CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Syd

Kampung Baru

[Copy link]
 Author| Post time 1-2-2009 02:21 PM | Show all posts
Kampung Baru : Tumpuan Warga Kota Kuala Lumpur

Oleh Rohana Mustaffa

Bahagian 4 daripada 6 siri rencana Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 1 Feb (BERNAMA) -- "You nak buat kondo di slum area?"

Begitulah reaksi awal yang agak mengejutkan daripada kenalan Datuk Abdul Rahim Mohd Ibrahim, seorang pemaju hartanah, mengenai cadangannya membina kondominium mewah di Kampung Baru Kuala Lumpur.

Beliau tidak menyangka perkataan slum yang bermakna setinggan terucap oleh kenalannya mengenai Kampung Baru.

Akhirnya setelah mengatasi segala rintangan termasuklah kepungan fakulti minda, beliau berjaya membangunkan Plaza RAH, satu-satunya kondominium mewah di Jalan Raja Abdullah yang merupakan struktur tunggal kediaman paling tinggi di kampung ini.

Kemunculan plaza berkenaan sebagai mercu tanda baru perkampungan Melayu di tengah-tengah bandar raya metropolitan Kuala Lumpur ini menghakis segala tanggapan bahawa Kampung Baru tidak boleh dimajukan atau tidak boleh berubah wajah disebabkan pelbagai masalah usang yang kompleks.

Kenalan Abdul Rahim menyamakan Kampung Baru dengan Bronx, sebuah petempatan majoriti bukan kulit putih Amerika di utara New York dan "mereka tidak yakin unit-unit kondo ini boleh terjual," katanya.

Kini, mereka mungkin boleh gigit jari kerana kondominium itu laris macam pisang goreng!

Umum mengetahui Kampung Baru bukanlah kawasan setinggan, kerana ia petempatan khusus bagi orang Melayu yang wujud pada tahun 1899 dan dikenali sebagai Malay Agriculture Settlement (Petempatan/Tanah Pertanian Melayu).

Walaupun pembangunan tidak begitu rancak di kampung ini, namun ia tetap menjadi tumpuan warga kota, terutama untuk menjamu selera kerana dikatakan lubuk segala lubuk kepada makanan dan minuman.

PUSAT SEGALA JENIS MAKANAN

Biasanya agak sukar mencari tempat meletak kereta di tepi jalan Pasar Minggu Kampung Baru terutama pada waktu tengah hari dan malam.

Deretan kereta mewah, kereta kecil dan motosikal sentiasa mengisi setiap ruang termasuk di Jalan Raja Muda Musa yang telah diperindah sebagai pusat tumpuan.

Warga kota berbaris untuk membungkus atau memilih makanan juga sudah biasa dalam kalangan pengunjung -- yang berpakaian pejabat akan sebati dengan mereka yang hanya berkemeja T, berkain pelikat dan berketayap atau berselipar, beratur menunggu giliran di gerai nasi lemak, nasi bubur atau gerai yang menjual berpuluh-puluh jenis masakan pelbagai selera di sini.

Pasar Minggu Kampung Baru yang terkenal dengan pintu gerbangnya bukan pasar ikan atau pasar hujung minggu, tetapi nadi aktiviti harian perniagaan makanan di kampung ini.

Yang berkereta tidak semestinya berpakaian segak, yang berselipar tidak seharusnya penghuni rumah berhampiran, yang berkain pelikat tidak semestinya baru balik dari Masjid Jamek Kampung Baru. Tiada siapa yang memandang serong atau pelik terhadap mereka yang datang dengan kereta mewah atau yang berselipar jepun duduk berkongsi meja makan di sini.

Di seluruh ceruk Kampung Baru sebenarnya tidak pernah sunyi dengan kunjungan orang ramai ke gerai-gerai makan, semata-mata untuk menikmati nasi lemak bungkus, sup/tom yam panas, kuih Melayu dan roti canai dengan secawan kopi atau teh tarik, tidak kira siang atau malam.

Sekali sekala akan kelihatan anak muda menampal iklan bilik atau rumah kosong untuk disewa di pokok atau gerai makan berhampiran. Ada juga yang terdengar berbual menerusi telefon mencari rakan serumah atau rakan sewa sebilik.

Daya penarik iklan mereka, ialah kalau bilik sewa itu di flat PKNS berusia lebih 30 tahun di Pasar Minggu, ia berdekatan dengan Stesen LRT, di belakang flat berkenaan.

RUMAH DAN BILIK SEWA DI KAMPUNG BARU SENTIASA LARIS

Menyewa di Kampung Baru, bagi pelajar universiti atau mereka yang baru bekerja, memang selesa -- rumah atau bilik boleh disewa beramai-ramai, tempat makan, masjid, bank, hospital dan pasar (Chow Kit), semuanya berdekatan.

Tidak menghairankan sekiranya tuan rumah (yang kebanyakannya tinggal di luar Kampung Baru) tidak perlu bersusah payah menempah iklan di akhbar kerana penyewa yang ada boleh mencari sendiri rakan sebilik atau serumah mereka.

Letak saja harga sewa untuk satu unit flat paling murah di sekitar RM850 maka pandailah penyewa berkongsi beramai-ramai mengisi ruang tiga bilik flat itu. Harga beli flat PKNS ini asalnya hanya sekitar RM28,000 tetapi kini nilainya melonjak lebih RM100 ribu.

Di kawasan sekitarnya, tuan tanah membina khas rumah sewa beberapa pintu atau menyambung rumah kampung mereka menjadi deretan panjang untuk disewakan.

Kata seorang penduduk, untuk mengutip sewaan sekurang-kurangnya berjumlah RM2,000 atau RM3,500 sebulan memang mudah di Kampung Baru.

Sebab itu untuk menjimatkan ruang tanah, rumah sewa biasanya dibina rapat-rapat, menggunakan sepenuhnya kawasan tanah yang ada sehinggakan ada rumah yang bertembung pintu depannya dengan pintu dapur penyewa lain.

Berebut kawasan parkir adalah perkara biasa kerana halaman yang dikongsi hanyalah sekangkang kera. Sebab itu juga di tepi jalan dan setiap lorong Kampung Baru akan ada saja kereta yang diletakkan penghuni rumah sewa ini.

Disebabkan itu juga mungkin punca ada rumah sewa yang tidak pernah berubah wajah daripada bentuk asalnya. Ada rumah papan yang nampak uzur tetapi masih ada penyewa. Untuk mengubah suai, tuan rumah terasa rugi akan kehilangan wang sewa, sedangkan permintaan penyewa bertali arus.

