|
Aktres Siti Saleha mengharumkan nama negara apabila diumumkan sebagai pemenang trofi Bintang Asia Terbaik - Malaysia pada Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan, hari ini.
Dengan kemenangan itu, Siti Saleha atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd Baharum, 34, berjaya mengenepikan pesaing dari negara Asia lain seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina termasuk negara tuan rumah, Korea Selatan.
Mengulas kemenangannya, Siti Saleha berharap ia bukan sahaja dapat membuka mata banyak pihak mengenai bakat besar dimiliki pelakon dari Malaysia, malah menjadi tiket mengembangkan sayap ke peringkat antarabangsa.
"Anugerah ini sangat istimewa buat saya. Siapa tak nak terima anugerah di pentas global dan nama dicalonkan bersama aktor dan aktres terkemuka Asia.
"Saya amat bangga kerana bukan sahaja mewakili Malaysia, tetapi ia juga peluang buktikan ada ramai bakat dari Malaysia yang boleh kembangkan bakat ke luar negara.
"Saya harap dengan platform ini boleh buktikan anak Malaysia ada banyak yang boleh berikan.
"Anugerah ini ibarat satu permulaan untuk raih kejayaan lebih besar," katanya kepada BH Online.
Ditanya adakah sudah bersedia berhijrah demi menggapai impiannya, calon kategori Aktres TV Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 itu mengakui, dia akan melakukannya jika keadaan memerlukan.
"Kalau ikutkan, saya memang selesa di sini, tapi sudah tentu saya tak menolak jika berpeluang bekerja dengan karyawan antarabangsa.
"Secara kebetulan saya juga minat melancong. Tapi, bukanlah saya nak berhijrah selama-lamanya kerana Malaysia tetap di hati," ungkap Siti Saleha.
Terdahulu, nama Siti Saleha dicalonkan dalam acara anugerah itu menerusi drama Tonton Original Series berjudul SeOfis yang ditayangkan di platform digital itu pada Januari lalu.
Drama arahan Faizul Jai itu menyaksikan pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu membawakan watak pereka hiasan dalaman bernama Samirah atau Sam yang menyimpan hasrat namanya tersenarai dalam Forbes 40 Under 40.
|
|