KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim memutuskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak akan dikenakan penalti dalam bentuk rebat untuk pengguna, berhubung insiden gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan beberapa kawasan di Semenanjung pada 27 Julai tahun lalu.
Kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini, menjelaskan keputusan dibuat hasil siasatan menyeluruh dijalankan jawatankuasa siasatan ditubuhkan Suruhanjaya Tenaga (ST) sebelum ini untuk mengenal pasti punca dan kesan gangguan terbabit serta aspek pematuhan kepada Standard Prestasi Perkhidmatan (GSL) oleh TNB.
"Berdasarkan semakan GSL, didapati proses pemulihan bekalan berkenaan diselesaikan TNB dalam tempoh dibenarkan, di mana bekalan elektrik berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam masa dua jam 23 minit.
"Justeru, tiada penalti dalam bentuk rebat untuk pengguna, dikenakan terhadap TNB. Semua pihak terbabit insiden ini sudah mengambil langkah mitigasi jangka pendek, sederhana serta panjang bagi memastikan kebergantungan sistem grid di Semenanjung dapat dipertingkatkan dan insiden seperti ini dapat dielakkan daripada berulang pada masa depan," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, hasil siasatan juga mendapati kerja-kerja penyelenggaraan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North, iaitu lokasi punca gangguan, sudah dilaksanakan mengikut jadual sepatutnya dan tiada unsur kecuaian dikenal pasti menjadi punca insiden berkenaan.
"Sebagai langkah segera, TNB sudah mengambil tindakan pantas dengan menukar semua peralatan pengasing di PMU Yong Peng North," katanya.
Seterusnya, kementerian memaklumkan, hasil siasatan mendapati insiden terbabit berpunca daripada kerosakan peralatan pengasing di PMU Yong Peng North yang menyebabkan berlaku pancaran arka (flashover) dan menyambar ke talian bersebelahan dan mengakibatkan PMU Yong Peng North terpelantik.
"Insiden ini menyebabkan sistem grid terpisah kepada dua wilayah dengan frekuensi operasi yang berbeza, iaitu 48.9Hz di Wilayah Tengah dan 51Hz di Wilayah Selatan.
"Justeru bagi menstabilkan frekuensi grid di Wilayah Tengah, mekanisme Skim Pelucutan Beban Automatik (UFLS) sudah diaktifkan bagi mengelakkan sistem grid daripada lumpuh sepenuhnya dengan kehilangan beban sebanyak 2,269MW membabitkan sebanyak 65 PMU," katanya.
Katanya, PMU Yong Peng North mula beroperasi sejak 1987 dan menjadi titik penting dalam sistem grid yang menghubungkan Wilayah Selatan dengan Wilayah Tengah dan Utara.
Selain Lembah Klang, gangguan elektrik itu juga memberi kesan terhadap beberapa kawasan di Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan.