|
Post Last Edit by Rorine at 10-6-2010 08:31
Pulut kuning sambut Shahir
Oleh Nurhayati Abllah
[email protected]
2010/06/10
Juara AF8 balik kampung selepas dikurung tiga bulan
HIDANGAN istimewa pulut kuning dan rendang ayam menyambut kepulangan juara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan, Ahmad Shahir Zawawi, 22, yang kali pertama menjejakkan kaki ke rumahnya di Kampar di Perak, Sabtu lalu selepas hampir tiga bulan 'bertarung' sebelum bergelar juara program realiti itu. Lebih bermakna apabila dia dapat menyuapkan hidangan itu ke mulut kedua ibu bapanya, Mahanum Osman, 45, dan Zawawi Abdullah, 54, sekali gus melepaskan kerinduan mendalam anak yang sudah lama berpisah dengan keluarga.
Kenduri kesyukuran di kediamannya di Taman Bandar Baru Kampar, bukan sekadar majlis menyambut kepulangan insan tersayang malah menjadi medan pertemuan Shahir bersama ratusan peminat yang setia menunggunya sejak jam 2 petang.
Walaupun lewat sejam dari dijadualkan kerana masalah teknikal, kepulangan Shahir tetap dinanti dengan setia oleh keluarga, jiran dan peminat dari pelbagai peringkat usia.
Mereka dengan sabar menunggu di bawah khemah tanpa menjamah hidangan, semata-mata ingin menjamu selera bersama Shahir.
"Saya tidak sangka disambut dengan sebegini rupa. Saya ingatkan kenduri kesyukuran ini hanya dihadiri kaum keluarga dan jiran terdekat, tetapi rupa-rupanya ramai juga ternanti-nanti kepulangan saya.
"Terima kasih tidak terhingga dan saya memohon banyak kemaafan kerana membuatkan ramai yang tertunggu-tunggu berikutan kelewatan daripada jadual yang ditetapkan.
揂pakan daya, kadang kala kita sukar menjangkakan apa yang berlaku walaupun ia sudah dirancang dengan baik," katanya ketika menzahirkan kekesalan di atas kelewatan itu.
Kelewatan dan keletihan tidak mematahkan semangat anak muda ini untuk melayan karenah peminat selain mengambil peluang sebaik mungkin beramah mesra dengan kedua ibu bapa, adik-beradik, rakan dan jiran yang tidak jemu memberi sokongan sehingga layak bergelar juara AF8.
Selepas bergelar artis, Shahir mengakui kehidupannya bukan lagi seperti dulu kerana begitu banyak masa yang perlu dikorbankan untuk memajukan kariernya sebagai anak seni.
"Masa yang ada digunakan sebaik mungkin. Saya tidak sabar melepaskan 'gian' berkunjung ke tasik berdekatan rumah yang sebelum ini menjadi tempat lepak dengan kawan-kawan.
揝aya juga tidak sabar untuk menikmati juadah istimewa 'air tangan' mak iaitu puding laici dan sambal sotong. Keinginan semua itu sudah lama diidamkan sejak saya dikurung hampir tiga bulan lalu," katanya sambil tersenyum.
Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Shahir yang juga bekas qari Remaja Perak pada tahun 2004 berkata, dia akan mengadakan beberapa perbincangan bersama pengurusan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) untuk menentukan hala tuju kariernya.
"Saya akan menggunakan sebaik mungkin peluang yang ada untuk mengeluarkan album sendiri atau menceburkan diri dalam bidang lakonan. Namun, ini semua terserah hasil perbincangan dengan semua pihak," katanya yang kini bakal muncul dengan program sendiri, Diariku...Shahir yang disiarkan di Astro Ria setiap Ahad, 10 malam.
Menggalas beban berat
BELUMPUN reda meraikan kemenangan sebagai juara, ternyata rezeki Shahir mula kelihatan apabila dia kini bergelar Ikon Belia Perak 2010 yang diterimanya daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada majlis sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri di Teluk Intan, Ahad lalu.
Mengulas pemilihan sebagai Ikon Belia Perak 2010, dia dengan merendah diri, menyatakan penganugerahan itu adalah satu tanggung jawab besar untuk mempengaruhi golongan belia melakukan sesuatu yang berfaedah untuk diri dan negara.
"Bukan mudah untuk membawa gelaran itu. Semua pergerakan saya terutama disiplin diri menjadi keutamaan dan perhatian ramai. Saya tidak berani untuk memberi jaminan tidak melakukan kesalahan kerana saya bukan manusia sempurna, tetapi saya berusaha untuk menjadi yang terbaik, sekali gus memastikan matlamat penganugerahan sebagai ikon itu tercapai.
"Kemungkinan saya akan melakukan 'sesuatu' untuk menarik golongan remaja hari ini melalui tugas saya sebagai seorang artis. Sebagai seorang rakyat Malaysia, semua mempunyai peranan tersendiri untuk berbakti kepada bangsa dan negara mereka.
"Namun, semua pihak terutama peminat jangan terlalu memberi harapan tinggi kepada saya untuk melakukan 'tugas' berkenaan. Lebih baik kita bersama berusaha ke arah itu," katanya yang turut melahirkan rasa penghargaan terhadap kerajaan negeri kelahirannya dan keprihatinan Menteri Besar yang banyak membantu menangani masalah rakyat di Perak.
Shahir kini sedang popular dengan singlenya berjudul Kebahagiaan Dalam Perpisahan iaitu hasil komposer dan lirik oleh Edry KRU. |
|