CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Syd

Catatan Faizal Tahir @ Bintang Popular (B*Pop)

[Copy link]
Post time 26-4-2009 10:49 AM | Show all posts
Hari ini 26/4/2009, Faizal kembali dengan coretan pertama untuk tahun ini Bipop ruangan Aku.Muzik.Kamu
belum dapat baca online
Reply

Use magic Report

ADVERTISEMENT

Post time 26-4-2009 02:16 PM | Show all posts
dah tgk td..
takde pun coretan ft..
Reply

Use magic Report

Post time 26-4-2009 04:27 PM | Show all posts
Originally posted by cikgu_murni at 1-2-2009 22:23
I salute and respect you! Antara artis lain termasuklah Norman Hakim dan Abby Abadi, Faizal Ismail atau FBI, AC Mizal, Amy Search, Afdlin Shauki, M Nasir, Awie dan ramai lagi... semuanya masih ma ...

time FT tulis ni norman hakim blm kena tangkap basah lagi...
Reply

Use magic Report

Post time 26-4-2009 05:28 PM | Show all posts

Reply #22 masterdyanna91's post

ada sayang, aku beli paper tu, hardcopy ada, online belum update
Reply

Use magic Report

Post time 7-5-2009 05:34 PM | Show all posts
minggu ni giliran ft kan?..
Reply

Use magic Report

Post time 10-5-2009 06:48 PM | Show all posts
Penyanyi kena berani buat pembaharuan 10/5/09

Oleh Faizal Tahir
[email protected]

ASSALAMUALAIKUM. Salam sejahtera. Alhamdulillah, sekali lagi kita bertemu dalam ruangan Aku.Muzik.Kamu. Sebelum saya meneruskan lebih lanjut, saya percaya masih belum terlambat untuk saya ucapkan tahniah kepada pemenang Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16, minggu lalu. Tahniah! Semoga segala kemenangan dan pengiktirafan diberikan itu dijadikan inspirasi serta iktibar untuk bekerja lebih keras dan memberikan yang terbaik dalam segala hasil kerja kita.

Tahniah juga kepada Tomok yang berjaya menjuarai One In A Million (OIAM) musim ketiga, baru-baru ini. Semoga Tomok berjaya memberikan impak dan sumbangan setimpal kepada industri hiburan tempatan, insya-Allah.

Seperti mana yang saya janjikan, kali ini saya akan lebih banyak bercerita mengenai pembikinan album kedua saya di atas permintaan ramai. Memang sudah terlalu ramai yang bertanyakan mengenai album kedua saya dan saya ambil peluang ini untuk meredakan keadaan dan menjawab segala pertanyaan tersebut.
Hampir dua tahun saya tidak mengeluarkan produk atau album baru. Sehinggakan ada spekulasi mengatakan Faizal Tahir mahu bersara, Faizal Tahir sudah puas dengan pencapaiannya dalam masa tiga tahun bergelar penyanyi, Faizal Tahir sudah tidak ada passion untuk berkarya, sudah selesa dengan kedudukannya dan macam-macam lagi.
Saya hanya mampu tersenyum mendengar semua itu. Pertama, saya sudah pun mengeluarkan single terbaru iaitu Bencinta yang sudah mula dimainkan di stesen radio. Khamis lalu saya terbabit dengan rancangan Muzik Muzik TV3 untuk pencalonan baru lagu berkenaan.

Ramai juga pemerhati dan peminat yang mengatakan agak rugi kerana pada tahun ini saya langsung tidak tercalon dalam apa-apa kategori bagi sebarang anugerah. Jujurnya, saya tidak berasa begitu. Tidak terlintas di fikiran saya untuk mengejar apa-apa anugerah dalam setiap penghasilan karya seni saya.

Namun, jangan salah faham. Bukan saya tidak mahu dan tidak menghargai segala pengiktirafan dan penganugerahan itu. Anugerah yang diterima memang menjadi pemangkin dan semangat untuk bekerja lebih keras dan menghasilkan karya yang lebih baik. Tetapi, saya seorang yang sangat cerewet dan sangat mementingkan kualiti hasil kerja saya lebih daripada segala-galanya.

Jadi, tidak wajar sekiranya saya terkejar-kejar menyiapkan kerja saya semata-mata mahu tercalon dalam sesuatu majlis penganugerahan. Saya sedar, harapan masyarakat semakin tinggi setiap kali kita mendapat pengiktirafan dan penganugerahan. Bohonglah kalau saya katakan saya tidak berasakan tekanan langsung.

Namun, sikap saya yang sentiasa mahu berikan yang terbaik banyak membantu dalam proses penghasilan setiap karya seni saya. Bak kata pepatah, 'rushing won't do any good'. Sebagai seorang pemuzik dan penghibur, saya seorang yang peka dan selalu memandang ke hadapan. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu mengulangi hasil kerja saya yang lepas. Apa yang ingin saya katakan adalah saya sentiasa mahu sesuatu yang baru dan segar dan ini memerlukan keberanian dan mengambil masa.

Jika tidak berani mengambil risiko, maka tiadalah pembaharuan. Sebagai contoh, memang pada kelazimannya sebagai pendengar, sudah menjadi lumrah seseorang itu mahu penyanyi kegemarannya mengulangi hasil kerja sebelumnya yang 'meletup'. Contoh, mungkin ramai yang menginginkan sesuatu seperti Cuba atau Sampai Syurga dalam album kedua saya nanti.
Itulah yang tidak mahu saya lakukan. Seboleh-bolehnya saya akan mengelak. Tetapi, kadang-kadang memang akan ada tempias daripada hasil kerja kita yang sebelumnya. Ini tidak dapat dinafikan dan setiap pemuzik tidak akan dapat lari 100 peratus daripada hasil karyanya yang lepas. Saya sendiri mengalami situasi ini.

Pasti akan ada kedengaran tempias daripada karya yang pernah saya hasilkan sebelum ini. Malah setiap komposer dan pemuzik mengalaminya. Pada masa sama, kita harus evolve. Namun, dalam proses evolusi ini juga selalunya seseorang penyanyi itu hilang peminatnya. Namun, saya berasa sangat bangga melihat masyarakat kita yang sudah lebih terbuka minda untuk menerima sesuatu pembaharuan.

Kita semua melalui proses pembelajaran dan semakin matang dalam menilai sesuatu. Setiap hari mematangkan kita. Ini termasuklah pemuzik seperti saya dalam penghasilan karya, saya dan juga pendengar yang menilai karya tersebut. We move on.

Saya sendiri banyak mendapat 'mixed feedback' mengenai single terbaru, Bencinta. Ada yang dengar terus suka. Ada yang mengambil masa yang tertentu untuk menerimanya. Ada juga yang langsung tidak boleh menerima kelainan yang saya bawakan. Terpulang kepada cita rasa masing-masing. Dalam hal ini tiada siapa yang salah.

Saya cuma melakukan kerja saya dan mahu pastikan yang saya sentiasa memberi sesuatu yang baru dan terbaik daripada diri saya. Memang saya akui saya lebih berani dan lebih banyak bereksperimentasi dengan muzik saya untuk album ini. Ia mengambil masa. Namun, dalam masa sama, saya tidak mahu album kedua ini terlalu berlainan daripada album sebelumnya.

Masih perlu ada influence atau pengaruh daripada album terdahulu. Perubahan drastik juga tidak akan membantu. Saya tidak boleh terlalu memikirkan mengenai apa yang saya mahukan dan saya juga tidak boleh terlalu memikirkan apa yang pasaran muzik kita mahukan. Ia harus seimbang dan setimpal. Dalam erti kata lain, saya tidak mahu over analyze permintaan pasaran muzik kita. Bagi saya, hasil terbaik hanya hadir apabila kita seronok dan enjoy melakukan kerja kita.

Akhir sekali, saya mengharapkan semua orang bersabar dalam menanti kemunculan buah tangan terbaru saya. Album ini akan menyaksikan saya dan Audi Mok berkolaborasi 100 peratus untuk pembikinannya. Apa yang saya lakukan adalah untuk 'aku, muzik dan kamu'. Inilah sumbangan kecil saya untuk industri muzik Malaysia. You are part of me. Sekian, wassalam.
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 24-5-2009 06:03 PM | Show all posts
Berhibur biar ada batasannya  (24/5/2009)
Oleh Faizal Tahir
[email protected]

Nabil dan Stacy antara pemenang di ABPBH2008, satu anugerah yang patut dihargai oleh semua artis dan personaliti dalam dunia hiburan.

Matlamat penganjuran pertandingan nyanyian mestilah lebih jelas

Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera buat semua pembaca setia B*Pop

Diharapkan pembaca semua berada dalam keadaan sihat walafiat. Sudah beberapa minggu kita disajikan dengan pelbagai program hiburan yang mendapat perhatian meluas dari segenap lapisan masyarakat.
Memang benar, berhibur itu tidak salah. Tapi jangan sampai kita lupa dengan keutamaan dan tanggungjawab kita yang lain. Biar ada batasan. Siapa yang tidak suka dengan hiburan, betul tak?
M Nasir, Salamiah Hassan dan Misha Omar (tengah) di AIM16, anugerah yang memberi pengiktirafan kepada karyawan muzik tanah air.

Bermula dengan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) diikuti dengan Anugerah Industri Muzik (AIM), kemudiannya kita disajikan dengan Konsert Akhir OIAM yang menyaksikan Tomok muncul juara. Belum pun reda dengan itu semua, kita telah dihidangkan dengan Konsert Akhir Akademi Fantasia Musim 7.

Memang salah satu program yang dinantikan oleh majoriti besar masyarakat kita. Tahniah saya ucapkan kepada Hafiz yang muncul sebagai Juara AF 7. Tahniah juga kepada Aril, Akim, Yazid dan Isma dia atas pencapaian cemerlang anda semua. Semoga mereka ini dapat memberi sumbangan yang setimpal kepada industri hiburan kita, Insya'Allah.

