Tetap aku tak tergamak nak minum..
https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1865-irsyad-al-fatwa-ke-142-apakah-hukum-meminum-kopi-luwak
Berdasarkan kepada kaedah-kaedah fiqh yang telah dibentangkan tadi, didapati kedudukan kopi luwak adalah harus untuk diminum memandangkan ia berasal daripada sesuatu yang bersih dan telah melalui sistem penghadaman binatang kemudian dikeluarkan dalam bentuk asal tanpa mengalami sebarang kerosakan pada struktur biji kopi yang asal. Selain itu, terdapat juga beberapa fatwa dan pandangan yang telah diberikan oleh para sarjana Islam berkenaan isu ini, antaranya: - Menurut pandangan Majelis Ulama Indonesia (MUI) menyifatkan bahawa biji kopi yang keluar bersama najis luwak adalah mutanajjis (iaitu terkena najis). Ini sebagai mana diumumkan melalui fatwanya bahawa, kopi luwak adalah halal setelah melalui proses pencucian. Diperbolehkan meminum, memproduksi, dan memperdagangkannya.
- Menurut pandangan Fadhilatul al-Sheikh Ahmad Hujji al-Kurdi, seorang pakar dalam bidang al-Mausuah al-Fiqhiyyah dan juga salah seorang anggota Jawatankuasa Fatwa Negara Kuwait telah memberi fatwa untuk menjawab soalan yang ditanya kepada beliau mengenai hukum meminum kopi yang berasal daripada najis musang adalah tidak harus kerana ia adalah najis.
- Menurut pandangan Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir, sewaktu menjadi Presiden Persatuan Ulama Malaysia telah memberi kenyataan bahawa hukum ke atas Kopi Luwak adalah haram. Beliau menjelaskan pandangan tersebut dalam siaran Buletin Utama TV3 pada 10 September 2010
- Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 telah memutuskan bahawa biji Kopi Luwak (musang) adalah bersifat mutanajjis dan ia harus dijadikan bahan minuman dengan syarat:
- Biji kopi tersebut masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam; dan
- Biji kopi tersebut hendaklah disucikan terlebih dahulu daripada najis.
- Muzakarah juga memutuskan supaya Kopi Luwak yang dihasilkan hendaklah mendapatkan sijil pengesahan halal daripada JAKIM atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebelum dipasarkan kepada masyarakat Islam.
Kesimpulan Setelah melihat dan menekuni pandangan ulama tentang hukum kopi luwak, kami lebih cenderung berpandangan kopi tersebut pada asalnya dikira sebagai kategori mutannajis (terkena najis) tetapi selepas dibasuh dan diproses maka hilanglah kenajisannya. Justeru, hukumnya adalah HARUS. Begitu juga keputusan kebanyakan para ulama Indonesia yang mengharuskannya dan mereka lebih mengetahui dan maklum hal yang sebenarnya dalam isu ini. Sehubungan itu, kami juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk menasihati umat Islam agar sentiasa berhati-hati dalam pengambilan apa jua makanan dan juga minuman agar ia benar-benar bertepatan dengan prinsip halalan tayyiban agar segala daging yang tumbuh pada tubuh badan kita berpunca daripada sumber yang baik seterusnya menjauhkan kita neraka Allah SWT. Oleh itu, tanyalah kepada yang mengetahui agar kita tidak terjerumus ke lembah syubhah.
|