|
MESKIPUN tidak pernah berkongsi tahap kekayaan suami, kehidupan mewah yang dimiliki pelakon Datin Intan Najuwa hari ini kerap menjadi buah mulut ramai.
Terbaharu, Intan atau nama penuhnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 26, sekali lagi mencuri perhatian umum apabila suami tercinta, Datuk Ahmad Azraf Azman membawa dua buah trak dipenuhi dengan kuda ke sebuah pantai terletak di New Zealand.
Tindakan Ahmad Azraf mengejutkan tetapi tetap memberi keseronokan buat Intan yang popular menerusi drama Setelah Ku Dimiliki.
“Suami saya membawakan dua buah trak kuda hanya untuk ditunggang dan bermain polo di pantai.
“Perkara itu adalah gila tetapi menakjubkan. Saya sangat seronok,” kongsinya ringkas dalam TikTok.
Menerusi perkongsian sama, Intan turut memuat naik video dia sedang menunggang kuda bersama beberapa individu lain di New Zealand yang menjadi lokasi percutiannya ketika ini.
Intan bagaimanapun tidak berkongsi lanjut sama ada kuda tersebut dibawa dari khas Malaysia mahupun New Zealand.
Sekitar September lalu, Intan pernah berkongsi kepada umum apabila menerima hadiah seekor kuda berwarna putih daripada Ahmad Azraf sempena ulang tahun kelahiran ke-26.
Dia bagaimanapun mengakui tidak pandai menunggang kuda dan menganggap hadiah tersebut adalah untuk menggalakkannya untuk melakukan aktiviti luar.
Sejak mendirikan rumah tangga pada 18 Ogos lalu di sebuah resort di Desaru, Johor, Intan sering menjadi sorotan orang ramai terutama kerap dimanjakan dengan kehidupan mewah oleh suaminya.
Netizen bagaimanapun tidak mengecam sebaliknya merasakan dia layak memiliki kemewahan daripada suami kerana memiliki pakej lengkap iaitu cantik, bijak dan pandai menguruskan rumah tangga. – HIBGLAM
|
|