BERJALAN KAKI AMALAN BIASA

Berjalan kaki di Kampung Baru juga selamat dan selesa, melalui celah-celah jalan, rumah dan bangunan yang ada.

Kalau ada yang berkata orang Malaysia hanya berjalan jauh jika di London, mereka silap. Di Kampung Baru ada penduduk yang berbuat demikian, walau bertali leher atau berkemeja kemas sambil menyandang beg.

Tidak ada siapa yang ambil pusing terhadap mereka ini kerana mereka berjalan kaki untuk ke Jalan Raja Muda Aziz yang ada bank dan pusat pameran kereta mewah, menuju ke belakang flat PKNS untuk menaiki LRT, ke Jalan Tun Razak untuk ke pejabat, ke perpustakaan atau hospital, ke persimpangan Jalan Raja Abdullah-Jalan Sultan Ismail untuk ke universiti dan ke Chow Kit untuk ke pasar dan membeli belah.

Kemudahan yang berdekatan ini mengelilingi Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah ibu kota.

Kampung Baru bersempadankan Jalan Raja Muda Abdul Aziz di utara, Jalan Dang Wangi, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur dan Sungai Kelang di selatan, Jalan Tun Razak di timur dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (kawasan Chow Kit) di sebelah barat.

Keunikan kedudukan dan suasana santai Kampung Baru inilah yang membuatkan orang mudah bernostalgia apabila bercakap mengenai rancangan untuk membangunkannya.

Ada yang mahu suasana dan identiti Kampung Baru ini dikekalkan selama-lamanya begini, ada juga yang mahukan perubahan.

Tetapi kalau dilihat pemandangan di sekelilingnya, Kampung Baru tidak seindah mana. Rumah Melayu tradisional yang masih dipelihara dan dikekalkan rupanya juga tidak banyak.

Yang banyak kelihatan ialah rumah papan usang atau rumah sewa separuh batu yang bersambung-sambung, gerai makan dan kedai runcit di celah-celah bangunan yang berkilat cerminnya, yang menempatkan bank dan pejabat, lorong-lorong kecilnya sarat dengan bengkel kereta, kedai cat dan pertukangan, serta butik-butik kecil pakaian dan rawatan kecantikan.

Ada juga penduduk Kampung Baru yang sememangnya menantikan pembangunan ini.

PENDUDUK SUDAH BERKORBAN, KINI NANTIKAN PEMBANGUNAN

Umpamanya beberapa keluarga di Kampung Periuk, yang sebahagian rumah mereka telah dikorbankan untuk pembinaan jalan dari sebuah kedai pizza di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang merentasi Jalan Dewan Sultan Sulaiman dan dijangka berakhir berdekatan dengan Menara Perkeso di Jalan Tun Razak.

Ada rumah di situ sudah kehilangan bahagian dapur dan bilik airnya di belakang rumah, menyebabkan rumah mereka sudah tinggal sekerat, betul-betul berada di tepi jalan besar.

Di Jalan Raja Bot, ada keluarga yang mendindingi kediaman mereka dengan kedai-kedai separuh papan dan separuh batu, yang menjalankan perniagaan VCD/DVD, ejen pelancongan, pejabat sekolah memandu dan menjual ubat tradisional dan jamu.

Di belakang kedai-kedai itu, rumah pesaka yang ada, sudah uzur. Rumah-rumah papan itu disambung berangkai-rangkai dan rapat-rapat. Ada yang disewakan, dan ada yang diduduki anak atau saudara mara dan adik beradik, yang berkongsi hak sebidang tanah kecil ada yang tidak sampai 0.2 hektar.

Yang duduk di situ berkongsi halaman yang tidak sebesar mana, berkongsi garaj kereta yang beratapkan zing yang penuh dengan besi buruk, bekas plastik petrol dan tayar terpakai, berkongsi tempat menjemur baju malah berkongsi longkang untuk mengalirkan sisa kotoran.

Mantan menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad semasa melancarkan projek itu empat tahun lepas menyatakan harapan pembinaan kondominium itu, yang merupakan hasil usaha anak jati Kampung Baru dan di atas tanah milik sendiri, akan menjadi pencetus kepada usaha pembangunan seterusnya di Kampung Baru.

Beliau juga berpesan bahawa walaupun ingin dimajukan, entiti Melayu yang menjadi kebanggaan di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur hendalah dipertahan selama-lamanya.

-- BERNAMA
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 2-2-2009 09:39 AM | Show all posts
sini byk kedai makan..malam tadi bru g makan sana
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-2-2009 12:49 PM | Show all posts
Kampung Baru : Pertahankan Warisan Melayu Di Ibukota

Oleh Rohana Mustaffa

Bahagian 5 daripada 6 Siri Rencana Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Kampung Baru, perkampungan rizab Melayu tunggal di tengah-tengah metropolitan Kuala Lumpur boleh dimajukan dengan syarat ia hendaklah kekal selama-lamanya sebagai markas kelompok Melayu.

Warisan Melayu yang wujud seperti Masjid Jamek Kampung Baru dan Pasar Minggu hendaklah sentiasa dipelihara manakala segala perancangan masa depan yang membabitkan bangunan dan cadangan memperindah sungai perlu menyerapkan identiti Melayu.

Dengan kata lain, Kampung Baru Kuala Lumpur tidak dapat tidak perlu kekal sebagai Warisan Melayu di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Sekiranya kelonggaran hendak diberikan untuk membolehkan penyewaan ruang perniagaan atau tanah atau sebarang kegiatan kepada bukan Melayu, hak milik tanah di Kampung Baru hendaklah kekal untuk orang Melayu sahaja dan hak milik tidak dibenarkan bertukar tangan.

Demikianlah penekanan mengenai kepentingan orang Melayu yang digariskan dalam suatu memorandum bersama oleh Persatuan Pembangunan Kampung Baru Kuala Lumpur (PKKB) dan Persatuan Kebajikan Anak-anak Melayu Kampung Baru Kuala Lumpur (Pakam) pada seminar mengenai Kampung Baru yang diadakan pada 1994.

Ini adalah permintaan sebahagian besar penduduk Kampung Baru yang menganggotai kedua-dua persatuan yang mewakili kepentingan mereka.

Memorandum yang kini berusia 15 tahun itu amat mementingkan masa depan orang Melayu dan kelangsungan hayat Kampung Baru dalam arus pembangunan pesat Kuala Lumpur.

Kedua-dua persatuan itu turut membangkitkan kebimbangan pemilik tanah, masalah pengambilan tanah milik beramai, isu pampasan dan penyewaan kepada orang bukan Melayu.