Namun, apa yang harus diingat adalah keputusan akhir bukanlah penentu masa depan kita semua. Apa yang paling penting adalah apa yang berlaku selepas itu. Kita yang bakal menentukannya sendiri. It's a whole different world out there.

Segala program hiburan ini tidak berakhir di situ sahaja. Tidak lama lagi kita bakal menyaksikan Anugerah Planet Muzik pula dan bagi mereka yang belum mendengarnya lagi, kita bakal menyaksikan satu majlis penganugerahan baru yang akan diperkenalkan tidak lama lagi iaitu Shout Awards.

Shout Awards adalah satu majlis penganugerahan yang lebih radikal dan urban yang memberi ruang serta membuka pintu kepada semua golongan artis, khususnya dalam bidang muzik, tidak kira lama atau baru.

Saya memuji usaha pihak penganjur yang berniat mengangkat dan memartabatkan lagi industri muzik tanahair kita dengan usaha menganjurkan majlis penganugerahan ini. Namun kita harus tunggu dan lihat segala hasil dan 'outcome' program ini nanti.
Setelah selesai OIAM musim ke-3 dan AF 7, kita sekarang dihidangkan pula dengan dua lagi program nyanyian yang mempunyai konsep dan kredibiliti tersendiri. Mentor 3 dan Bintang RTM adalah dua rancangan pertandingan nyanyian yang sedang bersiaran di TV3 dan TV1 masing-masing.

Sudah menjadi seperti makanan penonton televisyen dengan program seperti ini. Menyanyi dan menjadi penghibur sudah menjadi seakan-akan cita-cita dan profesion impian dan utama setiap rakyat Malaysia. Sehinggakan ada rancangan yang sanggup mengubahsuai syarat untuk had umur peserta yang layak mengambil bahagian dalam rancangannya.

Usah sia-siakan peluang dan pengiktirafan

Saya sendiri tertanya-tanya apakah matlamat sebenar setiap rancangan ini. Sehinggakan majoriti anak muda kita semuanya mahu terbabit dengan dunia hiburan. Mungkin saya terlalu memikirkannya, tetapi itulah hakikatnya.

Secara jujurnya, saya tidak memikirkan program ini salah atau tidak relevan. Mereka yang menyertai rancangan sebegini hanya sekadar mahu mencuba nasib dan merealisasikan impian masing-masing. Namun apa yang lebih penting adalah peranan dan tanggungjawab pihak yang terbabit secara langsung dengan rancangan ini.

Setiap individu harus punya peranan dalam memastikan setiap bakat yang dilahirkan dari rancangan itu tahu hala tuju masing-masing. Pihak penganjur, bakat itu sendiri, ahli keluarga, rakan-rakan dan peminat sendiri mempunyai peranan masing-masing dalam memastikan perkembangan dan 'pembangunan bakat itu adalah relevan dan berbaloi kepada industri dan dirinya sendiri. Bukan mudah untuk melakukan sebegini. Penganjur setiap rancangan pula harus tahu apa yang sebenarnya mahu disampaikan dan dicari dalam setiap rancangan itu.

Apakah sumbangan setiap rancangan kepada industri hiburan kita? Seperti apa yang telah saya katakan, keputusan akhir pertandingan bukanlah segala-galanya.

Apa yang berlaku dan dilakukan oleh setiap peserta selepas itu adalah lebih penting. Setiap individu harus tahu apa yang dia mahukan. Apa yang harus dilakukannya untuk mencapai matlamatnya itu. Itulah yang akan menentukan kedudukan dan hala tuju kita selepas itu. Diri sendiri adalah tiang asas yang bakal membina masa depan masing-masing.

Dalam dunia yang serba moden dan dipenuhi dengan kemudahan seperti rancangan realiti ini kita seharusnya bijak mengambil peluang dan memastikan segala peluang yang diberikan itu tidak sia-sia.

Yang paling penting, kita tidak seharusnya mudah berasa selesa dengan setiap pencapaian dan kedudukan kita walau tinggi mana sekalipun pengiktirafan yang diberikan.

Kerana itulah saya pernah menulis tentang begitu pentingnya peminat dan orang sekeliling kepada seseorang artis itu. Peminat bagaikan nyawa dan 'driving force' di sebalik kejayaan seseorang artis itu.

Saya bersyukur dengan kelompok peminat saya sendiri kerana terlalu banyak sumbangan dan semangat yang telah diberikan kepada saya dalam mengharungi kerjaya saya sebagai anak seni. Lebih-lebih lagi dalam dunia hiburan yang penuh dengan dugaan ini. Syukur Alhamdulillah di atas pemberian ini. Thank you my 'ROCKENSTEINERS'. Sehingga kita berjumpa lagi, wassalam.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 31-5-2009 06:36 PM | Show all posts
Berhibur biar ada batasannya

Post time 7-6-2009 02:01 PM | Show all posts
7/6/09
Bakat muda harus cari peluang di Indonesia
    Oleh Faizal Tahir
[email protected]
               
     Yuna

                   ASSALAMUALAIKUMdan selamat sejahtera kepada semua pembaca setia B*Pop. Semoga andasemua sedang menikmati hujung minggu ini dengan tenang dan gembira.Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Hari Bapakepada semua kaum bapa di luar sana sempena bulan meraikan insan yangtelahpun bergelar bapa.

Cuti persekolahan juga pasti menyaksikan ramai pasanganmenaiki pelamin untuk mengharungi kehidupan baru sebagai suami isteri.Alhamdulillah.

Pada Selasa lalu, saya telah menghadiri sidang akhbarAnugerah Planet Muzik (APM) 2009 yang dilangsungkan di Dua Residency,Kuala Lumpur. Sidang akhbar ini bertujuan mengumumkan senarai artisyang telah dicalonkan dalam kategori dipertandingkan di APM nanti.Alhamdulillah, saya sendiri terpilih untuk dicalonkan dalam duakategori - Artis Malaysia Paling Popular dan Artis Serantau PalingPopular.
         Saya sendiri terkejut dengan pencalonan inikerana saya sedar dan pasti semua sedia maklum saya tidak adamenghasilkan apa-apa produk baru selepas album pertama saya,Aku.Muzik.Kamu melainkan single terbaru saya, Bencinta, baru-baru ini.Maka saya faham dan akur sekiranya tiada pencalonan pada 2009 ini.
                          
Stacy

                        Namun, saya bersyukur ke hadrat Illahi kerana masih ada rezeki untuknama saya bersaing dengan rakan artis lain pada tahun ini. Secarajujurnya, tahun ini Malaysia membariskan senarai nama artis yang cukupbesar untuk dicalonkan di APM 2009. Artis yang dicalonkan jugarata-rata dari generasi baru yang telah membina nama dan pengaruhbegitu besar dalam industri muzik kita sejak kebelakangan ini.

Antara calon terpilih termasuk Hujan, MUH, Bunkface, Aizat,Yuna, Stacy, Nubhan, Nikki, Reshmonu, Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain,Misha Omar dan ramai lagi. Tidak salah kalau saya katakan inilahbarisan nama artis Malaysia terkuat yang pernah dicalonkan di mana-manaAPM yang pernah berlangsung. Tahniah kepada semua yang tercalon.Rata-rata semua nama yang saya sebutkan tadi mempunyai kekuatan dankelompok peminat yang cukup besar. Paling membanggakan adalah kehadiranpelapis baru yang bakal mempelopori industri muzik Malaysia dalam masaterdekat ini.

Hujan, MUH, Bunkface, Stacy, Aizat dan Yuna adalah pilihanperibadi saya untuk membawa industri muzik kita ke satu tahap yangboleh kita banggakan, akhirnya! Namun, jangan salah faham. Bukannyayang lain tidak. Tetapi saya pasti ramai yang akan bersetuju dengansaya sekiranya saya katakan bahawa nama inilah yang telah memberi impakterbesar kepada persada hiburan tanah air kita dalam masa setahun duaini. Masa untuk yang lain pasti akan tiba juga dengan usaha yang gigihdan niat yang betul, insya'Allah.

Buat julung-julung kali juga, APM akan berlangsung di kotaJakarta, Indonesia pada 18 Julai ini. Sebelum ini hanya menyaksikan duakali penganjuran APM di Kuala Lumpur dan yang selebihnya di Singapura.Tahniah saya ucapkan kepada pihak MediaCorp dari Singapura yang berjayamembawa anugerah berprestij ini ke Jakarta. Tahniah juga kepada pihakBeyond DDB yang menguruskan segala hal dan urusan berkaitan artisMalaysia dan juga kepada penyiar rasmi APM, sekali lagi ASTRO.

Secara peribadi, saya melihat penganjuran APM kali inisebagai satu peluang besar kepada bakat-bakat muda kita untukmemperkembangkan karya seni masing-masing ke luar Malaysia. Ini adalahsatu peluang baik dan harus dilihat sebagai satu kelebihan kepada kitauntuk membuktikan kita mampu bersaing dengan muzik luar. Kita semuaharus sedar kita telah melalui kemelut yang cukup panjang dalamindustri hiburan kita. Bukan mudah untuk anak seni tempatan dipanggiluntuk turut serta dalam mana-mana acara muzik di negara seberang.

Kita semua tahu hakikatnya. Harapan saya, biarlah kita semuamemanfaatkan segala peluang dan pintu yang telah terbuka untuk kitaagar dapat bersama-sama memartabatkan kembali karya seni anak Malaysia.Dengan kata lain, saya harap peluang ini tidak disia-siakan denganmelihat penganjuran APM di Jakarta sebagai satu 'lawatan sambilbelajar' atau hanya untuk sekadar pergi 'menunjukkan muka' di acara dankaca televisyen.
                                Saya pernah berkata dalam satu ucapan saya di AIM ke-15 tahun lalu:揑t's time to go abroad, people!". Mungkin ramai yang mengambil ringandengan apa yang pernah saya katakan waktu itu. Namun, kata-kata itubukan bermaksud untuk saya seorang saja tetapi untuk semua temanseperjuangan lain. Saya yakin, pada waktu saya mengucapkan ayat itu,dengan kehadiran teman seperjuangan baru yang muncul dengan semangatbaru pada waktu itu, bahawa industri muzik Malaysia bakal memberi impakbesar dalam waktu terdekat ini. Pintu telah terbuka. Inilah masanya.

