Edited by maklukpenggoda at 18-12-2024 02:43 PM
Oleh: Fazleen Safina
NAMA pempengaruh dan usahawan, Kim Seri sekali lagi menjadi bahan kecaman apabila syarikat ejen pelancongan miliknya didakwa memberi perkhidmatan yang tidak memuaskan.
Dakwaan itu bukanlah perkara baharu, apabila perkhidmatan pelancongan ke Korea Selatan yang disediakan oleh bekas guru itu pernah mendapat rungutan oleh para pelanggannya, yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan layanan pekerja dan ada juga yang mendakwa pernah ditahan oleh pihak imigresen.
Terbaharu, seorang wanita yang dikenali sebagai Sam mendakwa, tidak dapat pulang ke Malaysia pada waktu yang dijanjikan selepas ditipu pempengaruh tersebut.
Menerusi video yang dimuat naik di laman Tiktok, Sam berkata, namanya dan rakan-rakan lain tidak wujud di mana-mana syarikat penerbangan yang ditempah oleh Kim Seri.
“Jadi, sekarang sudah 3.39 petang dekat Korea. Kalau dekat Malaysia lambat sejam je tak jauh beza.
“Sekarang ni kami dijanjikan tiket kapal terbang pada waktu pagi. Kami hari-hari push untuk dapatkan tiket dan dia bagi pada hari kedua.
“Rupanya palsu dan tak wujud nama kami. Bila sampai dekat lapangan terbang nama kami tak ada.
“Sebab dia ada booking flight ticket balik Air Asia tapi bila kami check booking memang wujud. Tapi, nama kami tak wujud. Jadi, sekarang ni kami tersadai dekat sini dan dia tak bagi duit untuk kami beli tiket flight,” katanya.
Dalam pada itu, Sam mendakwa, Kim Seri memberi pelbagai alasan dipercayai untuk mengelak daripada menyelesaikan masalah yang dilalui oleh para pelanggan.
Alasan tidak masuk akal yang diberi wanita itu termasuk masalah sistem sekali gus membuatkan Sam berang dan buntu untuk pulang ke tanah air.
“Bila ditanya dia hanya jawab Allahu, Allahuakbar. Sekejap tengah memandu dari pukul 4 pagi.
“Kami boleh booking tiket. Dia kata pukul 11 pagi, 9 pagi tapi waktu tu sebenarnya tak ada pun tiket ke Kuala Lumpur,” katanya.
Namun, dia bersyukur apabila masalahnya untuk membeli tiket pulang ke tanah air telah diselesaikan oleh individu lain.
Susulan itu, Sam meminta ibu tunggal kepada tiga orang cahaya mata itu untuk bertanggungjawab atas perkara tersebut dan meminta orang ramai supaya membatalkan tempahan pakej percutian yang dibuat dengan pempengaruh berkenaan.
“Kim Seri tolong bertanggungiawab. Kau ambil duit kami punyalah banyak. Kena bayar dua bulan sebelum dan tak boleh lambat. Aku bayar lambat seminggu sebab masalah bank pun kau dah tanya.
“Sesiapa yang ada booking dengan Kim Seri tolong minta refund. Ada pihak beritahu dia tak ada duit dan tengah cari kambing hitam untuk bayar flight ticket kami,” ujarnya.
Menjengah ke akaun TikTok Kim Seri, wanita itu pada 7 Disember lalu tampil membuat permohonan maaf atas masalah yang dihadapi oleh para pelanggannya.
Menurut wanita itu, syarikatnya telah melantik pihak pengurusan dan pekerja tambahan baharu mulai Januari 2025.
“Mohon diberikan sedikit ruang dan masa untuk kami memulihkan dan memperbaiki segala kekurangan pengurusan.
“Yang ingin menarik diri, memohon refund, menukar tarikh dan sebagainya boleh hubungi staf kami dan kami akan cuba proses dan berusaha menyelesaikannya seberapa segera,” tulisnya.
Untuk rekod, nama Kim Seri mula meningkat naik selepas wanita itu banyak membuat perkongsian mengenai pengalamannya menyambung pelajaran di Tiktok.
Hasil kerja kerasnya, wanita itu berjaya membuka sebuah restoran iaitu Kimseri Restaurant yang terletak di Myeondong, Seoul sejak September tahun lalu.
|