Oleh FERIDE HIKMET ATAK
Nabil Ahmad
KUALA LUMPUR: Pelawak Ahmad Nabil Ahmad, 30, mengambil keputusan untuk menukar nombor plat keretanya kerana bimbang menjadi sasaran penjenayah selepas kenderaannya itu dipecah masuk pada Isnin lalu.
Nabil berkata, dia nekad berbuat demikian kerana ketika ini nombor plat kereta Mitshubishi Lanser miliknya itu menggunakan kombinasi huruf yang ada persamaan dengan namanya.
"Ini merupakan pengalaman pertama apabila kereta saya dipecah masuk dan ia membuatkan saya risau apa yang bakal terjadi pada masa depan jika penjenayah atau sesiapa sahaja mengetahui ia adalah kereta saya kerana nombor pendaftarannya.
“Tindakan itu juga bagi menjamin keselamatan saya dan keluarga," katanya kepada mStar Online.
Nabil ditemui di Hotel Istana di sini pada Selasa sempena majlis pengumuman barisan artis yang bakal membuat persembahan dalam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20) di Hotel Istana yang akan berlangsung pada 14 Disember depan.
Dalam kejadian Isnin lalu, Nabil menyedari keretanya dipecah masuk oleh penjenayah selepas dia bersama isteri, Nazirah Ayub, 25, dan anak mereka Naira Mikayla yang berusia setahun selesai makan malam di sebuah restoran di Sungai Buloh, dekat sini.
Kejadian itu sedari ketika Nabil hendak mengundurkan keretanya apabila dia melihat cermin belakang sebelah kanan keretanya pecah.
Selain kad pengenalan, beg galas yang diisi baju sukan turut dilarikan penjenayah. Sementara itu, Nabil menyifatkan memiliki nombor plat kenderaan yang mempunyai persamaan dengan nama sendiri terutamanya bagi seseorang selebriti boleh mengundang bahaya tanpa sedar.
Beritahunya, walaupun nombor itu dilihat unik dan glamor, tetapi ia lebih memudahkan individu yang berniat tidak baik untuk melakukan jenayah.
"Saya nasihatkan buat para artis, walaupun seronok memiliki nombor plat seperti yang diinginkan, tetapi ia sebenarnya membahayakan. Lebih baik kita menggunakan nombor biasa sebagai langkah keselamatan," tegasnya.