Pasangan suami isteri fasih bertutur dalam Bahasa Melayu telah meraih populariti di platform media sosial popular YouTube berikutan rakaman video memasak pelbagai menu.
Youtuber atas nama Sugu Pavithra itu menjadi bualan hangat warganet dan telah meraih 142,000 subscribers hanya setelah beberapa bulan membuka saluran di YouTube.
Foto: YouTube Sugu Pavithra
Menurut The Inspirasi, Sugu Pavithra merupakan pasangan suami isteri berbangsa India yang menetap di perkampungan sekitar Sungai Siput Perak. Difahamkan, Encik Sugu bekerja di ladang, manakala Puan Pavithra merupakan seorang suri rumah yang pandai memasak di dapur.
Foto: YouTube Sugu Pavithra
'Bakar Ikan Talapia Cara Mudah' merupakan video pertama Sugu di YouTube yang dimuat naik pada 29 Januari 2020. Ketika itu, mereka hanya meraih sekitar 300 tontonan sahaja dengan lebih kurang 100 subscribers.
Video memasak untuk keluarga yang pada asalnya dirakam hanya untuk suka-suka saja kini telah menjadi rujukan resepi rakyat Malaysia pelbagai kaum.
Foto: The Inspirasi
"Saya cakap bahasa Melayu sebab 1 Malaysia boleh faham pertuturan saya. Salah ke?" respons Sugu Pavithra ketika diminta warganet supaya bertutur dalam bahasa Tamil.
Menariknya, pasangan ini bertutur dalam Bahasa Melayu dan tutur kata Puan Pavithra yang sangat tulus dan sopan berjaya memukau para penonton untuk setiap video sehingga mencapai ribuan tontonan sehari.
Foto: YouTube Sugu Pavithra
Seperti yang dikongsikan Puan Pavithra, selepas dua bulan dab 14 hari membuka saluran YouTube, beliau menerima berita gembira daripada Google yang memaklumkan bahawa salurannya itu berjaya melepasi syarat untuk menerima pembayaran melalui hasil usahanya.
Selain resepi masakan yang mudah, mereka turut merakamkan video tentang kehidupan dan suasana kampung halaman serta mengingatkan penonton mengenai kebahagian hidup tidak memerlukan kemewahan, cukup dengan hormat-menghormati dan kasih sayang sesama keluarga.
Foto: YouTube Sugu Pavithra
"Terima kasih atas perkongsian ini dan untuk pengetahuan, kamu adalah salah satu YouTuber yang saya boleh tengok dari mula hingga tamat, sebab? Cara kamu cakap sangat lemah lembut dan berbudi bahasa. Sangat santai layan.
"Inilah sifat orang Malaysia yang sebenar, rendah hati, lemah lembut, rasa macam tengok filem dulu-dulu pulak. Teruskan usaha sis, saya akan terus menyokong.
"Bersih sangat dapur awak, salam perkenalan.
"Keluarga yang sihat. Semua masakan dia tak bubuh mak aji no moto.
Foto: YouTube Sugu Pavithra
"Teknik potong guna penutup bekas tu memang tipikal Malaysia la.
"Cermat buat kerja, tak bersepah, tak mambazir. Lemah lembut tutur bahasa. Saya tak nampak keluarga India, saya nampak keluarga bahagia, beradab and it's just makes me really happy to look forward too," antara komen positif warganet.
Pasangan ini menerima komen positif daripada warganet yang kagum dengan sikap dan peribadi mereka. Ini menjadikan mereka disukai rakyat Malaysia dan secara tidak langsung mereka telah menyatukan semua bangsa melalui video masakan mereka. - CARI |