Pernahkan anda terfikir untuk ke dunia lain? Anda mungkin terfikir tentang sebuah pintu atau laluan yang boleh membawa anda ke dunia lain.
Bercakap tentang 'dunia lain', ada sebuah gua pelik di Romania yang sangat terasing dari dunia luar, atau dalam erti lain 'gua dari dunia yang lain'.
Mari kita tengok.
Gua Movile
KREDIT FOTO: The Secret of Movile Cave, kiarayew.com
Terletak berdekatan Mangalia di daerah Constanta, Romania, gua Movile ditemui Cristian Lascu pada 1986, beberapa kilometer dari pantai Laut Hitam.
Kehidupan dalam gua ini terasing dari dunia luar dan gua ini sangat gelap selama 5.5 juta tahun.
Apa yang peliknya tentang gua ini?
Difahamkan, gua ini sangat berbahaya untuk dimasuki mana-mana manusia. Udara dalam gua ini sangat beracun, di mana kandungan oksigen dalam gua adalah hanya separuh daripada kandungan oksigen sebenar di kawasan luar.
Selain itu, kandungan karbon dioksida dan hidrogren sulfida sangat tinggi dalam gua membuatkan mustahil untuk manusia tinggal di sini.
Difahamkan, kandungan hidrogen sulfida dan ammonia sangat tinggi pada air dalam gua ini. Dengan oksigen yang sedikit, manusia mampu bertahan maksimum enam jam sahaja dalam gua ini.
Walau bagaimanapun, gua yang beracun ini tidak menghalang spesis unik untuk hidup di dalam gua ini. Dengan suhu setinggi 25 darjah Celsius, sebanyak 48 spesis hidupan dijumpai termasuk 33 spesis endemik yang takkan boleh dijumpai di tempat lain seluruh dunia.
Hidupan seperti lintah, labah-labah, cacing tanah, dan waterscorpion antara yang boleh dijumpai di sini.
Antara spesis pelik yang dijumpai di dalam Gua Movile
KREDIT FOTO: The Cave of Moville in Romania: a closed ecosystem, erch2014.com
Tidak seperti tempat lain, jenis lintah dan labah-labah dalam Gua Movile ini sangat ganjil dan tidak dapat dikenal pasti identitinya.
Kitaran makanan melibatkan hidupan dalam gua ini adalah berdasarkan kemosintesis. Ia berbeza dengan fotosintesis, proses di mana tumbuhan menggunakan matahari sebagai tenaga cahaya untuk ditukarkan kepada tenaga kimia yang penting dalam rantaian makanan asas haiwan.
Proses kemosintesis dalam gua ini terjadi apabila lapisan bakteria yang dikenali sebagai autoroph terapung di atas air dalam gua ini. Bakteria autoroph ini mendapat karbon hasil daripada pengoksidaan sulfida dalam air membentuk asid sulfurik, atau pengoksidaan ammonia yang membentuk nitrat.
Berbeza dengan tumbuhan, bakteria autoroph menggunakan karbon sebagai sumber tenaga.
Tumbuhan hanya boleh dijumpai di bahagian pintu masuk gua. Memandangkan tiada tumbuhan yang ada bahagian dalam gua, rantaian makanan daripada fotosintesis tidak boleh berlaku. Jadi, rantaian makanan hasil kemosintesis pula berlaku dan bakteria autoroph memainkan peranan ini sebagai sumber makanan.
Sebab itu, hidupan yang tinggal jauh di dalam gua mampu untuk hidup.
Waterscorpion yang sedang menangkap mangsa untuk dimakan
KREDIT FOTO: Romanian cave sealed for 5.5 million years is full of strange creatures, geek.com
Ada pendapat mengatakan, hidupan dalam gua Movile ini dapat memberi klu bagaimana hidupan pada zaman dahulu dapat hidup di Bumi. Keadaan di gua ini mungkin sama dengan keadaan ketika zaman Bumi primal.
Gambaran Bumi ketika zaman primal
KREDIT FOTO: Download Early earth wallpaper, besthdwallpaper.com
Ketika fasa terawal terbentuknya Bumi, cahaya matahari tidak sampai sepenuhnya ke Bumi kerana terlindung dengan lapisan atmosfera yang tebal dengan karbon dioksida, metana dan ammonia. Boleh jadi juga sekiranya hidupan mikro seperti bakteria di dalam gua Movile, telah wujud sejak Bumi baru sahaja terbentuk.
Apa pendapat anda? - CARI |