Sebelum saya mengakhiri warkah saya kali ini, jangan lupauntuk mengundi dan memberi sokongan kepada bakat besar kita denganmengundi artis pilihan anda masing-masing untuk Anugerah Planet Muzik2009 yang akan berlangsung tidak lama lagi. Sehingga berjumpa lagi,wassalam.
Reply

Use magic Report

Post time 21-6-2009 01:38 PM | Show all posts
Sampai Bila Nak Buat Konsert pPercuma? 21/6/2009

Oleh Faizal Tahir
[email protected]

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera. Alhamdulillah, dalam keadaan saya yang begitu sibuk pada ketika ini, saya bersyukur kerana masih berkesempatan menulis dan berkongsi cerita dengan pembaca B*Pop. Diharapkan semuanya sihat di samping keluarga tercinta.

Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-25 kepada stesen TV nombor satu Malaysia, TV3! Tahniah kepada semua warga kerja TV3 dan teruskan segala usaha dalam memberikan yang terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia sama ada dari segi maklumat mahupun hiburan.

Tahniah juga diucapkan kepada TV3 kerana berjaya menganjurkan satu konsert khas yang berlangsung di Dataran Merdeka malam semalam yang bertemakan 'Inspirasi' sebagai tanda penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Memang ramai artis hebat yang turut serta menjayakan konsert Inspirasi TV3 ini.

Antaranya Hujan, Aizat, Jaclyn Victor, Jamal Abdillah, M. Nasir, Adibah Noor, Noryn Aziz, Tomok, Wings dan Estranged. Saya sendiri mengucapkan jutaan terima kasih kepada TV3 kerana sudi menjemput saya untuk sama-sama membuat persembahan pada malam semalam.

Namun, apa yang lebih menarik perhatian adalah dua konsert yang cukup berbeza hala tujunya, Pesta Malam Indonesia dan Rockaway '09. Saya cukup yakin mengatakan lebih ramai penonton yang pastinya sinonim dengan Pesta Malam Indonesia berbanding Rockaway '09. Jangan salah faham. Saya tidak mempertikaikan kredibiliti konsert Rockaway '09.

Ya, memang Rockaway
Reply

Use magic Report

Post time 5-7-2009 12:55 PM | Show all posts
Buat bancian kategori penonton konsert
Oleh Faizal Tahir
[email protected]

Konsert Inspirasi TV3 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Analisis perlu dilakukan untuk selesaikan kemelut industri muzik tanah air

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera. Rasanya seperti masih baru lagi saya menulis dan berkongsi pendapat dengan pembaca B*Pop menerusi kolum ini. Begitu cepat waktu berlalu. Sebaik saya sedar tulisan kali ini akan disiarkan hari ini, saya memang seakan tergamam! Terkejut dengan waktu yang berlalu dengan begitu pantas. Kita sudah mengharungi separuh usia 2009!

Kalau anda semua masih ingat, saya pernah membangkitkan isu konsert percuma dalam dua minggu lalu. Namun, seperti saya katakan, isu ini tidak mungkin berakhir dan menemui jalan penyelesaian hanya dengan dipaparkan dalam kolum saya yang tidak seberapa ini. Saya sendiri mengakui apa yang saya bangkitkan dalam coretan saya itu hanyalah secebis apa yang sebenarnya boleh diolah dari isu berkenaan.

Malah, isu konsert percuma ini pula hanyalah secebis masalah industri muzik tanah air. Kalau ikutkan hati, ingin saja saya terus mengolah dan menulis lagi mengenai isu konsert percuma ini. Tetapi, saya bersikap realistik dan sedar bahawa saya tidak mampu membawa isu ini ke tahap lain mahupun menyelesaikannya dengan sekadar menulis di sini.

Aksi kumpulan Gigi di Pesta Malam Indonesia pada 2006.

Saya hanya seorang. Kemampuan sebenar untuk berjaya menyelesaikan setiap masalah hanya hadir dengan kerjasama dan tanggungjawab semua pihak. Langkah pertama adalah kesedaran. Kesedaran itu haruslah dari dalam diri kita sendiri.

Pesta Malam Indonesia 3 (PMI3) baru saja selesai. Ia berlangsung serentak dengan Konsert Inspirasi TV3 dan Rockaway '09. Tahniah kepada pihak yang terbabit dalam penganjuran tiga konsert ini. Lebih-lebih lagi pihak penganjur Rockaway '09 dengan usaha sulung mereka memartabatkan band anak tempatan di persada seni tanah air. Mungkin selepas ini Rockaway dapat dianjurkan lebih besar dan ‘gempaq’ lagi!

Antara tiga konsert ini, sudah pasti lebih ramai orang kita sinonim dengan PMI3. Masihkah relevan konsert ini? Adakah ia memberi input positif kepada industri muzik tanah air? Atau, ia hanya acara berteraskan keuntungan semata-mata? Harus kita sedar, pengaruh terbesar industri hiburan tanah air rata-ratanya terhadap golongan remaja.

Apa yang disajikan, didedahkan kepada mereka dan diminta golongan ini akan menentukan hala tuju industri muzik kita. Apa yang pernah saya terfikir adalah pasti banyak yang dapat kita leraikan sekiranya dilakukan satu bancian terhadap tiga konsert ini tempoh hari. Malah, saya rasa bancian perlu untuk kita menganalisa beberapa aspek yang mungkin dapat membantu dalam menyelesaikan beberapa isu yang melanda industri muzik kita ini.

Antara yang boleh dibanci dan digunakan sebagai maklumat penting sewaktu 'post-mortem' sesebuah acara adalah kelas umur yang hadir, kaum atau bangsa, jenis pekerjaan, status dan banyak lagi. Percayalah, setiap maklumat ini dapat membantu dalam menganalisa dan melihat sifat atau 'habits' sesebuah kelompok 'audience' yang hadir ke sesebuah konsert itu.

Segala maklumat ini dapat digunakan untuk menyediakan konsert atau acara yang lebih teratur, strategik dan 'marketable' di masa akan datang. Malah saya berasakan satu survey yang boleh dilakukan dengan usaha sama setiap artis, badan penganjur dan akademi industri muzik di Malaysia serta pihak media massa sendiri adalah dengan mendapatkan maklum balas masyarakat kita mengenai penilaian mereka terhadap setiap artis kegemaran mereka.

Konsert PMI3 kurang menyengat

Siapa yang mereka mahu lihat membuat konsert? Apa yang membuat mereka mahu menyaksikan sesebuah konsert? Berapa yang mereka sanggup bayar untuk menyaksikan konsert itu? Apakah penilaian mereka terhadap artis-artis tempatan yang mereka rasa layak membuat konsert? Banyak lagi sebenarnya soalan yang dapat dibangkitkan untuk mendapat maklumat penting dalam menangani masalah ini.

Dalam hal ini, pihak media massa memainkan peranan amat besar dalam menjalankan survey dan mendapatkan maklumat daripada masyarakat. Seperti yang selalu saya katakan, hanya dengan bersatu dan bekerjasama saja dapat kita selesaikan sesuatu masalah itu dan meraih kejayaan.

Kembali ke PMI3. Relevan atau tidak konsert ini bukanlah untuk saya tentukan. Saya sendiri pasti turun menyaksikan konsert ini kalau diberi peluang. Tiada apa yang salahnya. Namun yang mungkin menimbulkan sedikit rasa tidak puas hati adalah peluang yang dibuka kepada artis seberang dan layanan yang diberikan kepada mereka berbanding artis tempatan.

Saya fikir kita sudah mampu membuat satu konsert besar seperti PMI3 ini untuk memartabatkan bakat dan seni kita sendiri. Malah, saya ada membaca dan mendengar bahawa PMI3 kali ini kurang menyengat dan sekadar satu konsert biasa saja. Adakah kita sudah terlalu lama didedahkan dan terlalu banyak disajikan dengan bunyi muzik band dari seberang?

Adakah kita telah lali dan 'immune' dengan 'sound' muzik seberang? Kita sudah ada 'sound' kita yang sendiri. Hujan, Bunkface, Meet Uncle Hussein, Pop Shuvit - dengarkan album mereka ini 'back-to-back'. Tiada yang serupa. Masing-masing mempunyai 'trademark sound' tersendiri. 'Sound' yang mampu menggegarkan mana-mana venue konsert dan memberi impak kepada penonton yang hadir.

Biarkan kalau ada yang kata 'sound' atau muzik band ini seakan-akan band itu, muzik band itu seperti band ini. Banyak kali saya mendengar semua itu. Bagi saya, 'we have to start somewhere'. Setiap ahli muzik, setiap band pasti ada idolanya yang tersendiri yang akan mempengaruhi muziknya. Ia hanya untuk permulaan. Identiti setiap band itu pasti melalui satu evolusi dan akhirnya menjadi identiti atau 'trademark sound' band itu sendiri.

Karyawan muzik kena ketepikan ego

Namun, jangan salah faham. Saya tiada apa-apa masalah dengan muzik atau artis dari seberang. Malah saya sendiri adalah seorang peminat kepada kumpulan Dewa 19, Gigi dan Padi. Saya kagum dengan muzik dan 'sound' yang mereka tampilkan dalam muzik mereka. Biarlah kita jadikan mereka sebagai contoh untuk lebih maju dan menjadi lebih baik dari apa yang mereka persembahkan itu.

Bercakap mengenai 'sound', harus saya akui dengan terbuka bahawa kita masih lagi agak ketinggalan dalam penghasilan 'sound' yang baik sewaktu persembahan secara 'live'. Baik di venue mahupun di kaca televisyen. Saya mengaku saya agak kecewa dan hampa dengan kualiti bunyi yang kita hasilkan jika dibandingkan dengan kualiti yang dikecapi oleh rakan-rakan artis seberang.