Memorandum itu yang dilahirkan ekoran wujudnya berita mengenai rancangan pembangunan Kampung Baru, bertujuan mengutarakan pandangan pemilik tanah, para penduduk dan mereka yang berniaga di kawasan berkenaan bagi memastikan pembangunannya setaraf dan seimbang dengan kawasan sekelilingnya.

JANGAN UBAH HAKMILIK TANAH

Mengenai cadangan sewaan tapak kepada bukan Melayu, kedua-dua persatuan itu merujuk kepada Seksyen 16 dan Seksyen 17 Enakmen Rezab Melayu 1965 yang menjelaskan bahawa sebarang tukar milik, cagaran atau pajakan kepada bukan Melayu tidak boleh dibenarkan dan seksyen 222 dan 223 Kanun Tanah Negara pula menentukan apa-apa pajakan yang melebihi tiga tahun, hendaklah berdaftar.

Mereka sedar bahawa apa-apa sewaan atas pajakan bagi jangka masa kurang dari tiga tahun tidak akan menarik ahli perniagaan bukan Melayu sedangkan permohonan pendaftaran pajakan yang melebihi tiga tahun kepada orang bukan Melayu, pastinya akan ditolak oleh Pendaftar Tanah.

Oleh yang demikian, kedua-dua persatuan itu mencadangkan supaya kerajaan meluluskan pemberian hak milik strata Kampung Baru dan dibenarkan juga pajakan tanah kepada bukan Melayu dengan syarat ia tidak melebihi 25 tahun, didaftarkan.

DBKL pula perlu mewujudkan zoning dalam perancangan pembangunan Kampung Baru iaitu memperuntuk sekurang-kurangnya satu pertiga kawasan Kampung Baru sebagai kawasan kediaman tetapi bukan khusus di satu tempat kerana ada keperluan untuk kawasan kediaman golongan pendapatan sederhana dan rendah, tidak semestinya di dalam kawasan Kampung Baru, tetapi juga boleh di kawasan pinggirnya.

Untuk menentukan nilai tanah Kampung Baru seimbang dengan nilai tanah di sekitarnya, mereka mencadangkan purata plot atau kepadatan penduduk bagi kawasan ini dipertingkat sama seperti kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan kawasan-kawasan yang berhampiran.

Kawasan lapang yang sedia ada seperti Padang Kelab Sultan Sulaiman dan Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang ditafsirkan sebagai tanah lapang.

Kedua-dua persatuan itu mencadangkan tanggungjawab pembangunan Kampung Baru tidak diambil seluruhnya oleh oleh kerajaan tetapi turut dikendalikan badan berkanun seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Urban Development Authority (UDA) dan Amanah Saham Selangor serta syarikat Bumiputera yang berminat dengan cara membeli tanah Kampung Baru mengikut harga pasaran.

CADANGAN LAIN

Cadangan lain termasuk:-

Tuan tanah diberi jangka masa yang sesuai untuk berunding dengan pemaju dan jika urusan jual beli tidak dapat diselesaikan sama ada disebabkan ketiadaan waris atau wakil mutlak atau kedegilan yang tidak munasabah, kerajaan boleh menggunakan kuasa pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi pihak pemaju berkenaan.

Dalam apa jua keadaan, keutamaan hendaklah diberikan kepada syarikat Bumiputera di dalam urusan pembangunan Kampung Baru, dan mereka bertanggungjwab mengadakan kediaman alternatif kepada penduduk terlibat.

Harga muktamad bagi pampasan pengambilan tanah terletak kepada mahkamah tetapi hendaklah dinilai seimbang dengan harga tanah di kawasan sekitar dan pinggir Kampung Baru.

Ruang perniagaan atau kediaman hendaklah terlebih dahulu ditawarkan kepada penduduk tempatan sebelum dijual kepada Bumiputera (Melayu sahaja) lain dan tiap blok pembangunan menyediakan kawasan penjaja atau perniagaan.

Kepentingan sosial dan kebudayaan Kampung Baru dipelihara supaya cara hidup penduduknya tidak berubah dan oleh itu Masjid Jamek Kampung Baru dikekal dan dipertingkat sesuai dengan pembangunan di sekelilingnya.

Begitu juga dengan bangunan Kelab Sultan Sulaiman yang kaya dengan sejarah kebangsaan dikekalkan sebagai pusat pembangunan masyarakat, aktiviti sukan dan rekreasi, Pasar Minggu Kampung Baru dikekalkan untuk kegiatan perniagaan Melayu dan dinaiktaraf dengan bangunan bertingkat seperti pasar moden menjual kraftangan, makanan dan sebagainya seperti di Kota Baharu Kelantan dan Kuala Terengganu.

Empat belas tahun selepas itu, pada 19 Ogos 2008, PPKB mengadakan seminar untuk membincangkan Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang turut melibatkan pembangunan Kampung Baru.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-2-2009 12:50 PM | Show all posts
DRAF PEMBANGUNAN MENYELURUH

Draf itu merangkumi aspek pembangunan menyeluruh Kampung Baru dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memberikan taklimat sebanyak dua kali mengenai pelan yang khusus melibatkan kampung berkenaan kepada para pemilik tanah.

Seminar itu bertujuan mempertingkat kefahaman penduduk Kampung Baru mengenai draf berkenaan dengan melibatkan beberapa pakar perancang bandar, arkitek, jurutera dan wakil syarikat pembanguan hartanah Bumiputera untuk meneliti dan membincangkan kesesuaian draf pembangunan itu dengan apa yang mereka kemukakan sebelum ini dengan kemajuan Kampung Baru selepas 1994.

Seminar itu dihadiri seramai 100 anggota persatuan dan pemilik tanah Kampung Baru, kata Naib Yang Dipertua PPKB Dr Mohd Yusof Ismail yang membukukan laporan mengenai pandangan awam (penduduk Kampung Baru) tentang cadangan draf DBKL itu.

Beliau berkata seminar itu merumuskan beberapa cadangan balas kepada draf asal DBKL yang membuka ruang bagi orang ramai memberikan cadangan, pandangan dan bantahan sehingga 31 Ogos 2008 mengenai pelan bandaraya 2020 itu sebelum proses pendengaran bantahan dan cadangan dimulakan DBKL dari September hingga Februari tahun ini.

Dr Mohd Yusof dalam temu bualnya dengan Bernama, berkata pada prinsipnya persatuan itu tidak menolak secara langsung draf DBKL itu tetapi berpendapat ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaik.

