Dua doktor dan seorang bidan sebuah hospital di Atyrau, Kazakhstan dipenjara selepas bayi baru dilahirkan dimasukkan ke dalam peti sejuk mayat hidup-hidup.
Memetik Mirror, bayi pramatang itu didaftarkan 'lahir mati', namun sebenarnya masih hidup ketika dimasukkan ke dalam peti sejuk berkenaan.
Hospital bersalin di mana mangsa dilahirkan East2West News
Walaupun melihat kakinya bergerak, doktor terbabit enggan menyelamatkan bayi berkenaan kerana dia sudah direkodkan meninggal dunia dalam pangkalan data perubatan dan mereka enggan membetulkan kesalahan rekod itu.
Ketiga-tiga mereka didapati bersalah membunuh bayi berkenaan untuk menyembunyikan kecuaian perubatan itu, kata penyiasat Askarbek Ermukashev.
Mahkamah dimaklumkan tertuduh ada berbincang untuk melemaskan bayi itu di dalam air, namun menolak cadangan tersebut sebelum memasukkan mangsa ke dalam peti sejuk berkenaan hidup-hidup.
Malah, dalam satu panggilan telefon yang dirakam secara rahsia di mana mereka membincangkan insiden itu, seorang daripada doktor terbabit kedengaran menyebut "semoga Tuhan memaafkan kita".
Ketua pakar perubatan Kuanysh Nysanbaev yang mengarahkan bayi itu dimasukkan ke dalam peti sejuk berkenaan walaupun melihat kaki bayi terbabit masih bergerak, diperintahkan mahkamah menjalani hukuman penjara 18 tahun.
Dr Kuanysh Nysanbaev
Kredit foto: East2West News
Manakala, pakar Obstetrik dan Ginekologi Askar Kairzhan dipenjara 16 tahun dan bidan Jamilya Kulbatyrova yang memasukkan bayi itu ke dalam peti berkenaan atas arahan dua doktor terbabit dipenjara 15 tahun.
Ketiga-tiga tertuduh
Kredit foto: East2West News
Sementara itu, dua lagi doktor iaitu pakar neonatologi Ruslan Nurmakhanbetov dan Dariga Dzhumabayeva diarahkan menjalani hukuman penjara tiga tahun setengah kerana gagal melaporkan jenayah berkenaan. - CARI |