CUACA panas terik pada petang Selasa lalu tidak menghalang Nazim Othman untuk menyarung baju kot dan bertali leher kupu-kupu (bow tie). Penampilan yang selayaknya digayakan ketika melintasi karpet merah itu bukan penghalang untuk Nazim melayan permintaan untuk beraksi di siar kaki sebuah deretan rumah kedai di Damansara.
"Jangan risaukan, saya okey," katanya sambil membetul-betulkan sut yang terletak kemas pada tubuhnya.
Memiliki ketinggian 178 sentimeter dengan berat badan hanya 67 kilogram, sosoknya molek untuk menyarungkan apa jenis pakaian ke badan.
"Saya pakai apa yang saya rasakan selesa, kemas, sesuai dengan situasi, tidak comot dan menterjemahkan siapa saya," ujarnya ketawa memintas persoalan pengaruh imej KPop jika itu yang hendak ditala ke mukanya.
Cerita Nazim, penataan gaya dan imej kemas itu mula menjadi sebahagian daripada dirinya selepas dua tahun bergelar pelakon.
"Rasanya transisi imej dan keyakinan saya sebagai seorang pelakon bergerak seiring. Dahulu saya pakai entah apa fesyen, rasa comotnya saya bila tengok gambar-gambar lama. Begitu juga dengan lakonan. Sekarang, saya sendiri dapat rasakan perbezaan. Asalkan positif dan membawa banyak kebaikan untuk saya, saya selesa rasa lebih berkeyakinan dengan imej saya sekarang," ujarnya.
Menghampiri fasa terakhir tahun 2013, Nazim ada kesibukan dan perkembangan terbaharu yang mahu dikongsikan dengan khalayak. Selain kerja seni yang menunjukkan keizinan untuk dia terus berkarya sebagai pelakon, lelaki berzodiak Virgo berkongsi sisi bisnes, obsesi, hala tuju kehidupan peribadi dan cabang seni lain yang sedang bergulir dalam perancangannya ketika ini.
Butik pakaian sendiri
Atas kecintaan terhadap fesyen, duta jam tangan jenama terkenal itu turut menyimpan harapan untuk memiliki sebuah butik pakaian sendiri pada masa hadapan.
“Idea itu diilhamkan oleh seorang sahabat yang kenal sangat dengan sikap saya. Tahun depan usia saya 30 tahun, jadi saya kena fikirkan sesuatu. Butik pakaian itu salah satu daripada agenda besar saya. Setakat ini sudah banyak koleksi yang dikumpul dan pakaian-pakaian itu bukanlah hasil rekaan saya sebaliknya stok yang saya perolehi daripada luar negara. Ia dipilih berdasarkan cita rasa dan apa yang saya rasakan sesuai dengan kelompok pelanggan sasar,” jelas Nazim yang menjadikan laman Instagram sebagai platform promosi awal kepada butik pakaiannya nanti.
Disember bulan terbang
Terlibat dengan penggambaran drama bersiri terbaharu berjudul Kalimah Jiwa, Disember nanti, drama hasil produksi Rumah Karya Citra itu bakal akan menerbangkannya ke sebuah lokasi di New Zealand untuk penggambaran di sana.
“Kiranya hujung tahun ini ada negara berbeza rasa dan cuaca yang akan saya lalui. Selepas ke New Zealand, saya juga baru memberi kata putus untuk sebuah drama lain berjudul Gerimis Salju Naminara. Penggambaran drama itu akan membawa saya ke Korea Selatan selama dua minggu ketika musim salji. Bekulah saya di sana nanti. Sebenarnya saya kurang gemar untuk bekerja dalam cuaca sejuk sebab ‘kulit Melayu’ saya ini sensitif,” katanya yang bakal bergandingan dengan Tasha Shilla, Izara Aisyah dan Afiq Muiz dalam drama berkenaan.
Berbalik kepada drama Kalimah Jiwa, drama yang sekali lagi meletakkan Nazim sebagai hero bawah arahan Erma Fatima itu disifatkan Nazim sedikit berlainan berbanding karakter yang pernah dibawa sebelum ini.
“Dalam Kalimah Jiwa saya jadi lelaki yang agak misteri. Dia lari meninggalkan bakal isterinya pada hari perkahwinan mereka. Sepatutnya saya berkahwin dengan seorang wanita, lakonan Bella Dally tetapi watak saya lebih banyak bersama Raja Ilya,” katanya.