Tiga beradik di Jawa Timur mencuri perhatian warganet kerana memiliki hujung nama yang unik iaitu Dot Com.
Tribun News melaporkan, kisah itu mula tular selepas seorang warganet memuat naik video mengandungi gambar dan dokumen salasilah keluarga di media sosial.
Anak sulung diberi nama Salsabila Shofwah Alamak Dot Com manakala anak kedua, Mustaghfirin Nazhmi Ramadhan Dot Com dan bongsu, Daffa Fawwaz Robbani Dot Com.
Mustaghfirin, 18, atau mesra disapa Rama ketika dihubungi mengesahkan kisah tular itu.
"Saya anak kedua daripada tiga beradik dan kami ada perkataan dot com di belakang nama," katanya.
Menurut Rama, ada kisah di sebalik nama diberikan ibu bapanya itu.
"Ibu bapa saya berkenalan di ruang sembang laman web Alamak.com pada 1999.
"Untuk mengenang detik perkenalan itu, saya dan dua lagi adik-beradik lain dinamakan dengan tambahan Dot Com," katanya.
Menurut Rama, dia pada awalnya malu memiliki nama unik itu kerana sering menjadi bahan usikan temannya.
Kredit foto: Harian Metro
Namun, dia kini berbangga memiliki nama itu kerana lebih mudah dikenali.
"Ketika kecil saya malu dengan nama itu tapi bangga pula apabila dewasa.
"Memang ada yang mengusik saya, tetapi usikan itu yang membuat saya dikenali," katanya.
Rama berkata, keunikan itu menyebabkan guru dan rakannya sering tidak percaya itu nama sebenar.
Justeru, Rama kerap diminta menunjukkan bukti kepada mereka.
"Setiap kali memasuki sekolah, guru atau rakan pasti terkejut dan tidak percaya. Seterusnya, mereka meminta bukti.
"Namun, saya gembira kerana sejak kisah itu tular, ramai warganet mula menghargai keunikan nama pemberian keluarga.
"Sejak dahulu saya menyimpan impian muncul di kaca televisyen dan menjadi terkenal.
"Tak sangka video dimuat naik itu meraih banyak tontonan dan masih tular sehingga kini," katanya. -CARI
Sumber: Harian Metro |