New Delhi: Tiga kanak-kanak di India menjadi korban bapa yang berang selepas bertengkar dengan ibu mereka.
Dev, Jhanvi dan Shiv masing-masing berusia tiga, lima dan lapan tahun dicampak bapa mereka ke dalam terusan.
Insiden tragik yang berlaku di kampung Nalipar berdekatan Kulvehri, malam Isnin lalu itu bermula selepas suspek, Sushil Kumar bertengkar dengan isterinya.
Difahamkan, tabiat minum arak menjadi punca perbalahan mereka sebelum lelaki itu nekad mencampak tiga anak mereka dalam terusan menyebabkan kanak-kanak itu lemas.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan bantuan penduduk kampung, manakala Sushil ditahan dan mengaku melakukan jenayah itu.
Penduduk kampung mendedahkan, Sushil bekerja sebagai penjual jus dan seorang kaki botol.
Tabiat buruknya itu menjadi punca di sebalik perbalahan dia bersama isterinya, Baby pada malam kejadian.
Pada malam kejadian, jiran mereka cuba mengejar suspek selepas dilihat membawa tiga anaknya menggunakan basikal dalam keadaan tidak mabuk.
Petani yang bekerja di ladang berhampiran cuba menghentikan tindakan suspek selepas mendengar tangisan kanak-kanak itu, namun lelaki itu nekad mencampak anaknya ke dalam terusan di situ.
Pegawai Balai Polis Kunjpura Munish Kumar berkata, mereka cuba menjejaki mangsa dengan bantuan penyelam.
"Kami melancarkan operasi menyelamat menjejaki kanak-kanak itu.
"Selain mendapatkan bantuan penyelam, kami juga memohon pengurangan paras air di terusan itu untuk memudahkan pencarian," katanya.
Datuk kepada kanak-kanak itu memohon pihak berkuasa menjatuhkan hukuman sampai mati kepada suspek.
"Kami tidak pernah menyangka dia akan bunuh anak sendiri dengan cara ini," katanya dalam portal Tribune India. |