"Saya melihat dari aspek perancangan keseluruhan Kampung Baru yang perlu diperhalus dan dibincangkan lagi terutama dari segi pembahagian zon pembangunan," katanya.

Antara bantahan utama mereka ialah pengambilan balik tanah melalui pembangunan semula berintegrasi.

TIDAK PUAS HATI DENGAN CADANGAN DBKL

"Kami tidak bersetuju, kerana bagi kami strategi pengambilan balik tanah adalah cara terakhir yang patut dilakukan dan DBKL harus berperanan sebagai pentadbir dan bukan pelaksana pembangunan Kampung Baru," katanya.

Mereka juga tidak puas hati apabila pelan pembangunan itu dilihat tidak memberi fokus kepada aspek mengekalkan warisan Kampung Baru seperti Masjid Kampung Baru dan Pasar Minggu dalam cadangan reka bentuk bangunan yang pada pendapat mereka tidak menyerapkan identiti Melayu.

Seminar itu juga merasakan cadangan zon pembangunan mengikut komponen jalan di Kampung Baru seperti "Corporate Street","Autocity Mall" dan sebagainya hanya akan menguntungkan sebahagian kecil pemilik tanah, maka DBKL diharapkan dapat membangunkan setiap jalan berselang seli dengan kawasan perumahan bagi memastikan Kampung Baru kelak sebagai kawasan yang tidak "tidur" di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

"Kami tidak mahu ada zon yang akan hidup sampai tengah malam tetapi di satu zon Kampung Baru lagi akan bergelap kerana ia merupakan kawasan kediaman," katanya.

Dr Mohd Yusof berkata peserta seminar itu juga membangkitkan mengenai harga hartanah yang rendah yang memungkinkan pengambilan tanah bagi mereka yang bersetuju akan pada kadar yang murah.

Wakil DBKL, Pengarah Jabatan Pelan Induk DBKL Zainab Mohd Ghazali turut dijemput menerangkan mengenai draf Kuala Lumpur 2020 yang khusus melibatkan Kampung Baru.

Dr Mohd Yusof yang pernah memegang beberapa jawatan kanan awam seperti timbalan ketua setiausaha Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos, pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan ketua pengarah Unit Penyelidikan Sosio Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, turut membentangkan kertas kerja pada seminar itu.

Beliau mencadangkan agar Kampung Baru dinamakan Kampung Baru City Centre sesuai dengan kedudukannya berhampiran KLCC dan sesuai dengan nama itu, perlu diwujudkan pula laluan korporat yang merangkumi beberapa jalan di Kampung Baru, diperbanyak kawasan perdagangan, pembangunan bercampur kediaman dan perdagangan.

Turut dicadangkan beliau ialah harga tanah di Kampung Baru diasaskan kepada kes penjualan pada tahun 2006 dan 2007 di kawasan di dalam dan di sekitar Kampung Baru yang boleh mencapai sehingga RM1,000-RM2,000 sekaki persegi.

CADANGAN PUSAT WARISAN MELAYU DI KAMPUNG BARU

Arkitek Mariyah Pit pula mencadangkan supaya sebuah pusat Warisan Melayu diwujudkan di Kampung Baru dengan berfokuskan kawasan sekitar Masjid Kampung Baru dibangunkan sebagai sebuah taman seperti Regent's Park Mosque di London. Pasar Minggu dijadikan seperti Pasar Chatuchak (Bangkok) dan Pasar Chow Kit dijadikan sebagai sebahagian daripada Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi pasar seni.

Semua ini dicadang dibangunkan mengikut sasaran masa seperti pelan pembangunan lima tahun Kampung Baru dan sebagainya.

Bekas naib canselor Universiti Selangor Datuk Dr Mohd Razali Agus dan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Yazid Saleh mencadangkan:-

Kampung Baru dibangunkan oleh GLC dan dipantau Jabatan Perdana Menteri dengan modal pembangunan sekurang-kurangnya RM10 bilion.

Pemilik tanah yang bersetuju menyerahkan tanah kepada GLC untuk dibangunkan, dijamin mendapat sekurang-kurangnya satu unit kediaman atau unit perniagaan, mendapat pampasan dan elaun kesukaran.

Resolusi seminar itu dikemukakan dalam bentuk pandangan awam terhadap Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 kepada DBKL.

-- BERNAMA
Reply

Use magic Report

Post time 2-2-2009 09:55 PM | Show all posts
aku bukan la org asal kg  baru...tapi aku dok sini semenjak aku lahir..family aku dah menetap sini lebih 30thun...sikit sebanyak perkembangan tempat ni leh nmpk la ..

peniaga skrg ni bnyk dah beralih tgn ke org luar...owner2 kedai sewakan dkat indon2 n aceh2 untuk meniaga..abis kebersihan sume tolak tepi...

tak kurang jugak deretan2 kedai siam...dari ujung ke hujung...

kampung ni patut dipelihara bagi mengekalkan kedaulatan melayu kt sini...

alhamdulillah xtviti2 kurang sehat bnyk dah kurang...bukan lagi sarang2 yg bukan...tapi lebih kepada tmpat tumpuan makan...yg buruk sikit2 tu mane pun ade..hik2..
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-2-2009 10:28 AM | Show all posts
Kampung Baru : Transformasi Jiwa Dan Wajah

Oleh Rohana Mustaffa

Bahagian Akhir daripada 6 siri Rencana Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Kampung Baru akan mengalami transformasi jiwa dan wajahnya menjelang tahun 2020, sekiranya sebuah draf pelan ibu kota diterima sepenuhnya terutama oleh warga kampung ini.

Ketika itu Kuala Lumpur akan muncul menjadi bandar raya bertaraf dunia manakala Kampung Baru pula diangkat martabatnya menerusi pembangunan yang berstrukturkan zon dengan kewujudan 16 presint di atas tanahnya seluas 378.93 ekar (151.57 hektar)

Keluasan ini mengikut ukuran Kampung Baru di bawah kawasan Malay Agriculture Settlement (Petempatan Pertanian Melayu) (MAS) yang merangkumi Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampoung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah seluas 225.89 ekar (90.35 hektar).

Seluas 153.04 ekar (61.21 hektar) lagi ialah kawasan di luar MAS terdiri daripada kawasan Chow Kit, Dang Wangi dan Jalan Sultan Ismail (dulunya terdapat beberapa buah kampung setinggan), Kampung Sungai Baru dan Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Kampung Baru di dalam peta Kuala Lumpur terletak di bahagian utara pusat bandar, disempadani Jalan Raja Muda Abdul Aziz di utara, Jalan Tun Razak di timur, Jalan Dang Wangi, Lebuh raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) dan Sungai Kelang di selatan dan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sebelah barat.

