Upacara Kenaikan Pangkat Pegawai TUDM.
Kredit foto: Facebook TUDM
Memetik laporan Sinar Harian, juruterbang pesawat C-130H Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berjaya mengesan bot pendatang tanpa izin (PATI) Rohingya di perairan Langkawi pada 16 April lalu, antara enam pegawai kanan yang dinaikkan pangkat.
Menurut portal rasmi TUDM, selain dinaikkan ke pangkat pemangku Leftenan Kolonel, Mejar Faizul Hussien Ismail turut memegang jawatan sebagai Pegawai Memerintah No 20 Skuadron (Skn).
Difahamkan, Faizul mengetuai skuadron tersebut sejak Januari lalu setelah mengambil alih tugas daripada Leftenan Kolonel Azril Omree Hasbullah.
Upacara kenaikan pangkat itu disempurnakan Timbalan Panglima Tentera Udara, Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan di markas TUDM pada 20 April lalu.
Selain Faizul, lima lagi pegawai turut dinaikkan pangkat iaitu Mejar Tengku Ahmad Shaiful Isnawi Tengku Muhamad sebagai Ketua Skn Charlie Cawangan Pengurusan Operasi Udara, JBPM; Mejar Muhammad Halid Abdul Hamid (PS 1 Komunikasi Markas Nukleus Operasi Bersama, ESSCOM) dan Mejar Balasubramaniam Maruthamothoo (Ketua Cawang Tadbir PU Sendayan) serta fua pegawai lain; Mej Yusnizam Mohamad Jalil (Ketua Cawang Tadbir KTU) dan Mejar Roslan Al Mustaffa (Ketua Cawang Operasi KTU).
TUDM berjaya mengesan sebuah bot yang membawa 200 PATI Rohingya pada kedudukan 60 batu nautika barat Pulau Langkawi pada 16 April lepas melalui pengawasan udara menggunakan pesawat C-130H sebelum dua kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menuju ke lokasi berkenaan.
Sebuah helikopter turut dihantar bagi mendapatkan gambaran jelas penumpang bot yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak sebelum dua kapal berkenaan memintas dan mengiringi bot berkenaan keluar dari perairan negara.
Sangat besar jasa mereka yang mengawal perairan laut kita daripada ditembusi pendatang tanpa izin. Syabas TUDM. - CARI |