Beberapa ekor anjing dirakam diperlakukan dengan kejam di sebuah pasar daging di China.
Kredit foto: Mirror/FB No To Dog Meat
Rakaman berkenaan menunjukkan seekor anjing sedang menyalak kesakitan apabila dia dipanggang hidup-hidup. Manakala, sebuah lagi video menunjukkan seekor anjing disimbah dengan air panas.
Kredit foto: Mirror/FB No To Dog Meat
Mirror melaporkan, video berkenaan dimuat naik sebuah persatuan yang melancarkan kempen 'No To Dog Meat' yang bakal mengadakan perarakan protes ke Kedutaan China di London dan menyeru untuk menamatkan kekejaman itu.
Penjualan daging anjing di China semakin mendapat permintaan sejak kebelakangan ini.
Sebelum ini, tular sebuah video ketika pesta makan anjing di Yulin yang menunjukkan kebanyakan anjing liar atau haiwan yang dicuri dikurung dalam sangkar sempit hingga menyukarkan mereka bernafas.
Haiwan terbabit kemudian dibawa ke rumah sembelihan Yulin di wilayah Guangxi, di mana mereka dibiar tanpa makanan dan minuman mencukupi sebelum disembelih.
Walaupun ia bukan perayaan tradisional, kerajaan Yulin membuat promosi besar-besaran sebagai langkah memulihkan pelancongan pada 2010.
Kredit foto: AFP/Getty Images
Sementara itu, peniaga menganggapnya sebagai peluang keemasan untuk melariskan jualan mereka.
Pegawai Media Pertubuhan Hak Asasi Haiwan (PETA) bahagian Asia, Keith Guo berkata, peniaga akan memukul kepala haiwan terbabit dengan besi sebelum membakar bulu mereka.
Haiwan itu kemudian akan dicampak ke dalam air panas untuk membuang semua sisa bulunya.
"Selalunya, haiwan berkenaan tidak akan dibunuh, sebaliknya mereka akan dipukul di kepala hingga tidak sedarkan diri.
"Haiwan terbabit akan terbangun apabila mereka sedang 'direbus' atau 'dipanggang' hidup-hidup," katanya. - CARI |