Terus-terang saya memuji dan amat kagum dengan hasil dan kualiti bunyi 'live shows’ dan 'broadcast' artis seberang. Ini adalah satu fakta yang tidak dapat dinafikan. Apabila kita bercerita tentang kualiti 'sound', ini adalah satu lagi isu dan masalah yang industri muzik kita hadapi. Saya bukanlah seorang jurutera bunyi profesional, tetapi saya tahu membezakan kualiti bunyi yang baik dan kurang baik apabila mendengarnya.

Saya tidak nampak salahnya sekiranya kita belajar daripada mereka yang lebih baik. Sudah sampai masanya kita meletakkan ego ke tepi dan mengakui kelemahan kita. ‘Learn from the experts, only then you shall excell’.

Kalau anda bertanyakan saya, inilah dia 'line-up' artis yang saya fikir pasti dan mampu menjayakan sebuah konsert dengan baik dan memberi impak yang besar kepada mereka yang sanggup membayar menyaksikannya. Hujan, Bunkface, Meet Uncle Hussein dan Pop Shuvit. Mungkin saya terlepas pandang beberapa artis lain. Tapi ini hanya pendapat saya dan ia berdasarkan tema konsert rock kerana itulah genre yang menjadi pilihan saya.

Kembali menaikkan taraf muzik kita

Pasti ada yang tidak bersetuju. Ia subjektif. Seperti saya usulkan tadi, mungkin satu ‘survey’ patut diusahakan untuk mendapat maklum balas daripada masyarakat kita mengenai artis mana yang mahu mereka saksikan membuat konsert. Namun, apabila kita sudah tahu artis mana yang masyarakat kita mahu saksikan membuat konsert, kita kembali ke masalah sistem bunyi pula.

Justeru, kemelut yang melanda industri muzik kita bukan berpunca dari satu atau dua masalah. Banyak isu yang perlu kita bangkitkan dan selesaikan bersama. Saya seorang tidak mampu melakukan apa-apa. Ahli-ahli muzik dan artis saja tidak mampu melakukan apa-apa. Akademi industri muzik saja tidak mampu melakukan apa-apa. Hanya dengan bersatu dan bekerjasama dengan semua pihak saja mampu menyelesaikan isu ini.

Sekurang-kurangnya sedikit demi sedikit kita menaik taraf industri muzik kita ini. Anda yang mendengar juga berperanan. Aku, Muzik dan Kamu - tiga elemen yang bersatu untuk membawa industri muzik kita ke satu tahap baru dan masa depan yang lebih cerah.

Sebelum saya mengakhiri tulisan ini, saya memohon maaf sekiranya ada yang tersalah atau tersilap kata dan seandainya ada yang tidak bersetuju dengan pendapat saya. Seperti yang saya katakan, segala persoalan yang timbul adalah subjektif. Maaf juga sekiranya ada yang tersinggung dengan mana-mana kenyataan saya.

Apa yang saya harapkan, segala apa yang saya tulis di sini bukanlah sekadar untuk dibaca dan diabaikan begitu saja. Jujurnya, kolum ini hanyalah sekadar ruang kecil untuk saya memberi pendapat sebagai seorang anak seni yang mencintai dan mengambil berat mengenai industri muzik tanah air saya.

Kalau hendak diceritakan memang tidak cukup ruang dan terlalu banyak untuk dimuatkan di sini. Insya-Allah, kita berjumpa lagi dalam ruangan ini dengan cerita saya mengenai impak pemergian King of Pop, Michael Jackson terhadap dunia muzik dan hidup saya sendiri. Wassalam.
Reply

Use magic Report

Post time 5-7-2009 01:42 PM | Show all posts
SOKONG INDUSTRI MUZIK MALAYSIA......
Reply

Use magic Report

Post time 5-7-2009 10:10 PM | Show all posts
bernas, best writer
Reply

Use magic Report

Post time 19-7-2009 06:43 PM | Show all posts
Jacko seorang penyayang

Oleh Faizal Tahir
[email protected]
19/7

TANGGAL 25 Jun lalu, dunia dikejutkan dengan berita kematian Raja Pop Dunia, Michael Jackson (MJ) atau Jacko akibat jantungnya terhenti (cardiac arrest) di kediaman mewahnya di Hollywood, California. saya juga terkejut dengan berita kematian itu. Hampir sebulan peristiwa tragis itu berlalu, saya masih belum dapat melupakannya kerana membabitkan kehilangan seorang legenda industri muzik yang disegani di seluruh dunia.

Malah, kematian `megastar’ itu begitu dirasakan peminat setianya di seluruh dunia, termasuk saya sendiri, sekali gus mengingatkan kembali saya kepada beberapa kematian ikon muzik yang pernah berlaku sebelum ini. Ini termasuklah pembunuhan seorang anggota The Beatles, John Lennon, selain kematian mengejut Raja Rock n Roll, Elvis Presley, Freddie Mercury dari kumpulan Queen dan penyanyi utama Nirvana, Kurt Cobain kerana membunuh diri.

Kematian semua ikon muzik ini menimbulkan rasa sedih di seluruh dunia kerana dunia berkabung atas kehilangan insan seni yang banyak memberi sumbangan kepada perkembangan muzik dunia, malah mencetuskan revolusi muzik pada generasi masing-masing. Tidak keterlaluan jika saya menyatakan di sini bahawa kehilangan MJ lebih dirasai di kalangan kita semua berbanding kehilangan Mercury, Lennon, Cobain mahupun Elvis.

Mungkin ramai akan menyangkal pendapat peribadi saya ini, tetapi, saya menyatakan demikian atas satu sebab yang mana sumbangan MJ adalah lebih besar daripada sekadar sumbangan terhadap industri muzik dunia saja. MJ bukan saja seorang insan seni yang sangat berbakat, malah seorang `humanitarian’ yang tidak pernah kenal erti penat ke arah menjadikan dunia ini sebuah tempat yang indah dan aman seperti dipaparkan dalam lirik lagunya.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga aktif membantu kanak-kanak yang kebuluran di Afrika, memberi sumbangan berjumlah berjuta-juta dolar Amerika dari poketnya sendiri bagi memberikan kehidupan lebih sempurna kepada masyarakat miskin di seluruh dunia.

Lagu We Are The World ciptaan beliau bersama Lionel Ritchie pada 1984 berjaya mengumpul berjuta-juta dolar Amerika, seterusnya disumbangkan kepada masyarakat kebuluran di Afrika bagi membantu mengurangkan kadar kematian yang berpunca daripada kebuluran dan penyakit kronik.

Bukan itu saja, malah kebolehan beliau menari juga antara bakat yang paling jarang dan sukar ditemui.

Hingga kini, masih belum ada seorang pun artis mampu menandingi kehebatannya beraksi di pentas, terutama tarian `moonwalk’ yang menjadi trademark persembahannya. Bagi saya, MJ seorang penghibur yang 'phenomenal' dan tidak dapat disangkal lagi.

Beliau adalah insan yang begitu banyak memberi impak terhadap saya ketika membesar. Ibu saya sendiri pernah berkata, seawal umur saya dua tahun, saya sudah mula menyanyi lagu The Beatles, Queen dan juga MJ. Saya memang tidak dapat menafikan bahawa sebahagian daripada muzik dunia telah berkubur bersama MJ. Selama saya dan mereka yang satu generasi dengan saya membesar, MJ mendominasi sebahagian besar daripada arena muzik dunia.

Pengaruh beliau terhadap muzik saya memang kuat. Malah, semasa persembahan akhir saya di program realiti, One In A Million tiga tahun lalu, mungkin ramai tidak perasan tetapi saya menggunakan sedikit sebanyak pengaruh muzik MJ dalam persembahan medley 'We Will Rock You' dengan menggunakan percussion dan ritma yang sama digunakan dalam lagu hitsnya, They Don't Care About Us.

Naif punca orang 'pijak kepala'

NAMUN begitu, setiap perkara yang indah datang dengan ujian tersendiri. Itulah hakikat kehidupan ini. Walaupun beliau dikurniakan bakat yang tidak terhad dan kebolehan menyentuh hati dan jiwa peminat di seluruh dunia, masih ada yang berhasad dengki dan cuba menjatuhkannya.

Antara babak-babak perit yang terpaksa ditempuhinya bermula pada sekitar zaman 1990-an. Yang paling mendapat tumpuan dan paling mengguris hati saya adalah kes pencabulan seorang kanak-kanak remaja bernama Jordey Chandler.

Keluarga Chandler mendakwa bahawa `superstar’ yang berjiwa penyayang itu mencabul kanak-kanak itu ketika dijemput melawat estetnya, Neverland Ranch. Akhirnya, kes itu digugurkan kerana Chandler secara tiba-tiba tidak mahu membuat keterangan. Justeru, ibu dan bapa tiri Chandler mengarahkan MJ membayar US20 juta (RM80 juta) jika mahu kes itu digugurkan.

Sejujurnya, saya percaya bahawa MJ adalah seorang insan yang sangat baik hati dan mengambil berat dengan pelbagai masalah yang menimpa dunia. Terpulanglah kepada kita semua untuk menilai setiap tindak-tanduk dan sumbangan seseorang itu kepada generasinya.

Ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat MJ sendiri menyatakan bahawa beliau memang seorang yang sangat baik hati, penyayang dan juga naif. Sifat inilah yang membuatkan ramai orang mudah untuk memijak kepalanya dan perkara ini terjadi sehinggalah ke hari yang dia menghembuskan nafas terakhirnya.

MJ satukan kaum, agama menerusi muzik

SEPERTI rakan baik MJ, pakar motivasi terkemuka dunia, Deepak Chopra pernah berkata,`he was a delicate soul in a cruel, cruel world’. Walaupun atas pentas, beliau begitu agresif dan dominan, namun pada hakikatnya beliau seorang yang pemalu, baik hati dan penyayang.

