|
Update: Dive Master kata pelancong China menipu, dia nak betulkan peralatan bukan raba, tak pernah offer pampasan, pengurus suruh lapor polis tetapi mereka enggan.
https://www.utusanborneo.com.my/ ... HgYjruBUjFcjCe5XID0
`Dive master' tampil beri penjelasan dakwaan raba penyelam China'
SEMPORNA: Dua dive master yang didakwa meraba dua penyelam warga China dalam insiden pada 31 Mac lalu tampil membuat penjelasan kepada Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Sabah.
Pengarah Motac Sabah Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, kenyataan kedua-dua pihak yang terlibat sudah diambil.
Menurutnya, dive master yang dikenali sebagai James Jark dalam satu kenyataan pada Selasa, insiden yang berlaku tidak seperti yang didakwa kedua-dua penyelam dari China itu.
Laporan akhbar China yang tular mengenai insiden itu menyebabkan imejnya sebagai seorang dive master profesional tercemar kerana dakwaan yang dilemparkan itu tidak benar.
Katanya, dia sudah memberi kenyataan kepada pihak polis untuk membantu siasatan kerana pengusaha pelancongan yang terlibat telah membuat laporan polis berkenaan kes itu.
“Saya tampil membuat kenyataan ini untuk membersihkan nama saya dan dive master yang bekerja di Semporna,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua penyelam warga China itu datang ke Semporna bagi melakukan aktiviti Discovery Scuba Diving (DSD) dan mereka bukan penyelam yang berpengalaman.
Bagaimanapun ketika berada di dasar laut, peralatan menyelam yang dipakai kedua-dua mereka bermasalah dan memerlukan bantuan seseorang untuk memperbetulkannya.
Katanya, apa yang berlaku di dasar laut ketika itu bukan seperti yang didakwa dua penyelam wanita China berkenaan.
“Pada 31 Mac lepas, ketika saya membawa dua penyelam itu melakukan DSD, kedua-dua penyelam itu berdepan masalah dengan BCD yang dipakai ketika menyelam di dasar laut.
“Apabila mendapati tangki seorang penyelam hampir terjatuh, saya memberikan tanda isyarat untuk memintanya berhenti dan menyuruhnya mengetatkan klip BCD yang dipakai.
“Penyelam itu membalas isyarat ‘OK’ dan kemudian meneruskan selaman tanpa memperbetulkan klip dan tangki yang dipakainya. Saya mengandaikan dia tidak memahami isyarat saya berikan," jelasnya.
Katanya, beliau perlu memegang BCD yang dipakai dan memasang klip itu dan membetulkan kedudukan tangkinya. Ketika itulah beliau terpaksa menyentuhnya bukan dengan niat melakukan gangguan seksual seperti yang didakwa.
James berkata, seorang lagi penyelam tidak memasang klip BDC di bahagian hadapan dengan betul, maka beliau perlu membantu memasang klip berkenaan.
Sebagai dive master, keselamatan penyelam di bawah kendalian mereka adalah satu tanggungjawab yang besar.
Katanya, kedua-dua penyelam itu tidak mempunyai pengalaman menyelam, justeru mereka tidak faham situasi yang mereka hadapi dengan pemakaian BCD itu sebenarnya membolehkan mereka berdepan masalah.
“Jika saya tidak membantu memperbetulkan masalah BCD mereka, nyawa mereka dalam bahaya. Ini adalah pengetahuan asas bagi dive master untuk memastikan keselamatan dan juga peralatan penyelam tidak bermasalah.
“Sudah tentu sebelum turun ke laut, kami ada membuat pemeriksaan peralatan namun, ada kalanya ia boleh longgar ketika berada dalam air.
“Adakah tindakan saya membantu penyelam itu dianggap salah kemudian didakwa cuba melakukan gangguan seksual,” jelasnya.
James berkata, beliau sudah menjadi dive master selama tiga tahun. Belum pernah ada penyelam yang tidak berpuas hati dengan caranya membantu mereka di dasar laut.
Menurutnya, keselamatan penyelam adalah keutamaan dive master dan itulah etika profesional yang dipegang.
“Tindakan yang saya lakukan itu betul dan saya tidak menyesal menegur cara pemakaian BCD mereka walaupun pada akhirnya saya yang didakwa meraba mereka.
“Saya sudah berkeluarga, cuba fikir apa perasaan isteri dan anak saya jika saya kehilangan sumber pencarian disebabkan dakwaan yang tidak benar sebegitu,” katanya.
Wakil pengusaha pelancongan tempatan itu berkata, penyelam China itu tidak membuat sebarang aduan pada hari kejadian itu berlaku, iaitu pada 31 Mac.
“Namun, pada 1 April penyelam itu membuat aduan kepada ejen pelancongan China kononnya dive master berkelakuan tidak elok ketika membawa mereka melakukan DSD.
[b]“Justeru, kami nasihatkan supaya penyelam China itu membuat laporan polis. Syarikat kami tidak pernah mencadangkan memberi bayaran pampasan kepada wanita China itu dan menasihatkan mereka membuat laporan polis. Namun, sehingga hari terakhir mereka berada di Semporna, iaitu pada 2 April, tiada sebarang laporan polis yang dibuat.
“Kemudian, kami hanya mengetahui mengenai isu yang tular ini melalui kawan-kawan pada 11 April lalu,” jelasnya.
Sementara itu, Abdul Razak Ismail dari Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA) berkata, pihaknya turut membantu dalam kes berkenaan bagi menjaga nama baik dive master yang berada di Semporna.
“Walaupun dive master itu bukan ahli SPDA tetapi demi menjaga nama baik penyelam di Semporna, kami terpanggil turut membantu menjelaskan situasi sebenar yang berlaku.
“Sebagai badan yang tidak memihak kepada sesiapa, kami menyerahkan kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh ke atas semua pihak yang terlibat,” katanya.
Pada 11 April lepas, akhbar China melaporkan insiden yang berlaku ke atas dua warga mereka ketika menyelam di Semporna.
Kedua-dua wanita warga China itu mendakwa diraba oleh dive master ketika berada di dasar laut. Dive master itu didakwa menyentuh bahagian sensitif pada tubuh mereka dengan sengaja beberapa kali ketika berada di dasar laut.
Mereka memfailkan aduan kepada pengusaha pelancongan tempatan yang mengendalikan tempahan mereka dan agensi itu bersetuju menawarkan pampasan bernilai RMB3,000 (RM1,842). Namun, bayaran itu tidak diterima sehingga mereka kembali ke China. |
|