Aksi penerjun cilik China, Quan Hongchan yang mempamerkan tiga terjunan perfect 10 dalam acara 10 meter platform individu wanita Olimpik menarik perhatian ramai.
Quan, 14, merupakan atlet termuda China di Olimpik Tokyo 2020 mengumpul pingat emas ke-33 buat negaranya, dengan mencatat mata keseluruhan menakjubkan 466.20 mata.
Kredit foto: IG tokyo2020
Dia menjadi atlet China kedua termuda meraih pingat emas Olimpik dalam acara terjun selepas Fu Mingxia yang mencatat sejarah memenangi pingat emas acara 10m platform di Olimpik Barcelona 1992 pada usia 13 tahun.
Quan ketika ditemu bual agensi berita Xinhua berterima kasih kepada bekas jurulatih dan kedua ibu bapa yang banyak menyokongnya selama ini.
“Saya ingin berterima kasih kepada ibu bapa kerana menggalakkan saya untuk sentiasa bertenang dan beraksi dengan bebas tanpa mengira sama ada saya mendapat pingat atau tidak,” katanya.
Sebelum kejohanan Olimpik Tokyo, Quan pernah memberitahu media bahawa ibunya sakit dan memerlukan kos rawatan yang tinggi.
Perkara itu menjadi dorongan dan motivasi kepadanya untuk berusaha keras menempa nama dalam arean sukan.
“Kos rawatan ibu agak tinggi. Jadi saya rasa harus berusaha menjana pendapatan untuk membantu keluarga,” katanya.
Quan berasal dari Kampung Maihe, Daerah Mazhang yang membesar dalam keluarga petani. Persekitaran hidup yang sukar menjadikan remaja itu kuat berusaha dan dia mula bergiat dalam sukan papan anjal ketika berusia tujuh tahun sebelum meningkat dengan dengan cepat dan menyertai Pasukan Wilayah Guangdong pada 2018.
Menurut jurulatih di Sekolah Sukan Zhanjiang bernama Chen Huaming, atlet cilik itu disifatkan mempunyai semangat juang yang tinggi, kuat berusaha dan berani.
“Saya tidak fikir saya seorang yang luar biasa. Saya kurang bijak dalam pelajaran. Jika anda tanyakan saya soalan (akademik) tiada apa-apa dalam fikiran saya,” ujarnya ketika ditemuramah selepas acara tersebut.
Sumber: Odisi
|