|
ni artikel yg YB tempek tadi.....
Harap Aznil bawa pembaharuan
PENGUMUMAN Haji Aznil Haji Nawawi, 49, untuk kembali mengemudi program pencarian bakat paling popular - Akademi Fantasia (AF) bagi musim kesembilan (AF9) disambut gembira oleh bekas pengacara musim lalu iaitu Sarimah Ibrahim, Jimmy Shanley dan AC Mizal.
Bagi mereka kemunculan semula Aznil dalam program itu ibarat sireh pulang ke gagang.
Sarimah berkata pemilihan Aznil adalah tepat kerana pengalamannya sebelum ini yang pernah mengendalikan AF selama lima musim. Jadi, kemunculan semula Aznil pada musim terakhir ini adalah sewajarnya kerana dia yang memulakannya dulu.
"Saya melihat pemilihan Aznil ini secara positif kerana inilah adat program realiti. Di luar negara pun, memang ia langkah biasa dilakukan stesen televisyen apabila pengacara terdahulu diundang semula untuk mengendalikan program yang sudah sampai kemuncaknya.
"Malah, jika saya yang ditawarkan Astro untuk mengacarakan AF9, pasti saya akan mempersoalkan mengapa tidak Aznil yang memikul tanggungjawab ini. Saya yakin, Aznil akan membawa pembaharuan baru yang ditunggu-tunggu penonton AF.
"Selepas sekian lama Aznil meninggalkan pentas AF, saya fikir ini memang masa yang sesuai untuk dia muncul semula. Saya menyambut baik pemilihan Aznil dan tak sabar untuk menyaksikan gelagatnya di pentas. Ia pasti menghiburkan," katanya.
Menurut Sarimah, dia juga yakin pemilihan Aznil diterima baik penonton dan peminat AF yang banyak menyokong perjalanan program itu selama ini. Sekalipun, tidak lagi mengacarakan AF, Sarimah berkata dia tetap sedia menghulur bantuan diperlukan.
Sementara itu, Jimmy pula berkata dia akur dengan pemilihan Aznil kerana inilah masanya. Ujar Jimmy, dia sendiri dulu tertanya-tanya mengapa Aznil harus mengundur diri daripada mengendalikan AF. Mengapa tidak, Aznil teruskan dari mula hingga akhir? "Namun, barangkali ketika itu memang perlu ada pengacara lain untuk meneruskan kesinambungan AF. Bagi saya, sangat berpuas hati kerana dapat juga merasa menjadi hos program realiti TV yang paling popular itu. Kini, tiba masanya untuk Aznil semula.
"Sama seperti peminat dan penonton AF, saya bersetuju Aznil kembali ke pentas AF9 yang terakhir ini. Saya sentiasa memberikan sokongan dan melihat ini perkara yang baik. Kemunculan pengacara berpengalaman seperti Aznil, pasti lebih hangat lagi," katanya.
Jimmy yang tidak lagi mengacara programnya, Trek Selebriti turut memaklumkan dia akan muncul sebagai hos program baru pada April nanti. Namun, katanya apakah konsep program itu masih belum dapat diberitahu sehingga sidang media diadakan.
Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, berkata program realiti itu masih ada ramai penonton setia dan menjadi antara rancangan yang mendapat 'rating' tertinggi pada setiap musim ia ke udara.
Katanya, Aznil dipilih memandangkan ini musim terakhir AF serta melihat pengalaman dimiliki pengacara itu mampu mengembalikan memori indah rancangan yang sudah melahirkan ramai artis terkenal di Malaysia.
"Seperti yang diumumkan sebelum ini, tahun ini adalah musim terakhir AF diterbitkan. Justeru, kami berjanji untuk menerbitkan AF terbaik bagi mengembalikan segala kegemilangan. Waktu sama, supaya memori rancangan ini akan sentiasa tersemat di hati dan sanubari penonton setia walaupun tirai sudah dilabuhkan buat selama-lamanya," katanya.
Aznil sendiri akui sangat terharu apabila peluang sekali lagi diberikan kepadanya untuk mengendalikan AF yang banyak menyumbang kepada perkembangan kerjayanya termasuk mengangkat namanya sebagai pengacara paling popular.
"Pada saya pengacara sebelum ini sudah melaksanakan tugas mereka dengan baik. AC Mizal memberi suntikan dengan lawaknya yang spontan dan slapstik. Sarimah pula tampil dengan cita rasa seorang wanita sementara Jimmy dilihat lebih muda dan segar.
