|
Konsert Big Jam panaskan JB
KEHADIRAN puluhan ribu orang untuk menyaksikan Konsert Hot FM Big Jam yang diadakan di Johor Bahru, awal bulan ini mencatatkan sejarah manis kepada stesen radio Hot FM.
Tambahan pula kehadiran pengunjung itu seperti di luar jangkaan kerana konsert yang seumpama festival muzik lapan jam tanpa henti ini diadakan di luar Kuala Lumpur.
Acara yang dimulakan dengan pelbagai aktiviti di gerai penaja konsert itu, turut menampilkan dua penyampai radio yang tersenarai sebagai calon akhir kategori Penyampai Radio Lelaki dan Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH 2008) seperti Faizal Ismail dan Fara Fauzana seawal jam 10 pagi lagi.
Ternyata kemunculan kedua-duanya itu menghangatkan lagi hari yang cukup cerah. Acara siaran luar Hot FM juga turut diadakan bagi mendedahkan kepada pengunjung mengenai operasi pengendalian serta penyampaian segmen Hot FM Korner.
Selain itu, penganjur juga turut mengatur sesi beramah mesra bersama penyanyi dan kumpulan muzik yang nyata ia mendapat sambutan cukup hangat daripada pengunjung, lebih-lebih lagi selepas melihat kemunculan Meet Uncle Hussain dan Faizal Tahir.
Kira-kira jam 4 petang, pentas konsert dibuka dengan persembahan daripada One Nation Emcees sebagai pembuka tirai. Ini diikuti dengan persembahan bertenaga daripada Ayu Damit, Suki, Azharina Azhar, Adam, Irman Ajamin, Ruffedge, Maximus, Bau dan Pesawat cukup membuatkan Danga Bay yang menjadi lokasi konsert ini semakin hangat walaupun hujan sudah mula renyai.
Kehadiran hujan renyai ini pada mulanya menimbulkan keresahan kepada tenaga kerja stesen radio itu. Bagaimanapun, mereka lega apabila penonton tidak berganjak biarpun hujan bertukar menjadi agak lebat.
Peluang yang diberikan kepada dua kumpulan berbakat, Pardon Me dan Modread tidak disia-siakan oleh mereka. Menyampaikan lagu ciptaan sendiri iaitu Tercipta dan Karma, anggota Pardon Me beraksi dengan bersahaja, manakala Modread lebih mengutamakan gabungan secara digital menerusi lagu Revolusi dan Fanatik.
sesi kedua konsert yang dibuat pada sebelah malam pula semakin hangat. Cuaca pula semakin baik. Ramai yang berpusu-pusu untuk melihat lebih dekat barisan kumpulan yang dijanjikan untuk muncul beraksi pada sebelah malam.
Kumpulan Shufflers memulakan persembahan pada sesi kedua konsert, dan malam menjadi semakin panas apabila si lincah, Stacy pula tampil di pentas dengan lagu-lagu cukup bertenaga seperti Aku Stacy dan Gagap. Tambah menarik dalam persembahan lagu Bring Me To Live, Stacy menampilkan Faizal Tahir yang bermain gitar.
Sixth Sense juga merancakkan suasana malam dan mereka menjemput Aizat berduet menerusi lagu Cinta Yang Sempurna. Ini diikuti dengan kehadiran barisan penyanyi dan kumpulan muzik seperti The Divine Masters, Misha Omar, Fabolous Cats, Elyana, One Buck Shot dan Mawi.
Menjadi lebih gamat, Mawi mengundang Faizal Ismail untuk sama-sama menyanyikan Lagu Jiwa Lagu Cinta. Lagak Faizal meniru gaya M Nasir dengan rambut palsunya menimbulkan suasana lucu dan gelak ketawa daripada penonton.
Kumpulan Estranged muncul menyanyikan empat lagu sebelum Faizal Tahir beraksi dengan membawakan lagu Cuba dan Sampai Ke Syurga.
Sementara itu, Bunkface pula muncul dan mereka menambahkan lagi kebingitan Teluk Danga dengan lagu Revolusi, Silly Lily dan Situasi. Walaupun vokalis utama band ini tidak berkomunikasi dengan baik, tetapi itu bukan masalah kepada penonton.
Malam terus hangat. Band yang semakin popular muncul sebagai penutup konsert ini. Meet Uncle Hussain menggamit sorakan penonton. Lagu pertama mereka La La La Kerjalah menyaksikan pengunjung menari sesama sendiri, diikuti lagu Pari Pari Di Bawah Angin dan Halusinasi.
Suasana kemudian menjadi semakin panas apabila kumpulan ini membawakan lagu hits mereka, Lagu Untuk Mu. Malam yang penuh warna warni itu ditutup dengan api Pyro dan meninggalkan kesan manis kepada setiap pengunjung di konsert ini.
Lega konsert lancar
TIADA apa yang boleh diperkatakan oleh Seelan Paul melainkan berasa lega Konsert Hot FM Big Jam 2009 berlangsung dengan lancar.
Menurut Pengurus Besar Rangkaian Radio Media Prima itu, beliau tidak sangka konsert ini mendapat sokongan daripada pendengar Johor Bahru dan Singapura yang masing-masing datang sejak dari pagi lagi.
Katanya, memang pada peringkat awal timbul rasa kebimbangan tidak mendapat sambutan kerana inilah julung kalinya stesen radio itu membuat konsert besar di luar Kuala Lumpur.
Tambah meresahkan apabila hujan renyai bertukar menjadi agak lebat ketika konsert ini sedang berlangsung.
"Namun berbekalkan semangat serta dedikasi ingin memberikan yang terbaik kepada pengunjung dan pendengar setia Hot FM, pasukan kami berjaya mencapai matlamat yang diinginkan," katanya.
BH |
|