Ada juga yang berpendapat bahawa dia bersifat keanak-anakan. Brooke Shields juga berkata `he saw the world not with his eyes, but with his heart’.

Dalam meniti hari-hari menunggu hari memperingati beliau, kita dapat melihat satu dunia dari pelbagai kaum, agama, dan latar belakang masing-masing memperingati beliau dengan cara masing-masing. Ada yang memegang gambar atau poster beliau.

Ada yang berpakaian seperti beliau dan sudah semestinya yang menyanyikan lagu beliau dalam memperingati legasi muzik ikon pop berkenaan. Bak kata Reverand Al Sharpton sewaktu majlis memperingati MJ: “Michael telah meruntuhkan dinding-dinding yang memisahkan antara kaum, agama dan budaya, dan menyatukan semuanya melalui muzik dan usaha kemanusiaan beliau”.

Ini adalah satu sifat yang wajar dicontohi oleh setiap insan di dunia, kerana jikalau ada satu mesej yang ingin disampaikan oleh Michael kepada seluruh dunia, ia adalah kesatuan, dan kedamaian. Satu kepercayaan yang teguh di mana kita mampu mencapai sepakat dan kedamaian jika kita berusaha bersungguh-sungguh dan bekerjasama di antara satu sama lain, tidak mengira agama, bangsa mahupun negara. Ini adalah mesej utama yang telah MJ cuba sampaikan melalui muziknya.

Sukar percaya pemergian Jacko

SENTIMEN ini yang cuba diketengahkan oleh keluarga dan rakan terdekat Michael sewaktu majlis memperingati beliau yang diadakan di The Staples Centre, Los Angeles, minggu lalu. Setelah kematian beliau, baru beliau dapat digambarkan sebagai seorang manusia, anak, abang, adik dan yang paling utama, seorang bapa kepada tiga orang anaknya.

Selepas kematiannya barulah dunia memberi dia peluang untuk dilihat sebagai seorang insan biasa yang mempunyai perasaan sama seperti orang lain. Mungkin sekarang, dia diberikan kedamaian yang tidak pernah dapat dicapainya sewaktu dia masih hidup.

Mungkin ada hikmahnya Allah menarik dia balik, walaupun pada usia yang muda. Seperti abang beliau, Jermaine Jackson menyatakan kepada Larry King di CNN, `dunia belum bersedia untuk Michael Jackson. Dia adalah hadiah daripada Allah, dan kini, Allah telah mengambilnya semula’.

Saya adalah antara jutaan penonton yang menonton majlis memorial beliau. Walaupun saya sudah ketahui akan pemergian beliau, saya masih menghadapi kesukaran untuk mempercayai beliau kini sudah tiada.

Seolah-olah saya masih tidak percaya, kerana muzik dia masih ada, kita dikelilingi dengan muzik dan pengaruh beliau di dalam industri ini, sehinggakan ia menjadi begitu sukar untuk saya mempercayai bahawa tuan punya badan kini tidak lagi wujud di dunia ini.

Mahu teruskan perjuangan MJ

SAYA sebak ketika menonton memorial berkenaan. Terutama di saat anak perempuan tunggalnya, Paris Katherine Jackson memberi ucapan pendek tetapi menyentuh perasaan kepada bapanya yang sudah tiada. Saya cuma mengharapkan, bahawa roh dia kini tenang, dan tiada lagi orang yang mengatanya pada saat beliau sudah tiada.

Biarlah beliau pergi dengan aman. Saya mendoakan yang terbaik untuk anak-anaknya, supaya mereka reda dengan ketentuan Allah ini, dan juga dilindungi daripada manusia yang tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil kesempatan ke atas mereka, oleh kerana kekayaan yang mereka kini warisi.

Sebagai seorang yang begitu kagum dan menghargai bakat dan sumbangan beliau di dalam industri muzik ini, saya akan membawa ke hadapan muzik dan legasinya, dan yang paling utama, mesej yang telah cuba disampaikan oleh beliau iaitu kedamaian, keharmonian, dan tanggungjawab kita sebagai manusia untuk menjaga hubungan kita sesama manusia dan alam kurniaan Illahi.

Lagu-lagu seperti Heal The World, Man In The Mirror, We Are the World dan Earth Song adalah antara lagu-lagu yang begitu mendalam maknanya, dan wajar menjadi contoh buat kita sebagai manusia untuk memelihara perhubungan kita sesama manusia, dan juga sesama alam sekitar, sesuatu yang amat ditekankan di dalam Islam.

Walaupun pemergian beliau memberi kesan yang mendalam terhadap saya, namun saya bersyukur kerana berpeluang menikmati setiap karya beliau dan membesar bersama segala sumbangannya terhadap dunia ini.
Reply

Use magic Report

Post time 20-7-2009 01:32 AM | Show all posts
setuju dgn kenyataan ft psl MJ..
masih sedih dgn pemergiannya..
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 4-8-2009 11:56 AM | Show all posts

 Author| Post time 4-8-2009 11:57 AM | Show all posts
Pesimistik halangan artis cipta nama
Oleh Faizal Tahir
[email protected]

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera. Diharapkan semua pembaca setia B*Pop berada dalam keadaan sihat walafiat di hujung minggu ini. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih mampu menikmati segala pemberian dan anugerah dari Yang Maha Esa hingga ke hari ini.

Baru saja dua minggu lalu saya menulis mengenai pemergian ikon tersohor dalam dunia hiburan yang pergi meninggalkan kita untuk selamanya. Tarikh 25 Jun 2009 akan diingati sebagai hari Raja Pop Dunia, Michael @ Mikaeel Jackson (MJ) menghembuskan nafas terakhirnya.

Beliau meninggalkan kita dengan legasi muziknya yang tiada tandingan dan juga usahanya menjadikan dunia ini satu tempat yang lebih aman dan baik untuk setiap generasi. Genap sebulan selepas itu - 25 Julai 2009 - kita dikejutkan dengan berita kematian Yasmin Ahmad, seorang pengarah, penulis dan penerbit filem yang dikagumi ramai.

Sama seperti MJ, Yasmin bukan saja memberi sumbangan besar dalam industri penyiaran dan perfileman kita, tetapi beliau berjaya menyentuh jutaan penonton dan rakyat Malaysia yang menjadi saksi hasil kerjanya cukup unik dan realistik. Saya sendiri cukup menghormatinya walaupun tidak pernah bersemuka dengan beliau. Setiap hasil kerjanya, tidak kira sama ada iklan sempena Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali mahupun filemnya, pasti menyentuh hati dan jiwa setiap insan yang menyaksikannya.

Gelak tawa diiringi air mata pasti menjadi kebiasaan kita yang memahami apa yang cuba disampaikan beliau dalam setiap hasil kerjanya. Untuk kali kedua dalam masa sebulan, saya menitiskan air mata sebaik mendengar mengenai pemergian arwah. Saya doakan semoga roh beliau ditempatkan bersama hamba Allah yang baik-baik dan dikasihi serta sentiasa dicucuri rahmat Allah... Amin. Pemergian Yasmin pasti dirasai kita semua. Tiada lagi rasa ingin menunggu di depan kaca TV untuk menyaksikan iklan menjelang Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. We miss you... Yasmin Ahmad. You will be remembered well. Al-Fatihah.

Dua minggu lalu, kita disajikan juga dua lagi acara besar dalam dunia hiburan tempatan iaitu Shout Awards dan juga Anugerah Planet Muzik (APM) 2009. Tahniah diucapkan kepada dua pemenang besar bagi setiap acara ini iaitu Bunkface dan juga Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

Tidak lupa Aizat, Ayu, Hujan dan Stacy yang telah memberikan persembahan yang cukup baik dalam usaha membawa muzik kita ke persada muzik seberang. I am so proud of you all. Tidak lupa juga ucapan jutaan terima kasih kepada peminat saya dan juga fan club saya, Rockensteiners, yang sudi mengundi saya dan memberi sokongan tanpa had yang tidak ternilai harganya pada saya. Terima kasih semua.

Bercerita mengenai Shout Awards, tahniah kepada pihak penganjur dan stesen TV rasminya, 8TV, atas usaha mereka untuk memartabatkan lagi industri muzik kita dengan menganjurkan satu lagi acara yang lebih terbuka kepada bakat baru dari generasi muda kita. Juga tahniah atas suatu hasil penerbitan yang boleh dibanggakan bagi sebuah acara yang pertama kali diadakan. Semoga Shout Awards mampu memberikan sumbangan dan impak setimpal dan berbaloi kepada industri hiburan tanah air.

Sementara itu, APM 2009 pula menyaksikan penganjuran sulungnya di negara jiran, Indonesia. Walaupun dikejutkan berita mengenai pengeboman di dua hotel terkemuka di Jakarta, APM2009 tetap berjalan lancar tanpa sebarang gangguan luar. Syukur, Alhamdulillah.

Apa yang ingin saya ketengahkan menerusi penganjuran APM 2009 kali ini ialah persepsi dan penerimaan masyarakat di sana terhadap muzik kita. Secara jujurnya, banyak feedback' saya terima dan rintihan orang kita mengenai rasa kesal dan kecewa mereka setelah menyaksikan reaksi penonton terhadap setiap persembahan dilakukan artis kita di sana.

Hujan, Aizat, Ayu dan Stacy pada saya cukup 'outstanding' dan membanggakan dengan setiap persembahan mereka. Namun, reaksi penonton di sana bagaikan terpaku dan keras tanpa ada rasa apresiasi terhadap muzik dan persembahan artis Malaysia. Persoalannya, adakah ini tanda berlakunya penindasan atau diskriminasi terhadap muzik dan artis kita?

