CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 15503|Reply: 0

Teladani personaliti terbilang insan teragung

[Copy link]
Post time 27-9-2023 09:12 PM | Show all posts |Read mode
Teladani personaliti terbilang insan teragung





KEHIDUPAN Nabi SAW dipenuhi dengan keanggunan akhlak yang terpuji. FOTO Arkib NSTP



Pada 12 Rabiulawal setiap tahun kita umat Islam akan meraikan hari ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW atau lebih dikenali sebagai Maulidur Rasul. Pelbagai acara dengan aneka pengisian bercorak keagamaan diadakan semata-mata untuk mengingati junjungan mulia Rasulullah SAW.

Kita mengadakan Maulidur Rasul untuk memperingati Nabi SAW dan menjadi seakan-akan acara wajib yang setiap Mukmin tidak mahu ketinggalan menyertainya. Baguslah jika demikian sikap kita sebagai umatnya yang sentiasa mengingati hari lahir Rasulullah SAW. Namun, janganlah sekadar pada masa perayaan Maulidur Rasul sahaja lidah kita petah dan basah dengan sebutan selawat serta berkobar-kobar berarak membawa pelbagai sepanduk sebagai manifestasi kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. Tidak cukup hanya sekadar itu sahaja dan amat malanglah kalau kecintaan kita kepada Nabi SAW bermusim.

Apa yang lebih utama dan apa yang lebih diminta oleh Nabi SAW kepada kita sebagai umatnya ialah menyusuri jejak sunahnya dan meneladani gaya kehidupan yang telah ditunjukkannya. Kita sewajarnya menjadikan Nabi SAW sebagai idola dan ikon kita agar setiap sisi kehidupan menepati kehendak agama sebagaimana dipaparkan dalam sirahnya. Sesungguhnya sejarah kehidupan Nabi SAW bukanlah satu subjek yang perlu dibaca dengan tujuan untuk meninjau fakta yang tersurat semata-mata, tetapi apa yang sangat perlu setiap Mukmin lakukan ialah memahami maksud yang tersirat di sebalik segala jalur peristiwa dan alunan kehidupan Baginda SAW untuk dijadikan pedoman.

Ingatlah wahai Muslimin sekalian.

Allah ada mengatakan: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah saw itu suri teladan yang baik bagimu" - (Surah al-Ahzaab ayat 21). Muhammad Rasulullah SAW seorang Nabi dan Rasul Allah yang telah berjaya mengubah dunia ini daripada landskap sosial yang penuh dengan kejahilan dan kekufuran kepada masyarakat yang kental iman serta takwa.

Baginda bolehlah ditafsirkan sebagai seorang mushlih atau reformer sejati yang berjaya membawa sinar cahaya hidayah bersalutkan keutuhan iman di muka bumi ini. Kehadiran Nabi SAW adalah pembawa rahmat buat seisi alam ini sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Anbiyaa' ayat 107 yang bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutus kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi alam semesta."

Kehidupan Nabi SAW dipenuhi dengan keanggunan akhlak yang terpuji dan ini perlu kita contohi dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Potret peribadi Nabi SAW diwarnai dengan akhlak agung yang menjadi ikutan sekalian sahabatnya semasa era baginda dulu. Antaranya ialah sikap sabar. Seluruh perjalanan hidup Nabi SAW banyak ditunjangi dengan amalan sikap teragung ini. Misalnya sejak kecil lagi Nabi SAW dilanda arus kesusahan hidup sebagai anak yatim piatu, malah bersabar menghadapi kehidupan dalam situasi penuh daif dan miskin. Tatkala Nabi SAW diangkat sebagai rasul, kehidupannya menjadi semakin dihimpit dengan pelbagai penderitaan lantaran ancaman dan seksaan daripada kaumnya sendiri yang menentang seruan dibawanya. Tetapi Nabi SAW tetap bersabar.