Sekiranya Draf Kuala Lumpur Pelan Dewan Bandaraya 2020 diterima secara keseluruhannya, Kampung Baru akan berubah wajah kepada, sebagai contoh Presint A di mana Pasar Minggu Kampung Baru bersama stesten LRT Kampung Baru akan dimajukan sebagai pusat pengumpulan, pemasaran serta pameran kebudayaan dan seni dengan kewujudan kemudahan laluan kaki bernama Kampung Baru Walk.

KEWUJUDAN ZON PEMBANGUNAN

Jalan Raja Abdullah yang akan bernama Presint B, akan dizonkan sebagai Laluan Korporat atau Corporate Street, Jalan Raja Alang yang mempopularkan Bazar Ramadan akan dikekalkan tetapi dengan nama barunya Laluan Bazar atau Bazaar Street di Presint P.

Draf itu juga mencadangkan supaya Jalan Raja Bot sebagai Presint H akan menjadi pasar seni bersempadan dengan Presint G atau Hab Perubatan yang merangkumi Hospital Kuala Lumpur, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu UKM dan Pusat Penyelidikan Perubatan (IMR) yang sedia ada.

Deretan kedai lama di Jalan Dang Wangi (dahulunya Jalan Campbell) akan menjadi Presint Warisan K, sementara Jalan Raja Uda yang mempunyai bilangan besar rumah kampung, akan menjadi kawasan kediaman dan komersil yang dinamakan Presint F, manakala Presint J pula adalah pusat perbankan Islam di persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Raja Abdullah yang sudah wujud beberapa buah bank di situ.

Jalan Raja Muda Abdul Aziz yang kini merupakan pusat perniagaan usahawan Melayu dalam industri kereta motor akan bergelar Autocity Mall yang terdiri daripada pelbagai pusat jualan dan pameran automobil serta pusat aksesori kenderaan.

DBKL menerusi draf itu mencadangkan supaya semua kawasan dalam kawasan operasinya dilibatkan dalam rancangan pembangunan untuk menyediakan peluang dan kemudahan sama rata kepada penduduknya yang dijangka mencapai 2.2 juta.

Setiap kawasan mempunyai kategorinya dan DBKL menetapkan bahawa perlu wujud kawasan-kawasan khusus yang memerlukan perhatian dari segi pelaksanaan perancangan pembangunannya disebabkan sudah ketinggalan dan dikaitkan dengan masalah pembangunan yang kompleks, kemiskinan, persekitaran hidup yang kurang sihat dan infrastruktur yang tidak mencukupi.

Menurut draf Kuala Lumpur 2020 itu, Kampung Baru akan berperanan sebagai penghubung kebudayaan dan komersil penting di antara bahagian utara, barat dan timur pusat bandar raya.

KORIDOR HIJAU AKAN MUNCUL DI KAMPUNG BARU

Kampung Baru juga akan terlibat dalam pembangunan koridor hijau yang menghubungkan Presint Kebudayaan di sepanjang Jalan Tun Razak dan Taman Tasik Titiwangsa dengan menggunakan Sungai Bunus sebagai kawasan lapang berjajar.

Mengikut pelan struktur itu, kawalan ketinggian bangunan akan dikenakan di kawasan ini dalam usaha mengekalkan koridor visual dari Taman Tasik Titiwangsa ke Menara Kembar Petronas Kuala Lumpur.

Kampung ini juga akan dibangunkan sebagai pemangkin kepada kewujudan satu Koridor Kebudayaan yang menghubungkan presint kebudayaan di Jalan Tun Razak dan Jalan Conlay dengan presint membeli belah di KLCC dan Chow Kit.

Kampung Baru, satu-satunya kampung rizab Melayu di tengah-tengah bandar raya, merupakan antara enam kawasan khusus yang ketinggalan dalam pembangunan, dan akan diberi perhatian dari segi pelaksanaan perancangannya oleh DBKL. Daripada enam kawasan itu, Kampung Baru merupakan kawasan yang paling padat dengan penduduk, seramai 446 orang satu hektar, atau 45,000 orang keseluruhannya (mengikut bancian tahun 2000).

DBKL kini dalam proses mendengar pandangan dan bantahan terhadap Draf Kuala Lumpur Pelan Bandar Raya 2020 selepas dibentangkan kepada umum tahun lepas dan menerima maklum balas mereka melalui borang khas pandangan awam yang disediakan.

Jilid 4 draf itu khusus melibatkan pelan tempatan perancangan di Kampung Baru.

DBKL menerima lebih 100 pandangan dan bantahan daripada individu, badan bertindak penduduk dan persatuan yang mengisi borang pandangan awam berkenaan dan mereka kini menunggu giliran untuk dipanggil di hadapan sebuah panel bebas.

Pengarah Jabatan Pelan Induk DBKL Zainab Mohd Ghazali Ogos tahun lepas turut dijemput sekumpulan penduduk Kampung Baru untuk memberikan penerangan mengenai pelan tempatan khusus melibatkan kawasan Kampung Baru di dalam draf itu.

Beliau berkata empat alternatif pembangunan disyorkan DBKL bagi Kampung Baru iaitu:

a. Pembangunan mengikut trend - mengekalkan ikut keadaan sedia ada dengan kebanyakan pembangunan bergantung kepada tuan tanah

b. Pembangunan semula terpilih - mengikut kesesuaian kawasan yang dikenal pasti

c. Pembangunan semula berintegrasi - digalakkan DBKL kerana pembangunan Kampung Baru akan disepadukan dengan pembangunan di kawasan sekitarnya seperti Taman Tasik Titiwangsa dan KLCC.

d. Pembangunan semula komprehensif - memerlukan pengambilan tanah dan melibatkan perubahan keseluruhan kawasan

Aspek penting dalam pelan pembangunan Kampung Baru ialah cadangan zoning yang diperaku untuk keseluruhan kawasan Kampung Baru. Cadangan zoning ini menetapkan kegunaan tanah bagi kawasan-kawasan di Kampung Baru yang secara langsung akan mempengaruhi nilai harga tanah pemilik tanah dan kegunaan tanah itu.