"Kembalinya saya untuk mengendalikan AF9 kerana ia musim terakhir dan menjadi medan untuk Astro Ria meraikan rancangan ini. Sudah pastinya saya tidak mahu mensia-siakan kepercayaan diberikan dan akan cuba melakukan yang terbaik. Tambahan pula saya sudah mengendalikan rancangan ini dari musim pertama hingga kelima. "Pengalaman sepanjang 21 tahun dalam bidang pengacaraan dan sinonim dengan AF memberikan kelebihan kepada saya untuk membantu pelajar yang akan diperkenalkan nanti. "Pastinya dua perkara ini turut menjadi kelebihan kepada saya untuk mengendalikan musim terakhir. Lebih penting, saya berusaha untuk mengembalikan rasa asal atau semangat rancangan ini," katanya.
Katanya, tawaran mengacarakan AF9 diterima sewaktu dia menghadiri program pasaran rancangan TV yang berlangsung di Cannes, Perancis. Bagaimanapun, atas perjanjian perkara itu terpaksa dirahsiakan. "Saya faham banyak spekulasi mengenai pemilihan saya kembali mengemudi rancangan ini ditimbulkan pihak media. Terima kasih atas sokongan diberikan, namun kerana sebab-sebab tertentu dan sebagai kakitangan Astro, saya terpaksa mengambil sikap 'kunci mulut' apabila ada yang bertanya mengenai kesahihannya," kata Aznil.
Aznil juga menafikan dia mengenakan caj tinggi, sebaliknya menjelaskan sebagai kakitangan yang terikat dengan kontrak, dia hanya menurut perintah dan melaksanakan setiap arahan pihak atasan.
"Selama ini, walaupun tidak terbabit dengan AF, saya turut mengendalikan rancangan lain seperti Tom Tom Bak, Serasi Bersama, Macam-Macam Aznil dan Jangan Lupa Lirik. Selain itu saya juga melaksanakan tugas sebagai penasihat kreatif dalam programn Astro. "Cuma dalam tempoh tidak mengacara AF, tiada buah fikiran diberikan terhadap rancangan ini kerana memang saya mahu lihat ia benar-benar berubah tanpa kehadiran saya. Kalau saya masih memberikan idea dan melakukan tugas sebagai penasihat kreatif untuk rancangan ini, bimbang ia tidak akan menunjukkan sebarang perubahan dan dibayangi saya," katanya.
Aznil juga bersedia berhadapan dengan kritikan yang bakal diterima nanti kerana sedar perkara itu pasti akan timbul apatah lagi sekarang ini pelbagai laman sosial wujud membolehkan semua orang meluahkan apa yang difikirkan secara terbuka. Namun biasanya mereka ini akan melakukan kritikan secara selindung tanpa menyatakan nama mereka.
"Saya menganggap orang seperti ini seperti nyamuk di subuh hari, apabila timbul matahari hilanglah ia. Selagi tiada nama pada kritikan ditulis, saya tidak mahu ambil pusing pada gosip. "Berbeza dengan kritikan dari pihak media kerana penulisnya mempunyai nama pada artikel yang ditulis. Setiap kritikan diberikan akan saya ambil sebagai panduan untuk memperbaiki persembahan," katanya.
Sebagai meraikan AF9 sebagai musim terakhir, majlis sidang media itu turut dipersembahkan memori menarik yang dilakukan Aznil dan produksi program itu. Ia dilihat cara paling kreatif untuk memperkenalkannya kembali mengendalikan rancangan realiti popular itu.
Aznil turut dibantu bekas pelajar AF, Azza, Atie, Diddy Hirdy, Farhan, Akma, Haziq, Anding, Rosmah dan Khai untuk menunjukkan sedikit persembahan yang turut mengimbau pembabitannya dalam mengacarakan rancangan itu dari musim pertama hingga kelima. Turut hadir meraikan kembali Aznil ke AF, juara lalu seperti Zahid, Mawi, Hafiz dan Shahir. Untuk musim ini, Aznil akan mengendalikan konsert mingguan, Tirai AF dan Diari AF9.
Sementara itu, persoalan siapakah yang bakal menerajui AF9 sebagai pengetua masih menjadi teka-teki apabila Azlin memilih untuk mengunci mulut apabila ditanya persoalan yang menjadi tumpuan sekarang.
Azlin eggan memberi komen apabila ditanya apakah Astro masih berminat dengan komposer dan vokalis Dewa 19, Ahmad Dhani sebagaimana diperkatakan sebelum ini. Malah ada khabar angin mengatakan Astro membatalkan kontrak apabila ura-ura mengambil Ahmad Dhani mendapat tentangan ramai. Azlin tidak sesekali mengiyakan atau menafikan perkara itu sebaliknya meninggalkan semua persoalan sebagai teka-teki yang tiada jawapan. "Tunggulah nanti, kita akan umumkan siapa orangnya itu," kata Azlin.
Terbaru, nama Amy Search dikatakan sebagai pengetua musim ini kerana ada pihak melihat dia kerap ulang alik Astro akhir-akhir ini. Apa yang jelas, AF terus kekal dengan pelbagai 'kejutan'! |
|