Jadi, nilai sikap sabar sewajarnya menjadi amalan kita dan inilah caranya kita menyanjungi dan mencintai Nabi SAW. Buktikan kecintaian kita kepada Nabi SAW itu tidak hanya manis di bibir sahaja, tetapi dalam perjalanan hidup kita corakkan dengan nilai peribadi buruk yang bertentangan dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW.

Selain sikap sabar, Nabi SAW sentiasa mempamerkan akhlak peribadi mulia yang lain seperti amanah dan jujur. Malah Nabi SAW berpesan kepada kita dengan firmannya: "Enam perkara yang dapat menjamin kalian masuk syurga; jujurlah jika berbicara, tepatilah jika berjanji, laksanakanlah (amanah) jika kalian dipercayai, peliharalah kemaluanmu, jagalah pandanganmu dan tahanlah tanganmu" - (Hadis Riwayat Ahmad). Apakah kita sebagai umatnya dan mengakui serta selalu membaca selawat ke atas baginda menghayati dan mempraktikkan apa yang diwasiatkannya itu? Atau kita hanya ingat Nabi SAW tatkala tiba 12 Rabiulawal kemudian berarak membawa sepanduk memuliakannya!

Aspek tawaduk atau sikap merendah diri juga sewajarnya kita teladani. Keseluruhan hidup Nabi SAW sejak kecil, ketika alam remaja mahupun semasa diangkat sebagai rasul, nilai peribadi tawaduk itu tidak pernah tercicir dan terpinggir dalam lilitan peribadinya. Baiklah sekarang kita ambil secebis daripada kisah yang menggambarkan betapa tingginya nilai tawaduk pada diri Nabi SAW. Ketika bersiap menghadapi Perang Khandak, sebahagian sahabat sibuk dengan kerja menggali parit untuk menghalang kemaraan tentera musuh. Apakah waktu itu Nabi SAW hanya mengarah dan memantau sahaja sahabatnya?

Tidak begitu kerana Nabi SAW turut bersama-sama menggali parit itu dan sama-sama berdebu. Inilah contoh terbaik model kepemimpinan melalui teladan. Begitu juga dalam urusan hal ehwal rumah tangga. Nabi SAW membantu keluarganya menjahit baju yang koyak, menampal kasut, memerah susu kambing dan melayan dirinya sendiri. MasyaAllah. Subhanalah. Hebat dan agungnya potret peribadi Rasulullah SAW. Sebenarnya terlalu banyak nilai mulia Nabi SAW yang semuanya mesti kita teladani dan tidak hanya menatap dan membaca titipan coretan pada tulisan dalam paparan buku sahaja atau sekadar mendengar siri ceramah semasa sambutan Maulidur Rasul!

Ketinggian peribadi dan keunggulan kepemimpinan Nabi SAW menyebabkan penulis buku 'Senarai 100 Tokoh Yang Paling Berpengaruh Dalam Sejarah', Michael H Hart telah meletakkan nama Nabi SAW di kedudukan nombor satu dalam senarainya. Kita petikan sedikit apa yang penulis itu katakan.

"Pemilihan Nabi Muhammad SAW pada kedudukan pertama dalam senarai 100 orang yang paling berpengaruh di dunia mungkin mengejutkan dan menjadi tanda tanya kepada sebahagian pembaca. Tetapi saya berpegang kepada keyakinan bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW ialah seorang insan tunggal dalam sejarah yang telah mencapai kejayaan luar biasa dalam menegakkan syiar agama Islam kepada umat manusia keseluruhannya."

Begitulah pengakuan jujur seorang penulis Barat tentang junjungan Rasulullah SAW dan kita seharusnya meraikannya penghormatan itu bukan dengan satu senyuman sahaja, sebaliknya jadikan gaya hidup Nabi SAW sebagai ikutan kita. Rasululllah SAW sudahpun mempamerkan life style yang mempesonakan seluruh makhluk di alam ini, jadi, apakah kita masih tercari-cari idola yang lain sebagai 'lampu suluh' kehidupan kita?

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... lang-insan-teragung

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

31-10-2024 11:35 PM GMT+8 , Processed in 0.157774 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list