“Iya, semua komposer muda tidak perlu takut untuk memberikan karya mereka kepada saya,” demikian tegasnya.
Penyanyi pernuh versatil ini mengulas mengenai penerimaannya terhadap lagu-lagu komposer baharu, sesuatu yang tidak mungkin boleh diterima oleh artis mampan lain sepertinya.
Pelantun Keabadian Cinta ini begitu terbuka dan tidak sinikal terhadap komposer baharu yang berminat menghasilkan lagu buat dirinya.
Malah dia sama sekali tidak ada masalah untuk menyanyikan lagu tersebut asalkan memenuhi standardnya. Ketepikan soal siapa dirinya dan sejauh mana pancawarna yang telah di hamparkan di seluruh pelosok negara.
“Saya tidak ada masalah dan tidak kisah langsung nak nyanyikan lagu komposer muda atau yang baru berkecimpung dalam dunia muzik. Selagi lagu itu berkualiti tinggi menurut perasaan saya dan sampai ke dalam jiwa, sesiapa pun boleh bagi lagu kepada saya, tiada masalah. Ada nama atau tak ada nama, tapi bila anda dapat menghasilkan sesuatu yang luar biasa. Kenapa tidak saya terima kan,” jelas pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain ini.
Ketika ditanya, apakah ada komposer muda yang datang kepadanya dengan niat untuk menghasilkan karya buat penyanyi bersuara emas ini, Anuar senang bercerita.
“Ada yang datang dan bawa lagu kepada saya. Malah tak kurang juga saya sendiri yang bertanya kepada mereka, namun hingga kini tidak ada satu lagu pun diberikan kepada saya. Mungkin mereka takut. Takut nak menghasilkan lagu khusus buat saya kerana mereka tak yakin dan gusar kalau saya menolak lagu hasil ciptaannya.
“Tapi harus ditekankan di sini, kalau sekalipun lagu itu ditolak dan kita sudah lakukan yang terbaik, jangan pernah mengalah. Mungkin lagu itu lebih sesuai dinyanyikan oleh penyanyi lain.
“Komposer muda perlu buang jauh perasaan takut. Perlu rasa yakin dengan produk anda dan jangan risau jika ada sebarang kebarangkalian yang berlaku di kemudian hari. Kalau lagu itu sesuai, kenapa tidak bukan,” ujarnya dengan nada merendah diri.
Mengulas lanjut mengenai pembikinan album terbaharu yang masih mengekalkan konsep pop, kata Anuar, dia masih menunggu sekurang-kurangnya dua atau tiga lagu lagi.
“Hingga kini saya dah ada enam lagu untuk dimasukkan dalam album terbaharu. Tinggal menunggu dan mencari dua atau tiga lagu untuk melengkapkan senarai lagu.
“Namun segalanya bergantung kepada beberapa lagu yang perlu saya dengarkan dahulu sama ada sesuai atau tidak bagi konsep album. Kalau tidak pun, mungkin saya akan kurangkan lagu menjadi lapan sahaja. Kita tengok nanti macam mana,” ujarnya ada jati Melaka ini berkongsi pembikinan album.
Ketika disoal dari perspektif apakah yang dilihat sebelum menerima sesebuah lagu, Anuar lebih senang untuk membuat pilihan jika lagu itu berjaya mencuri ‘pendengarannya’.
“Bagi saya sendiri pilihan lagu yang sedap didengar menjadi keutamaan dalam mencari material karya terbaik. Jika sesiapa bagi lagu kalau tak sedap didengar dan tak sesuai dengan jiwa dan pendengaran, saya tak akan pilih. Mungkin lagu itu lebih sesuai pada orang lain.
“Setiap ciptaan lagu dan melodi ada keindahan masing-masing. Tapi kadang-kadang sama ada ia bersesuaian dengan jiwa penyanyi itu atau tidak. Alhamdulillah, saya mempunyai penyusun lagu yang terbaik dan memahami kehendak,” tambah adik kepada penyanyi, Ziana Zain.
