian, Lisdawati sendiri akui dia sudah malas memanjangkan isu dan tidak lagi menyimpan dendam.
Malah, mereka berdua bersedia digandingkan dalam produksi drama atau filem.
"Saya hanya mahu memandang ke hadapan. Tiada orang yang tidak mahu berubah. Lagipun, bukan sahaja umur meningkat, anak pun sudah bertambah. Tidak elok sekiranya kami terus bermasam muka.
"Selepas insiden itu, saya mengaku beberapa kali bermimpi yang positif mengenai Rita. Saya anggap mungkin Allah hendak tunjukkan sesuatu kepada saya.
"Kami sudah semakin berusia, tak laratlah hendak bergaduh. Lagipun industri ini kecil, jika ada yang cuba 'mencucuk' itu terpulanglah kepada mereka," kata Lisdawati kepada BH Online.
Kalau nak tahu, sekitar 13 tahun lalu, Lisdawati dan Rita menimbulkan kekecohan ketika penggambaran drama arahan Rashid Sibir berjudul Kau Ku Sayang dipercayai ada kaitan dengan suami Lisdawati iaitu Fauzi Nawawi.
Kalau sebelum ini Rita nekad enggan digandingkan bersama Fauzi, namun pada majlis Melodi Salute sempena ulang tahun ke-30 penerbitan program hiburan sensasi TV3 semalam, masing-masing menyatakan kesediaan untuk berlakon bersama.
"Setakat ini, kami belum pernah mendapat tawaran berlakon bersama. Sekiranya ada tawaran, kami tiada masalah digandingkan bertiga dalam sebuah produksi.
"Kami sudah lama bertegur sapa, cuma tiada kesempatan untuk berbual panjang. Kiranya, pada hari ini, barulah kami berkesempatan bertanya khabar dan perkembangan diri masing-masing," kata Rita.
Kredit foto: IG
Betullah tu, dunia hiburan ni kecil saja. Pi mai pi mai tang tu jua. Sampai bila nak mengelak kan? - CARI
|
|