Secara jujurnya, saya langsung tidak terkejut dengan senario itu dan saya tidak berasakan berlakunya sebarang penindasan terhadap artis kita. Mungkin ada rasa sedikit kesal dan kecewa. Tetapi itu tidak bermaksud saya mengaku kalah dan berputus asa dalam perjuangan saya sebagai seorang anak seni tempatan. Semangat harus kuat. Iktibar perlu diambil. Bukan salah penonton. Kalau tidak percaya, saksikan sendiri persembahan Siti Nurhaliza yang mendapat tepukan dan sorakan cukup gemuruh daripada penonton malam itu.

Kita semua pasti sedar bahawa Siti Nurhaliza adalah satu-satunya artis dan penghibur tanah air yang berjaya membuktikan beliau mampu membawa nama negara dan mengekalkan populariti dan kejayaan beliau ke satu tahap yang cukup membanggakan kita semua. Saya sendiri kagum dengan pencapaian luar biasa beliau. Tidak salah kalau saya katakan bahawa Siti Nurhaliza berada dalam liga tersendiri dan sudah mencapai status legenda. Beliau patut dicontohi semua lapisan masyarakat dalam mengejar impian dan mengecap kejayaan di peringkat tertinggi.

Senario penonton yang kaku dan keras sewaktu menyaksikan persembahan artis kita bukanlah salah mereka. Hakikatnya, mereka tidak dapat 'relate' dan tidak 'connected' dengan muzik yang dipersembahkan dan artis kita yang membuat persembahan pada malam itu. Ini kerana mereka tidak pernah mendapat pendedahan secukupnya dengan produk dan muzik dari Malaysia. Tidak kisahlah kalau kita mendengar khabar kononnya negara jiran mempunyai polisi atau prinsip mereka yang tersendiri dalam menjaga muzik, kebajikan dan hak artis mereka.

Saya percaya semua itu boleh diatasi dengan kerja keras, keinginan mendalam dan usaha sendiri dalam memperkenalkan muzik masing-masing ke luar negara. Contoh terbaik boleh saya berikan ialah kumpulan Hujan. Mereka sendiri rajin membuat promosi di sana dan baru-baru ini pula selesai menjalankan penggambaran muzik video terbaru mereka di sana. Semuanya atas kemahuan dan keinginan diri masing-masing. Seperti yang selalu saya katakan, kita harus tahu apa yang kita mahukan. Tepuk dada, tanya selera.

Pelbagai isu dan persoalan yang timbul dalam usaha memartabatkan muzik kita sehingga mampu dibawa ke luar. Namun, saya secara jujurnya sentiasa percaya bahawa dalam apa jua situasi, akar umbi kepada sesuatu masalah adalah bermula dengan diri kita sendiri.

Tiada kaitan dengan stesen radio yang selalu memainkan lagu luar. Pendengar berhak meminta apa yang mahu didengarnya. Sudah semestinya pendengar mahukan muzik yang terbaik dan dengan itu, pemuzik dan artis haruslah menyahut cabaran ini dengan menghasilkan karya dan persembahan lebih baik dan berkualiti.

Tanggungjawab ini juga terletak atas bahu saya sendiri sebagai pemuzik dan penghibur. Semuanya bermula dengan diri sendiri. Biarpun kononnya artis kita ditindas dan didiskriminasi, itu hanyalah satu alasan tidak membantu kita untuk maju. Ia seperti satu dinding 'virtual' yang kita cipta sendiri. Jadikannya halimunan. Sekiranya anda percaya dengannya, maka “ya” adalah jawapannya. Jika tidak mahu percaya, maka carilah jalan untuk menembusi dinding penghalang itu. Seperti yang saya katakan tadi, Siti Nurhaliza telah membuktikannya.

Secara jujurnya, saya nampak satu masa depan cukup cerah untuk bakat baru kita dalam memberikan impak kepada industri muzik luar dengan penjenamaan muzik kita yang tersendiri. It's all about self-belief. Sebenarnya, penggemar muzik seberang tidak pernah diberi peluang untuk mengenali muzik kita. Jadi terpulanglah kepada artis kita sendiri untuk memasarkan muzik masing-masing ke sana. Saya sendiri diberi layanan yang cukup baik oleh mereka sewaktu berada di sana.

Tiada rasa ditindas atau seperti orang luar di sana. Saya cukup kagum dengan layanan dan penerimaan mereka terhadap saya dan muzik saya di sana. Sehinggakan saya terkejut mendengar beberapa orang petugas acara menyanyikan lagu 'Bercinta' setelah hanya satu hari membuat rehearsal untuk persembahan di sana. Terima kasih saya ucapkan.

Akhir kata, janganlah kita bersikap terlalu pesimistik dan prejudis terhadap seseorang itu. Hidup harus saling bantu-membantu dan memahami hak dan keperluan masing-masing. Adakalanya, dinding atau batasan yang dicipta antara kita dan sesuatu yang kita mahukan itu harus dipecahkan atau dileraikan demi mencapai kejayaan dan impian.

Caranya? Terpulanglah kepada cara masing-masing. Percayalah dengan diri sendiri. Sehingga bertemu lagi. Wassalam. - FT
Reply

Use magic Report

Post time 16-8-2009 07:12 PM | Show all posts
Memanfaatkan muzik jana kesedaran patriotisme
Oleh Faizal Tahir
[email protected]

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera. Diharap pembaca B*Pop berada dalam keadaan sihat sejahtera, lebih-lebih lagi dalam keadaan kita semua yang terdedah kepada wabak Influenza A - H1N1 yang semakin kritikal pada waktu ini.

Wabak yang pada mulanya ini diambil ringan oleh kebanyakan pihak, kini meragut sehingga 51 nyawa pada waktu saya menulis artikel ini. Saya sendiri berasa terancam dengan keadaan ini, lebih-lebih lagi dengan keadaan jadual saya yang padat dan penuh dengan undangan pertunjukan pentas dan kekerapan menghadiri acara di luar Kuala Lumpur.

Apa yang boleh saya nasihatkan adalah untuk kita semua tidak keberatan mengeluarkan sedikit wang untuk ke klinik terpilih untuk mendapatkan vaksin seasonal flu. Syukur alhamdulillah, saya berasa sedikit selamat selepas saya mendapatkan suntikan vaksin itu dari sebuah klinik swasta tempatan.

Apa yang difahamkan oleh doktor klinik itu, setakat ini masih belum ada vaksin atau penawar untuk H1N1. Tetapi, suntikan vaksin seasonal flu ini sekurang-kurangnya dapat membantu mempertingkatkan sistem imunisasi badan daripada dijangkiti wabak H1N1 secara langsung.

Menerusi tulisan saya kali ini, saya rasa adalah cukup sesuai untuk saya menyentuh sedikit mengenai semangat patriotisme di kalangan generasi muda kita. Sedar ataupun tidak, bulan ini adalah bulan yang bakal meraikan hari kemerdekaan Malaysia yang ke-52. Dalam jangka masa ini, generasi muda kita kelihatan sudah mula lalai dan lupa dengan kepentingan serta keistimewaan kemerdekaan negara kita.

Bila disebutkan mengenai kemerdekaan, apa yang dapat kita gambarkan adalah anak-anak muda yang lebih ghairah untuk berpesta dan berhibur pada malam 31 Ogos. Sehubungan ini, saya ingin memuji satu usaha yang cukup baik yang diikhtiarkan stesen radio Hot FM dalam menyahut cabaran mewujudkan semangat patriotisme dan 1Malaysia untuk kesedaran rakyat kita.

Faktanya, kita semua pasti bersetuju bahawa muzik dan hiburan adalah satu elemen paling berkesan dalam menyampaikan sesuatu mesej kepada orang ramai. Fakta ini tidak dapat disangkal dengan melihat sendiri sumbangan serta impak muzik terhadap banyak isu global di dunia ini. Berdasarkan fakta inilah, saya percaya Hot FM mengambil langkah menganjurkan pertandingan mencipta lagu 1Malaysia Kita dalam mengisi ruang yang mungkin sudah lama kita terlepas pandang. Ruang dimaksudkan itu adalah apabila kita tidak mengambil peluang untuk menggunakan muzik sebagai medium membangkitkan kesedaran dan semangat patriotisme di kalangan generasi muda kita. Tahniah saya buat pengurusan Hot FM.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Ini adalah satu motto atau pepatah yang kita biasa dengar sejak di bangku sekolah rendah lagi, sehinggakan ia kedengaran seakan-akan klise dan diambil ringan oleh kita semua. Namun, kebenaran pada pepatah ini sangatlah signifikan sekiranya ia dipraktikkan dan inilah mesej yang cuba disampaikan dan semangat yang mahu ditanam dalam setiap jiwa anak muda melalui pertandingan lagu 1Malaysia Kita anjuran Hot FM ini.

Pencarian Lagu 1Malaysia Kita

Selain membuka peluang kepada mereka yang berbakat dalam bidang penciptaan lagu dan lirik, pertandingan ini juga mampu menyatukan rakyat Malaysia dengan memperkenalkan satu lagu baru yang mampu diterima semua untuk dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia.

Apa yang menarik perhatian saya mengenai pertandingan ini adalah sesiapa saja layak dan dialu-alukan untuk menghantar hasil karya mereka. Ini juga bermaksud hasil karya daripada anak-anak muda yang mempunyai cita rasa muzik yang lebih segar dan moden adalah diterima.

Kelebihan yang kita dapati dari kebebasan berkarya ini adalah lagu bersemangat patriotik yang mana gubahan muziknya lebih bercirikan muzik moden dan segar yang mampu menarik perhatian generasi muda kita. Saya percaya sudah sampai waktunya di mana kita sepatutnya lebih memahami kehendak dan cita rasa generasi muda kita yang bakal memimpin dan mengemudi kepemimpinan negara pada masa depan.

Saya juga percaya kita sudah harus lebih bersikap minda terbuka sealiran dengan perubahan zaman. Alhamdulillah, lagu nyanyian saya sendiri juga terpilih untuk ke peringkat akhir pertandingan Lagu 1Malaysia Kita ini. Lagu ini dicipta oleh Audi Mok manakala liriknya pula tulisan Nur Fatima, sekali gus menarik perhatian saya.

