Malah peminat #LoFattah seakan-akan tidak mahu berganjak dari paksi realiti dengan masih mengharapkan kedua-dua pelakon itu terus ‘bercinta’.
Mengakui jodoh adalah satu perkara subjektif, Neelofa menyedari yang peminat sentiasa mahukan mereka bersama sama ada dalam gelanggang lakonan mahupun dunia sebenar.
Namun dengan baik, Neelofa menolak untuk menyentuh soal jodoh.
Buat masa ini, dia selesa bersahabat baik dengan Fattah dan berusaha mengelakkan sebarang unsur negatif menyelinap masuk dalam hubungan baik antara mereka.
“Apabila cakap fasal jodoh, saya rasa itu adalah sesuatu yang sangat subjektif. Saya sedar peminat hendak tengok kami bersama. Tetapi saya tidak mahu sentuh tentang jodoh.
“Saya lebih fokus tentang meneruskan kerjaya dan kehidupan sedia ada.
“Kalau cakap fasal jodoh, boleh jadi dia (Fattah) atau orang lain. Bab itu saya sudah move on,” jelas pengacara MeleTop itu.
Bergandingan sekali lagi dalam Suri Hati Mr. Pilot (SHMP) edisi Aidilfitri, bagi kedua-dua pelakon tersebut, penerbitan episod khas raya itu merupakan hadiah kepada peminat yang sentiasa mendoakan mereka.
Tidak pernah berniat untuk menghampakan peminat, pasangan itu mengakui, kejayaan yang diukir satu demi satu merupakan hasil daripada sokongan peminat yang tidak pernah lelah.
Malah mereka juga berjaya mendominasi Anugerah MeleTop Era 2017 dengan kedua-duanya diangkat sebagai pemenang kategori utama, Top Top Lelaki dan Wanita malam Ahad lalu.
“Saya akui kemenangan ini tercetus daripada fenomena SHMP. Saya sendiri masih terkejut dengan momentum yang dicetuskan oleh peminat. Semakin hari semakin kuat dan besar.
“Peminat #LoFattah bukan sahaja di Malaysia malah di Indonesia, Singapura, Brunei dan ada juga di London, New York serta Dubai. Kalau dihitung semua, mungkin lebih satu juta peminat!
“Yang cukup mengharukan adalah hubungan antara peminat #LoFattah sangat akrab.
“Mereka membina pertalian daripada minat yang sama. Sebab itu, kami berdua sangat bersyukur dan berterima kasih,” kata Neelofa.
Kami matang, positif - Fattah
Membuka bicara tentang gandingan dalam SHMP Raya, Fattah mengakui, kematangan mereka untuk melupakan hal-hal lalu berjaya menghidupkan keserasian di lokasi.
“Setiap pelakon ada kelebihan masing-masing. Mungkin keserasian kami cukup kuat sebab itu peminat dapat merasakannya. Lagipun peminat sekarang sudah pandai menilai.
“Tidak ada masalah jika kami digandingkan dengan pelakon lain.
“Untuk #LoFattah pula, memang kami sedang merancang beberapa projek bersama-sama. Kita doa yang baik-baik sahaja,” jelas pelakon lelaki itu.
Bagi Neelofa pula, dia berpendapat, menjadi satu kerugian jika pengaruh serta fenomena #LoFattah tidak digunakan sebaik mungkin dan kerana itu, dia dan Fattah bersetuju untuk menjayakan SHMP Raya.
“Yang kami buat adalah untuk peminat. Sayang sebab kelompok mereka sangat besar jadi ini adalah satu penghargaan.
“Kita cuma berfikir positif dan guna peluang yang ada untuk balas jasa mereka.
“Lagipun saya dan Fattah tidak mempunyai sebarang masalah. Hubungan kami baik. Kami tolak tepi sebarang unsur negatif. Kita buat yang terbaik untuk peminat,” katanya lagi.