Sesetengah kawasan ditetapkan sebagai kawasan perdagangan, kegunaan bercampur kediaman, zon kemudahan dan infrastruktur, kawasan lapang awam dan lain-lain.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 3-2-2009 10:29 AM | Show all posts
PENDEKATAN PELBAGAI DIGUNA PAKAI

Pada seminar itu, Zainab menjelaskan bahawa mekanisme yang dicadangkan oleh Pelan Pembangunan Kampung Baru ialah "pendekatan pelbagai" dengan memberi empat pilihan kepada pemilik untuk membangunkan tanah mereka - (1) secara persendirian (2) pembangunan tanah bersepakat (3) pembangunan melalui Kampung Baru Development Corporation atau (4) DBKL mengambil balik tanah di bawah 3(1)(b) Akta Pengambilan Balik Tanah 1960.

Bagaimanapun, katanya, DBKL mengesyorkan supaya pembangunan secara persendirian digalakkan dan pembangunan melalui pengambilan tanah ialah cara terakhir.

Sebanyak RM100.6 juta diperuntuk di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 untuk menaik taraf struktur fizikal dan infrastruktur di Kampung Baru yang melibatkan pembangunan semula Pasar Minggu (RM20 juta), menaik taraf dan memperindah Jalan Raja Alang serta Jalan Raja Muda Musa (RM25 juta), membina dan menaik taraf rangkaian jalan yang menghubungkan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Razak (RM40 juta), penambahbaikan dan mencantikkan persekitaran Jalan Raja Bot dan Jalan Haji Hussein (RM7 juta) serta projek bersepadu pejalan kaki (RM8.6 juta).

Mengambil kira segala rancangan pembangunan ini, turut dibincangkan ialah syor memansuhkan sekatan kepentingan yang menghalang pendudukan dan penyewaan kepada bukan Melayu bagi meninggikan nilai tanah di Kampung Baru dan membolehkan pembangunan pesat berlaku.

Pemansuhan sekatan ini akan menjamin kelarisan pasaran hartanah yang akan dibangunkan dan dalam hal ini juga pembangunan Kampung Baru tidak perlu bergantung kepada tuan tanah Kampung Baru saja tetapi diperluas kepada orang Melayu lain yang berkemampuan.

MEKANISME PEMBANGUNAN

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique, yang juga anak Kampung Baru, sempena sambutan Hari Wilayah, memberi jaminan kepada penduduk kampung ini yang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru akan ditubuhkan di bawah bidang kuasa DBKL untuk memudahkan pelaksanaan rancangan pembangunannya.

Beliau yakin pemilik tanah akan diberi pilihan untuk membangunkan tanah mereka dan mereka boleh memilih formula yang menguntungkan mereka tetapi haruslah ada satu formula yang bertepatan untuk itu.

DBKL sementara itu mengakui bahawa Jabatan Peguam Negara telah mengesahkan bahawa hak milik yang dikeluarkan Pejabat Tanah KuaLa Lumpur (sebelum 1974) dan kemudian Wilayah Persekutuan, adalah sah di sisi undang-undang, dengan itu pemilik tanah MAS Kampung Baru mempunyai hak milik yang tidak boleh disangkal di bawah Seksyen 340 Kanun Tanah Negara.

Dari segi hak, ia terjamin mengikut Perkara 13, Perlembagaan Persekutuan, iaitu: "Tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang. Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi".

Oleh itu DBKL mentafsirkan Perkara 13 seperti berikut:

* Pihak Berkuasa Negeri boleh mengambil tanah milik individu secara paksa,

* Apabila tanah milik seseorang atau badan diambil, pampasan secukupnya (harga pasaran) mesti dibayar kepada pemilik

* Tanah milik persendirian hanya boleh diambil atau digunakan di bawah kuatkuasa undang-undang.

Dalam kes tanah MAS Kampung Baru, DBKL mengesyorkan tanah itu dimajukan oleh sebuah badan kerajaan atau syarikat kerajaan (GLC) dan Kabinet boleh mengarahkan syarikat berkenaan supaya mengambil tanah MAS yang dikenal pasti di bawah Seksyen 3(1)(b) APT 1960.

Pemilik tanah boleh memilih sama ada ingin menerima pampasan dalam bentuk wang tunai atau sebahagian wang tunai dan sebahagian hartanah yang hendak dibangunkan pemaju.

Mana-mana hartanah yang siap dibangunkan sementara menunggu orang Melayu membelinya, boleh disewakan kepada pihak lain sama ada Melayu atau bukan Melayu.

Antara kaedah pembahagian hartanah yang disyorkan ialah sistem pawah di mana pemaju mengambil tujuh bahagian dan tuan tanah diberi tiga bahagian atau cara lain yang adil berdasarkan nilai tanah.

Cara kedua ialah menubuhkan satu badan khas di bawah akta Parlimen yang berperanan membangunkan tanah rizab Melayu di seluruh Semenanjung, memasarkan hartanah yang dimajukan orang Melayu, memegang dan menguruskan hartanah yang belum dapat dijual kepada orang Melayu dan menyewakannya kepada orang lain, Melayu dan bukan Melayu serta membeli kuota hartanah Bumiputera yang tidak mampu dibeli.

Cara ketiga ialah memberi kebebasan kepada pemilik tanah membangunkan tanah mereka apabila mereka merasakan sudah bersedia dan mampu menjalankan projek tertentu ke atas hartanah mereka.

Sementara itu, DBKL menjangkakan tidak menghadapi masalah dalam cadangan membangunkan tanah Kampung Baru di luar kawasan MAS seperti yang pernah dilaksanakan PKNS dan ia turut boleh diusahasama dengan bukan Melayu dengan pasaran tanahnya lebih terbuka.

-- BERNAMA
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 4-2-2009 09:47 AM | Show all posts
Seumpama dua darjat


Pembangunan di Kampung Baru, Kuala Lumpur mula digerakkan sejak tahun 1975. Namun sehingga kini, ia menemui jalan buntu.



Pembangunan Kampung Baru, warisan Melayu di tengah-tengah ibu kota metropolitan Kuala Lumpur bergerak perlahan sejak dibuka pada tahun 1899. Ia berlaku disebabkan pelbagai faktor, antaranya kerenah birokrasi usang dan sikap penduduk. Bagaimanapun, harapan baru muncul dengan cadangan transformasi kampung tersebut.

Menyorot kembali usaha pembangunan Kampung Baru, ia bukanlah satu kisah pendek. Sekiranya dibandingkan kerancakan pembangunan di kawasan itu dengan jirannya di sebalik sempadan bersama, terutama Sungai Kelang, ia sangat berbeza.

Kampung Baru terletak di bahagian utara pusat bandar raya yang disempadani Jalan Raja Muda Abdul Aziz di utara, Jalan Tun Razak di timur, Jalan Dang Wangi, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) dan Sungai Kelang di selatan serta Jalan Tuanku Abdul Rahman di sebelah barat.