Menggunakan khidmat komposer dari dua negara iaitu Helen Yap dan Azalea dari Malaysia, manakala Numata dan Alam Urbach dari Indonesia menjadi pilihan Anuar bagi menghasilkan produk muzik yang berkualiti selain menjamin kepuasan peminat. - Gambar SYEFRY MONIZ
Jangan ada perbandingan
\
Berdiri megah selama lebih tiga dekad, Anuar mengaku masih ada rasa gemuruh dan kerisauan dalam hatinya untuk menyanyikan lagu orang lain.
Sekalipun orang luar melihatnya sebagai penyanyi yang sudah mencipta nama, jauh dalam sanubarinya dia tidak pernah lepas dari berasa takut sama ada diterima atau tidak jika menyanyikan lagu seseorang.
Anuar bakal beraksi pada konsert Ku Mohon: Tuhan Berikan Aku Cinta di Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu ini. Selain akan menyanyikan lagu dendangannya sendiri nanti, Anuar turut diminta menyanyikan lagu dari kumpulan Ungu berjudul Bila Tiba.
Sesuai dengan jalan cerita yang akan diselang-selikan dengan nyanyian, Anuar diminta oleh Erma Fatima selaku pengarah konsert berkenaan bagi menyampaikan lagu tersebut agar menepati plot cerita.
“Saya tak ada masalah nak nyanyikan lagu orang lain. Tapi sampai atau tidak cara kita itu ke jiwa orang sama seperti penyanyi asal buatkan saya risau.
“Walaupun saya tetap akan menyanyikan dua lagu sendiri seperti Ketulusan Hati dan Ajari Aku. Lagu ketiga ini saya kena ikut kak Erma punya idea memandangkan kita perlu akur untuk menyanyikan lagu yang sesuai dengan persembahan pada malam itu nanti.
“Harapan saya setiap kali menyanyikan lagu penyanyi lain agar ia dapat sampai ke jiwa peminat setia lagu terbabit dengan cara tersendiri. Mereka (peminat lagu asal) akan mula membuat perbandingan tentang cara saya sampaikan sesuatu lagu buatkan ia sedikit sulit,” ulasnya.
Tambah Anuar, dia tidak kisah jika ada permintaan yang mahukan dirinya mendendangkan lagu penyanyi lain di majlis hiburan asalkan lagu tersebut bersesuaian.
“Selagi lagu itu sesuai dengan suara saya, memang tiada masalah secara peribadi. Cuma penerimaan itu yang buat saya risau.
“Mungkin cara kita berbeza dan cara interpretasi kita terhadap melodi itu berbeza dari segi nyanyian dan sebagainya. Lebih kepada eksperimen sama ada orang terima atau tidak.
“Sudah tentu setiap penyanyi harus menyampaikan sesuatu lagu dengan cara mereka tersendiri. Saya inginkan sesuatu yang baharu dan segar untuk saya hayati.
“Kena buka minda untuk beri peluang dan tidak terlalu membeza-bezakan. Pada saya, terima atau tidak, yang pastinya saya tetap akan menyanyi dengan cara sendiri kerana tidak seharusnya kita nyanyikan sesebuah lagu seperti versi asal. Kita perlu mewarnakan lagu itu menurut corak personaliti dan karakter sendiri,” ujar penyanyi berusia 45 tahun ini lagi.
Menerusi Ku Mohon itu nanti, selain Anuar yang menjadi artis jemputan, turut menampilkan penyanyi Arab, Humood Alkhuder, Opick, Zain Bika, Ebiet G. Ade, Raihan dan Akim & The Majistret. Konsert amal ini merupakan anjuran Islamic Relief Malaysia dengan kerjasama Mawlaya Network Sdn.Bhd.
Sementelahan itu juga, Anuar turut melahirkan rasa bertuah kerana terpilih untuk terlibat dalam konsert amal ini. Biarpun ini merupakan penglibatan kali pertama, dia mahu program seperti ini diteruskan pada masa hadapan.
“Konsert ini lebih kepada kemanusiaan dan membantu mereka yang memerlukan. Kenapa tidak kita saling tolong-menolong? Tak kan berhibur sentiasa kan.
“Sesekali kena ada acara seperti ini untuk membantu sesama manusia tak kira agama dan bangsa,” tuturnya tersenyum.
Gambar Abam nuar yg semakin ayu