Kali pertama saya mendengarnya kerana keunikan muziknya yang begitu segar. Saya cukup berbesar hati kerana diberi peluang untuk turut serta memberi sumbangan kepada negara melalui pencarian Lagu 1Malaysia Kita. Anda boleh mendengarkan 10 lagu yang terpilih ini di laman web rasmi Hot FM dan jangan lupa untuk mengundi lagu pilihan anda.

Renung balik erti kemerdekaan

Sudah tiba masanya juga kita mendapat satu lagu bersemangat patriotik yang bercirikan muzik moden. Terima kasih sekali lagi kepada Hot FM atas usaha murni ini.

Diharapkan tahun ini kita semua dapat sama-sama bersyukur dan lebih prihatin mengenai kepentingan dan keistimewaan hari kemerdekaan Malaysia, tanah tumpahnya darah kita semua. Sudah pasti sambutan Hari Kebangsaan negara kita pada tahun ini lebih bermakna dengan berlangsungnya hari bersejarah tersebut di dalam bulan Ramadan yang mulia.

Jangan difikirkan bahawa Hari Kebangsaan harus disambut dengan konsert dan pertunjukan pentas serta pesta besar-besaran yang hanya mampu memuaskan nafsu hiburan kita semua. Malah, pasti ada hikmah besar di sebalik sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini seiring bulan Ramadan yang mulia. Bersyukurlah dan luangkan sedikit masa untuk merenung dan menilai kembali maksud kemerdekaan pada kita semua.

Akhir sekali, negara sudah merdeka, maka merdekakanlah diri dan minda kita. Tidak salah sekiranya saya katakan merdekakanlah juga diri kita daripada wabak H1N1. Hanya sekadar peringatan. Namun, jangan lupa untuk melayari laman web rasmi Hot FM di www.hotfm.com.my untuk mendengar 10 lagu yang terpilih ke peringkat akhir pertandingan Lagu 1Malaysia Kita.

Jangan lupa untuk mengundi lagu pilihan anda yang bakal menjadi lagu rasmi kempen 1Malaysia. Lakukan demi tanggungjawab kita sebagai anak jati Malaysia. Jutaan terima kasih di atas sokongan anda semua. Sehingga bertemu lagi, semoga kita semua berada di bawah perlindungan yang maha Esa, wassalam.
Reply

Use magic Report

Post time 14-9-2009 08:41 PM | Show all posts
13.09.09
Terkenang suka duka Aidilfitri
Oleh Faizal Tahir

ASSALAMUALAIKUM dan Salam Sejahtera. Pejam celik, pejam celik, tanpa kita sedari kita bakal menyambut ketibaan 1 Syawal yang akan menjelang tidak lama lagi. Lagu raya juga mula berkumandang di stesen radio tempatan membuatkan lebih bersemangat dan tidak sabar menyambut Aidilfitri tahun ini.

Namun, ibadah sepanjang Ramadan masih harus diutamakan. Sudah pasti kita faham maksud Aidilfitri yang membawa erti ‘Hari Kemenangan’. Sudah pasti 'kemenangan' itu hanya mampu dikecapi setelah kita berjaya mengharungi dan menunaikan ibadah di bulan mulia ini dengan sempurna, insya-Allah.

Bagi saya, sudah semestinya saya akan amat merindui Ramadan. Inilah bulan anugerah yang Maha Esa kepada hambanya bagi melipat gandakan amalan dan pahala kita semua. Belum tahu dan belum pasti sama ada kita akan bertemu lagi Ramadan akan datang. Beginilah setiap tahun, begitu gembira dan teruja menyambut kehadiran Ramadan dan begitu sedih serta pilu untuk meninggalkannya. Diharapkan kita dapat menikmati ‘anugerah’ ini dengan menggunakan masa kita sebaik mungkin. Semoga setiap amalan kita mendapat keredaan Allah SWT.

Seperti bulan puasa, Aidilfitri juga muncul hanya sekali dalam setahun. Kerana itulah saya ingin mengambil kesempatan ini berkongsi pengalaman dan bercerita mengenai sambutan Hari Raya saya yang banyak meninggalkan kenangan dan nostalgia dalam hidup saya. Sudah pasti zaman kanak-kanak paling banyak memberi kenangan pahit dan manis apabila kita bercerita mengenai Hari Raya Puasa. Namun begitu, tidak bermaksud sambutan Aidilfitri setelah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri tidak meninggalkan apa-apa kenangan. Malah, setelah berkeluarga, Aidilfitri banyak memberi kesedaran, mengajar perkara baru dan memberi makna kepada saya.

Alhamdulillah, tahun ini genaplah empat tahun saya menyambut Hari Raya sebagai seorang anak seni. Betapa bertuahnya saya, kerana selama 30 tahun saya dapat beraya dalam pelbagai keadaan, situasi dan status yang berbeza. Tidak ramai dapat melalui pengalaman seperti apa yang saya lalui. Bermula sebagai seorang kanak-kanak di perantauan yang mempunyai budaya cukup berbeza kemudian pulang ke tanah air melihat perbezaan sambutan di negara sendiri, selepas itu sebagai seorang pelajar universiti yang tidak dapat pulang beraya di kampung bersama keluarga sehinggalah kini beraya sebagai seorang suami, bapa kepada tiga anak dan anak seni. Kalau hendak diceritakan memang banyak pengalaman ingin dikongsi bersama. Dari bermain mercun sehinggalah mengumpul duit raya sewaktu kecil. Kini, saya pula yang melarang anak bermain mercun dan saya pula yang memberi duit raya. Betapa ironiknya!

Pengalaman menyambut Aidilfitri paling berharga sewaktu kecil bagi saya adalah dapat bersama-sama satu keluarga membuat biskut raya di dapur rumah sendiri, bermula dari pertengahan bulan puasa sehinggalah ke malam raya itu sendiri. Memang seronok dan terasa begitu rapat dengan ahli keluarga. Rasanya, berjaga sehingga lewat malam di malam raya memang suatu senario sinonim dengan kita semua. Kini, zaman berubah. Orang ramai lebih gemar membeli kuih raya yang telah siap dibuat berbanding menghabiskan masa di dapur untuk membuatnya sendiri. Saya pula sejak bergelar artis memang tidak pernah dapat bersama keluarga di malam raya seperti tahun-tahun sebelumnya kerana sibuk dengan penggambaran rancangan Sampaikan Aidilfitri di malam raya. Inilah kali pertama sejak bergelar artis saya dapat bersama keluarga di malam raya kerana tidak terbabit dengan mana-mana rancangan sempena malam raya.

Selain itu, perkara biasa yang memang kita semua selalu ingat sewaktu kecil adalah semangat untuk pergi beraya ke setiap rumah di kampung semata-mata untuk mengumpul duit raya. Kemudiannya, duit raya yang dikumpul itu dikira bersama adik beradik dan rakan-rakan kerana setiap orang mahu dirinya muncul pemenang dan terhebat dengan duit raya yang paling banyak dikumpul! Saya pasti kita semua pernah melalui itu semua. Mercun dan bunga api juga menjadi aktiviti dan bualan utama setiap kanak-kanak.

Pengalaman peribadi saya yang meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh keluarga saya adalah sewaktu saya hampir kehilangan adik bongsu beberapa hari sebelum raya. Adik saya menghidap denggi yang kritikal dan dikatakan tidak mampu bertahan sehingga hari raya pada tahun berkenaan. Saya dan keluarga begitu banyak melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT t sehingga lewat malam supaya dapat disembuhkan adik saya atau sekurang-kurangnya mengurangkan kesakitan dialaminya.

Secara jujurnya, kami sekeluarga menerima hakikat dan bersedia untuk tidak menyambut Aidilfitri seperti biasa pada tahun itu. Sedangkan doktor sudah mengesahkan adik tiada harapan untuk sembuh, tetapi Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dua hari sebelum Aidilfitri, adik saya sembuh dengan sendirinya! Bagai satu keajaiban melihat muka pucat beliau kembali menampakkan perbezaan. Jangan sesekali kita berputus asa dan hilang harapan kepadaNya.

Selang beberapa tahun selepas itu, saya telah kehilangan sepupu tersayang saya diikuti pula dengan arwah Tok Wan saya yang sangat saya sayangi pada tahun berikutnya. Kedua-dua kehilangan ini amat terasa kerana mereka pergi meninggalkan saya dan keluarga beberapa hari sebelum Aidilfitri. Namun begitu, saya pasti, setiap apa yang berlaku itu ada sebabnya. Dalam sesetengah perkara, kadang-kala, begitu lama waktu berlalu baru kita mengetahui sebabnya. Ada kalanya pula, kita langsung tidak mengetahui sebabnya. Tapi percayalah, Allah sentiasa memberikan yang terbaik kepada hamba-hambanya dan setiap yang berlaku itu adalah untuk kita semua sama-sama memikirkan kejadian setiap perkara dan kewujudanNya.

Kini, setelah bergelar suami, bapa dan artis, lain pula pengalamannya. Sambutan raya lebih bermakna dengan cara tersendiri. Ia lebih kepada rasa tanggungjawab dan bersyukur dengan segala pemberian dan nikmat Allah SWT. Memang bukan mudah memikul tanggungjawab sebagai suami, bapa dan artis pada masa serentak. Banyak yang harus dipertimbangkan. Segala keputusan, pembahagian masa, peruntukan perbelanjaan dan juga perhatian adalah tanggungjawab yang harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Dalam kita meraikan Aidilfitri, janganlah kita sesekali terleka dan terlupa pada golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan perhatian dan pemberian daripada kita. Bersedekahlah sebanyak mungkin dengan niat ikhlas. Zakat fitrah jangan lupa ditunaikan. Sentiasalah bersyukur dengan apa yang ada dan beraya dalam keadaan bersederhana. Sesungguhnya pembaziran itu adalah sifat syaitan.