Sebagai contoh, menara kembar yang paling tinggi di dunia terletak hanya satu kilometer dari kampung itu. Ironinya, masjid, deretan kedai, kelompok rumah dan pelbagai lagi tidak kelihatan berubah seperti mana Kampung Baru mula dibuka pada tahun 1899 dan digazetkan setahun kemudian.

Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan seakan-akan wujud dua darjat di antara Kampung Baru dan kawasan sekelilingnya.

Tujuh kampung utama

Kampung Baru yang seluas 90.35 hektar (225.89 ekar) terdiri daripada tujuh buah kampung iaitu Kampung Hujung Pasir, Kampung Pindah, Kampung Periuk, Kampung Paya, Kampung Masjid, Kampung Atas A dan Kampung Atas B.

Saiz perkampungan membesar selepas beberapa kampung kecil turut dirangkumkan ke dalam Kampung Baru seperti Kampung Manggis dan Kampung Sungai Baru dan kemudian disertai perkampungan yang ditakrifkan setinggan sebelum ini, iaitu Kampung Limau, Kampung Chendana dan Kampung Paya Baru.

Terdapat tiga kategori tanah milik Melayu wujud di Kampung Baru iaitu Tanah Simpanan Melayu, Tanah Simpanan Pertanian Melayu dan Tanah Melayu Diberi Milik.

Dahulu pernah terdengar jenaka bahawa yang berubah di Kampung Baru hanyalah nama-nama jalannya, sedangkan kampung itu masih lagi seadanya.

Apa tidaknya, Hale Road yang dinamakan sempena seorang pentadbir British pada zaman penjajah kini dikenali dengan nama Jalan Raja Abdullah manakala Jalan Raja Muda Abdul Aziz yang merentangi Kampung Baru dahulunya ialah Princess Road dan Jalan Haji Yahya Sheikh Ahmad pernah bergelar Jalan Watson.

Membangunkan kampung baru

Usaha pertama untuk membangunkan Kampung Baru bermula pada tahun 1975 dengan menyatukan pelbagai lot kecil tetapi langkah itu tidak mendapat sambutan dan 10 tahun kemudian, DBKL mengemukakan pelan konsep pembangunan dengan tujuan mengelakkan pemilik individu membangunkan tanah mereka secara persendirian.

Setelah lama menyepi, khabar angin mengenai pembangunan Kampung Baru hangat diperkatakan semula pada 1991, susulan lawatan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri (Tun) Dr. Mahathir Mohamad bersama rombongannya, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Bandar Kuala Lumpur, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Datuk Dr. Suleiman Mohamed yang ketika itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilantik mengetuai jawatankuasa pembangunan semula Kampung Baru, turut mengiringi beliau.

Beberapa siri pertemuan dengan penduduk seramai 1,923 orang diadakan, tetapi usaha tiga tahun Suleiman gagal, berpunca daripada pelbagai masalah tuntutan pembangunan, hak milik beramai, kos dan pentadbiran tanah dan sebagainya.

Ekoran itu, pelbagai aktiviti cuba diusahakan sama ada secara bersendirian atau berkumpulan tetapi kesemuanya menghadapi jalan buntu akibat masalah kos pengambilan balik tanah.

Pelan Tempatan Kampung Baru yang diarah dikeluarkan DBKL pada 1992 sehingga kini tidak diketahui umum bentuknya sehinggalah Draf Kuala Lumpur 2020 Pelan Bandar Raya yang melibatkan Kampung Baru di dalam Jilid 4 dibentangkan pada tahun lalu.

Penduduk tubuh persatuan

Persatuan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) dan Persatuan Kebajikan Anak-anak Melayu Kampung Baru (Pakam) dalam memorandum mereka pada 1994 turut menyenaraikan beberapa masalah yang timbul dalam perancangan membangunkan Kampung Baru.

Ketika itu wujud kumpulan pemilik tanah yang mendesak kerajaan membayar pampasan yang terlalu tinggi dan tidak munasabah dari segi harga pasaran dan penyewaan. Ada pula pihak yang menangguk di air keruh dengan mempengaruhi tuan tanah supaya menyerahkan kuasa menguruskan tanah sehingga berlaku penipuan.

Tidak kurang juga yang mencari populariti memperjuangkan isu Kampung Baru sehingga menampakkan suara pemilik tanah dan tujuan kerajaan tidak sekata.

Menurut PPKB dan Pakam, selepas mengadakan beberapa mesyuarat dengan anggota mereka ketika itu, rata-rata penduduk Kampung Baru yang mempunyai kepentingan hartanah dan perniagaan menyokong rancangan untuk membangunkan Kampung Baru dengan syarat pihak berkenaan mengambil kira masalah yang dihadapi mereka dan memenuhi harapan mereka yang munasabah.

Mereka tidak mahu berulangnya peristiwa perpindahan orang Melayu dari Sungai Gombak dan Sungai Kelang ke Kampung Baru atas alasan pembangunan, mengakibatkan hampir pupus orang Melayu yang bermastautin di bandar raya Kuala Lumpur.

Jika tidak mencapai kata putus yang adil, kata mereka, Kampung Baru akan terus kekal sebagai dua darjat dengan kawasan di sekitarnya. - Bernama
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 4-2-2009 09:51 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 4-2-2009 10:12 AM | Show all posts
gambo lama..

mcm umah kawasan setinggan yang lain gak


Reply

Use magic Report

Post time 4-2-2009 08:34 PM | Show all posts
kampung baru mundur ke??aku rase mcm tak pun...kalo nk banding dgn sekeliling memang la...tp kalo nk banding dgn tempat lain dlm KL ni pun still jauh maju di depan...kiterog pun nk kn kemajuan..cuma bnyk sgt masalah dalaman..tu susah nk bagunkan...satu tanah sepuluh nama..sorang kata tak..tak jual la..tak leh nk bgunkn la..mcm2...jadi kajian lebih mendalam perlu..sejajar dgn kehendak penduduk..susah or....
Reply

Use magic Report

Post time 4-2-2009 08:37 PM | Show all posts

sivik

gambo tu amik kt jalan mana ek..teringin nya aku nk tgk kead masa tu..bapak aku ckp dulu sg bunus tu leh mandi manda lagi..air pun jernih..tp sbb kn penduduk2 kt hulu sungai yg maju2 belaka...habis kotor sungai kt hilir ni..

