Isteri Tunku Mahkota Johor, Che' Puan Khaleeda Bustamam menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung seorang guru yang didakwa bergurau berkenaan rogol.
Kredit foto: IG Che' Puan Khaleeda
Che' Puan Khaleeda dalam satu kenyataan dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya berkata, tindakan tegas terhadap guru tersebut perlu diambil segera.
"Video baru-baru ini tentang seorang pelajar yang mengadu guru Pendidikan Jasmaninya bergurau secara keterlaluan dan mengatakan tidak salah untuk merogol telah menjadi viral dalam media sosial.
"Saya mohon pihak berkuasa menjalankan siasatan mengenai perkara ini dan tindakan tegas terhadap guru tersebut perlu diambil segera," katanya.
Kredit foto: FB Che' Puan Khaleeda
Dalam kenyataan itu lagi, beliau berkata, isu rogol merupakan perkara serius dan perbuatan yang termasuk dalam jenayah berat.
Menurutnya, guru merupakan ejen sosialisasi kedua terpenting selepas ibu bapa dan peranan mereka bukan sahaja mendidik malah membentuk akhlak pelajar.
"Oleh yang demikian, dalam situasi apa sekalipun perkara ini tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka dan juga gurauan," ujarnya.
Beliau turut memuji pelajar perempuan tersebut kerana berani menyuarakan perkara serius itu di media sosialnya.
Kredit foto: IG Che' Puan Khaleeda
Baru-baru ini tular satu video berdurasi 59 saat memaparkan dakwaan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun yang kesal dengan jenaka keterlaluan guru lelaki yang seolah-olah menggalakkan jenayah rogol.
Menurut pelajar itu, kejadian berlaku ketika kelas Pendidikan Jasmani dan topik perbincangan berkaitan kesedaran gangguan seksual dan cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan tersebut.
Bagaimanapun dakwanya, sesi pembelajaran bertukar sebaliknya apabila guru terbabit mula membuat jenaka lucah berkaitan rogol.
Video dimuatnaik dalam aplikasi Tik Tok dan Twitter itu mengundang perdebatan masyarakat awam yang turut mengecam tindakan guru itu.
Sumber: Sinar Harian |