Kesempatan ini juga saya ambil untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada fan club saya, Rockensteiners, peminat setia serta anda semua yang memberi sokongan tidak terhingga dan sudi mengundi lagu Malaysia Satu ciptaan Audi Mok dan Nur Fatima, sekali gus menobatkan lagu itu sebagai juara dan pilihan untuk pertandingan mencipta "Lagu 1Malaysia Kita" anjuran stesen radio Hot FM, baru-baru ini. Tahniah juga saya ucapkan kepada para komposer, penulis lirik dan penyanyi lain yang turut serta terpilih ke peringkat akhir pertandingan itu. Semuanya hebat-hebat belaka dan menyerlahkan lagi bakat anak seni tempatan. Apa yang saya, Audi Mok serta Nur Fatima harapkan adalah lagu ini dapat menyuntik semangat baru dan segar ke dalam jiwa kita semua dalam merealisasikan cetusan idea Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mencapai matlamat 1Malaysia.

Sejujurnya, saya sendiri tidak pernah melihat atau menganggap pembabitan saya dalam lagu ini sebagai pencabar kepada penyertaan lain mahupun menganggapnya sebagai satu pertandingan yang merebut gelaran juara atau hadiah utama. Sebaliknya, saya ikhlas hanya ingin memberi sumbangan kecil saya kepada tanahair tercinta dalam mencapai matlamat 1Malaysia. Kalau dulu kita selalu dengar orang berkata muzik hanya membawa impak serta pengaruh negatif, namun itu semua tidak benar lagi. Terpulanglah kepada individu yang membawa serta mempersembahkan lagu atau muzik ciptaan atau nyanyiannya. Kita semua ada pilihan. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana mampu melakukan kerja saya serta mempersembahkan hasil karya saya dengan memberi sumbangan serta impak positif pada mereka yang mendengarnya. It’s amazing what music can do for us. It unites and heals. Music can do wonders.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menghabiskan ibadah puasa di bulan Ramadan. Jika Sekiranya tidak sempat berjumpa sebelum Syawal menjelma, saya memohon ampun dan maaf zahir dan batin kepada semua pembaca, kelab peminat Rockensteiners, rakan dalam industri, semua yang menyokong saya dan seluruh umat Islam di Malaysia atas segala salah dan silap saya selama ini. Harapan saya, supaya Aidilfitri tahun ini lebih bermakna untuk kita semua dan berhati-hatilah sewaktu memandu pulang ke kampung nanti. ingatlah orang tersayang dan marilah kurangkan kadar kemalangan jalan raya pada tahun ini, Insya-Allah. Semuanya bermula dengan diri sendiri. Sehingga bertemu lagi. Wassalam.
Reply

Use magic Report

Post time 25-10-2009 03:13 PM | Show all posts
Kalau ada keserasian, hasil kerja jadi lebih baik
Oleh Faizal Tahir

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera. Diharapkan semua pembaca setia B*Pop berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya. Berakhir sudah sebulan kita dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri walaupun kebanyakan daripada kita sudah kembali sibuk bekerja seperti biasa. Terima kasih kepada semua yang sudi menjemput saya ke rumah terbuka mereka walaupun saya hanya mampu menghadiri beberapa saja jemputan.

Khamis lalu diadakan sidang media oleh pihak produksi Muzik-Muzik TV3 bagi mengumumkan lagu serta artis yang berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik tidak lama lagi. Alhamdulillah, Bencinta, ciptaan Audi Mok dan saya berjaya terpilih ke peringkat separuh akhir ini. Saya mewakili Audi dan saya sendiri mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua orang yang sudi mengundi dan melayakkan Bencinta bertanding ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik. Jutaan terima kasih juga kepada peminat saya dan juga ahli Rockensteiners. Tahniah juga buat semua komposer dan artis lain yang berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Saya pasti ramai yang sudah mula tertanya-tanya mengenai kelahiran album kedua saya setelah hampir dua tahun tanpa produk baru. Bencinta juga sudah hampir setahun dikeluarkan. Alhamdulillah, single terbaru saya, Selamat Malam, yang akan dimuatkan dalam album kedua saya ini telahpun mula dimainkan di stesen radio tempatan.

Saya sendiri sedar dengan masa yang agak lama diambil bagi menyiapkan album kedua saya ini. Namun saya sebenarnya seorang yang tidak percaya dengan melakukan apa-apa kerja dalam keadaan 'rushing' atau tergesa-gesa. Kualiti adalah sesuatu yang terlalu penting dan paling utama kepada saya. Tiada toleransi yang akan saya berikan bila kualiti diutamakan. Lagu Selamat Malam sendiri menghadapi beberapa perubahan sebelum saya dan Audi bersetuju untuk mengeluarkannya. Proses pembikinan album kedua saya ini boleh dikatakan jauh lebih menyeronokkan dan lebih berani berbanding yang pertama. Bukannya saya katakan pengalaman merakamkan album pertama tidak menyeronokkan, namun pengalaman yang dilalui bersama Audi dalam penghasilan album pertama banyak membantu untuk menghasilkan album kedua ini. Saya tidak mahu katakan yang pembikinan album kedua ini lebih teliti kerana penelitian yang lebih mungkin merumitkan lagi penghasilan lagu yang baik dan mampu mendatangkan stress yang tidak sepatutnya timbul dalam kerja-kerja yang membabitkan kreativiti minda seperti ini.

Setiap daripada kita bekerja dengan cara masing-masing. Saya sendiri pernah mendapat soalan 'cepu emas' daripada beberapa orang yang mempersoalkan pilihan saya menggunakan Audi selaku komposer dan penerbit sepenuhnya untuk album saya. Pada saya, ini adalah persoalan peribadi di mana hanya saya tahu kenapa saya memilih Audi untuk bekerja dengan saya. Namun, hanya satu perkataan yang mampu menjawab soalan itu - selesa. Saya memang sangat selesa bekerja dengan Audi Mok. Cara kerja kami sangat 'serasi' dan kami mempunyai suatu elemen sangat penting apabila bekerjasama iaitu 'chemistry'. Tanpa 'chemistry' atau keserasian sesuatu kerja yang dilakukan tidak mampu mendatangkan hasil yang 'maksimum'.

Saya juga mendapat maklum balas orang ramai mengatakan sekiranya saya mahu mendapat 'keajaiban' daripada muzik saya dan mencipta kelainan, saya harus cuba menggunakan khidmat komposer dan produser lain supaya mendapat 'versatility' dan kelainan. Terima kasih atas segala pendapat dan cadangan diberikan. Namun, secara jujurnya saya seorang yang tidak percaya dengan konsep versatile ini.

Sebenarnya, inilah masalah yang dihadapi ramai artis tempatan. Bila terlalu ramai komposer dan produser terbabit dengan pembikinan sesuatu album itu, maka hala tuju dan kualiti album memang tidak dapat dikawal dengan baik. Saya sendiri pernah mengalaminya sewaktu pembikinan album pertama saya dulu dan pengalaman itulah yang mengajar saya untuk lebih fokus dengan seorang saja komposer dan produser untuk album kedua ini. Kalau diteliti dan dicari semula, album-album yang baik dan pernah dihasilkan sebelum ini adalah album yang lebih 'focused' cara penerbitannya dengan menggunakan hanya satu atau dua produser yang bekerjasama dalam keseluruhan pembikinan sesebuah album.

Namun, jangan disalah faham apa yang saya cuba sampaikan di sini. Saya tidak pula mengatakan saya tidak akan menggunakan khidmat komposer atau produser lain untuk album saya. Siapa tahu, untuk album-album saya yang akan datang saya mungkin saja mahu mencuba sesuatu yang baru dan menggunakan khidmat komposer dan produser lain. Namun, pada waktu ini, memang tidak dapat dinafikan Audi Mok adalah pilihan terbaik dan tepat dalam cuba menyampaikan sesuatu yang lebih segar kepada industri muzik tanah air. Kami sangat serasi bekerja bersama dan saya lebih berpuashati dengan apa yang kami lakukan bersama.

Kelewatan album juga bukan disengajakan. Tiada sebab untuk melewatkan kelahiran album kedua. Seperti yang selalu saya katakan, saya mahukan yang terbaik saja untuk muzik saya dan para pendengar di luar. Untuk pengetahuan semua, saya dan Audi sentiasa menulis dan mencipta lagu baru dari masa ke semasa. Dari tahun lepas kami sudah mula menulis. Namun, tidak semua lagu yang dicipta itu kami akan gunakan. Mungkin daripada tiga lagu dicipta, hanya satu yang kami gunakan.

Mungkin juga daripada 10 yang ditulis, hanya dua yang kami pilih untuk dirakamkan. Penulisan lirik juga sangat penting untuk disesuaikan dengan sesebuah lagu yang telah dicipta. Lirik tidak boleh ditulis sewenang-wenangnya tanpa menitikberatkan melodi, arrangement, 'feel' dan cara produksi lagu tersebut. Ia harus serasi dan wajar dengan 'perasaan' yang ditonjolkan dalam lagu itu. Contohnya, kali pertama saya mendengar lagu dan melodi untuk Bencinta dan Selamat Malam, saya sudah tahu hala tuju dan 'feel' yang dibawa lagu itu.

Kali pertama saya mendengar melodi dan arrangement Selamat Malam, saya sudah tahu saya mahu menulis mengenai apa. Begitu juga lagu lain yang dirakamkan untuk album kedua ini. 'Visualisation' dan pemahaman mengenai sesebuah lagu itu adalah sangat penting untuk mendapatkan hasil produksi yang terbaik.

Mahu saja saya teruskan bercerita tentang pembikinan album saya ini untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman. Insya-Allah, kita bertemu kembali dalam ruangan akan datang. Sehingga bertemu lagi, wassalam.

Bipop 25 Okt.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

ADVERTISEMENT

Forum Hot Topic

ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT

Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

6-2-2025 12:29 PM GMT+8 , Processed in 0.114779 second(s), 31 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list