kita kalo tgk jepun...rumah2 kt sana masih kekalkan traditional...tp sivik n budaya dorg bgus...

kita kt malaysia ni.buat umah n bangunan cangih mana pun..tapi minda lembap...sivik takde..buang sampah suka hati...berhasad dengki...sbok pasal politik kerja ntah kemana...malas...asik main porum...eh..silap...tak guna...:@ :@
Reply

Use magic Report

Post time 5-2-2009 12:03 PM | Show all posts
betul ke penduduk asal kampung baru ni datang dari melaka dan klang?
Reply

Use magic Report

Post time 5-2-2009 02:05 PM | Show all posts
mcm ye jugak kot..sbb member2 aku yg katakan dorg ni penduduk asal n berketurnan dari dulu lagi kt sane..rmai yg dari melaka...tapi tak smua la..


n tanah pun bnyk kurniaan sultan..ntah le btol ke tak..or dorg temberang aku...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-2-2010 04:03 PM | Show all posts
Bayaran RM4j: Penduduk Kg. Baru diharap tidak keliru
18/02/2010 2:24pm

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Pemilik tanah di Kampung Baru di sini diharap tidak terkeliru dengan bayaran RM4 juta yang bakal diberikan oleh kerajaan sekiranya mereka bersetuju dengan cadangan pembangunan semula kawasan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, harga sebenar bayaran yang akan diterima oleh penduduk adalah bergantung kepada keluasan tanah masing-masing.

"Kalau harga sepenuhnya jika kawasan itu telah dimajukan dalam RM20 bilion kita dibahagikan dengan lebih kurang 5,000 pemilik, kita dapat lebih kurang RM4 juta (seorang).

“Tapi kita mesti tahu daripada 5,000 itu ada tanah yang kecil, yang besar, jadi tak semestinya seorang dapat RM4 juta,” katanya selepas merasmikan Taman Tasik Datuk Keramat di sini, hari ini.

Raja Nong Chik berkata, bayaran RM4 juta itu hanyalah harga rambang dalam memberi gambaran kepada potensi pembangunan itu kelak.

Beliau berkata, kementerian akan berbincang dengan ”stakeholder” khususnya pemilik tanah di Kampung Baru berhubung perkara itu selepas jemaah menteri meluluskan konsep pembangunan di kawasan itu.

"Saya sendiri akan ”turun padang” ke Kampung Baru untuk dapatkan maklum balas tentang cadangan (pembangunan) itu sebaik sahaja jemaah menteri meluluskan konsep pembangunan ini dalam masa dua bulan lagi,” katanya.

Beliau menjelaskan kementerian akan menubuhkan satu badan yang mengendalikan pembangunan Kampung Baru itu yang mana badan tersebut dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan. – Bernama
Reply

Use magic Report

Post time 19-2-2010 12:05 PM | Show all posts
pakcik kayooo.. 4 juta sorg... hurm........ suka mkn kt kg. baru.........makanan dia sdp2.......
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 20-2-2010 12:25 PM | Show all posts
dibuat nye tanah sekangkang kera..
nama plak dalam geran kemain ramai..
apa je yang dapat...
Reply

Use magic Report

Post time 21-2-2010 11:10 PM | Show all posts
hik2..kdg2 mcm setuju pun ade gak memandangkn sedikit sebanyak kg baru dah jadi mini jakarta..eh takpela..amik je..bgun kn smpai jadi betul2 baru..bior rege kaw2 serk..mungkin that time ramai melayu2 loaded n cina je leh beli premises kt situ..eh cine leh ke??ops...tp mungkin takde dah la indon2 ni..argh..bingit tol..

bukan benci..dorg pun dekat sgt aliran darah dgn kita kt mesia ni nk bading cina2 tu..cuma dorg menjakarta kn mesia ni aku rimas..cuba dok bersih2...tatabahsa n hormat dorg bgus...humble gak arr..n dorg ni msih 12x bgus dari awwang2 itam mcm mane rmai complaint smpai tahap berani raba2 gadis bagai..

urm..dah melalut lagi..takpe..amik la wahai goment ku..jgn ilang dimakan sejarah udah..kui2
Reply

Use magic Report

Post time 29-9-2010 01:28 PM | Show all posts
owh...so btol la tanah kg.baru ni dipegang persatuan... banyak btol hal time gov nk amek tanah... smuenye becanggah...
Reply

Use magic Report

Post time 29-9-2010 01:52 PM | Show all posts
aku prefer rumah - rumah melayu lama di kg. Baru jangan dirobohkan tetapi dialihkan atau diletakkan di satu kawasan di kg baru utk tatapan generasi akan datang.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic
madu gula tok matahari
aaanf14madu gula tok matahari
Views : 104456 Replies : 1061
Kim Seri mohon maaf, janji bayar semula duit pelanggan
maklukpenggodaKim Seri mohon maaf, janji bayar semula
Views : 19667 Replies : 101
Wanita sedih bayinya masuk wad gara-gara termakan najis tikus,netizen mempersoalkan bagaimana insiden tidak diingini itu boleh berlaku.
YgBenarWanita sedih bayinya masuk wad gara-gara
Views : 32081 Replies : 64
Hafidz Roshdi vs. Ngai
maklukpenggodaHafidz Roshdi vs. Ngai
Views : 346035 Replies : 9109
Acikpor vs. Ngai, isu tajaan MARA dikorek
maklukpenggodaAcikpor vs. Ngai, isu tajaan MARA dikore
Views : 20277 Replies : 233
Taraf 'funfair', pengunjung konsert Biduanita-Judika buat aduan ke tribunal pengguna ramai rasa ditipu!!
maklukpenggodaTaraf 'funfair', pengunjung kons
Views : 57752 Replies : 282
[SBS/Netflix 2025] LOVE SCOUT - Han Ji Min, Lee Joon Hyuk ~ 3 January 2025
Rahah[SBS/Netflix 2025] LOVE SCOUT - Han Ji M
Views : 57126 Replies : 19
Berita malam sejuk:Isteri Abang Viva Luah Rasa Kiciwa Membaca Perbualan Mesej Suaminya Dengan Seorang Wanita Yang Dikatakan Isteri Orang.
YgBenarBerita malam sejuk:Isteri Abang Viva Lua
Views : 38062 Replies : 77
Jom buat nama gangster
VellfireJom buat nama gangster
Views : 3949 Replies : 55
Edisi Rumah Pantun
telracsEdisi Rumah Pantun
Views : 51734 Replies : 196

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-12-2024 07:17 PM GMT+8 , Processed in 0.946899 second(s), 28 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list