CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Ipo

NOVEL : MISTERI MIMPI SYAKILLA (TAMAT)

[Copy link]
Post time 17-12-2015 10:58 AM | Show all posts
Esmiria replied at 15-12-2015 04:22 PM
lady ni jenih lemoh semangat lol.

Tak lah... ok je tengok citer hantu kat tv, walau pun terangkat2 kaki
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 17-12-2015 06:55 PM | Show all posts
"Weh, takkan dah nak balik? Bukan ada bini pun kat rumah."
Aku jeling Sopi, nadanya tadi agak sinis pada aku. Aku tahu la yang aku ini tak pernah ada insan istimewa aka awek. Saleha yang aku suka dulu pun dah bertunang. Roha yang aku usha masa sekolah menengah dulu pun sudah selamat bernikah. Hanya seorang saja lagi yang aku suka dalam diam. Sampai sekarang ini pun aku tak tahu siapa namanya.

"Bini tak ada, mak aku ada. Korang lainlah, mak bapak korang tak marah balik lambat macam ni. Aku dah bayar semua ni." Aku betulkan topi di kepala.

"Ya? Alhamdulillah...seronok dapat kawan macam ni." Ajoi pula mencelah, sempat menadah tangan dan meraup muka.

"Aku pun nak balik jugalah." Lan turut bangun.

Aku mula mengatur langkah. Lan, Ajoi dan Sopi pun turut mengikut rentak aku. Kami semua berjalan kaki dari warung Mek Nab. Sambil berjalan, kami menyambung berborak. Keadaan jalan kampung agak gelap walaupun ada lampu jalan di hujung jalan. Itupun atas belas ehsan Pak Hamzah, orang kaya di kampung Limau Berhantu ini.

"Sham...betul ke kau mimpi perempuan tu tiga malam berturut-turut?"

Aku menoleh ke arah Lan yang berjalan di sebelah kiri aku. Dari warung Mek Nab tadi, sudah dua batang rokok dihisap. Berkepul asap diterbangkan angin malam. Sejuk memang terasa. Aku melihat sekitar jalan. Jarak rumah ke rumah agak jauh juga. Rumah mak aku sendiri pun sudah penghujung kampung berbanding rumah Ajoi dan Sopi. Lan pun, tinggal di rumah mak saudaranya sejak kedua orang tuanya meninggal dalam kemalangan jalanraya dua tahun dulu. Lan anak tunggal.

"Ya...mimpi aku tu sama je..tempat dan suasana tempat tu...semua sebiji."

"Emm...pelik. Aku rasa baik kau tanya Tok Pat. Aku dengar dia pandai dalam bab mimpi ni. Mana tahu kalau dia boleh tafsir  mimpi kau tu." Ujar Lan sekali lagi sambil menghembus rakus asap rokok ke udara.

"Kau gila ke? Kau nak aku tanya bomoh tu?" Aku siku lengan Lan.

"Apa salahnya? Tanya saja. Percaya lain cerita!" Celah Sopi yang turut mengangguk setuju cadangan Lan.

Aku masih berfikir. Sudah tiga malam aku bermimpi benda yang sama. Tiada satu pun yang berubah. Setakat ini, tiada tanda-tanda pasal mimpi aku itu. Malah mimpi aku itu akan berakhir dengan ayat 'aku akan datang lagi dalam mimpimu' dan perempuan itu sekelip mata hilang dan lesap. Hmm...mungkin Tok Pat boleh menafsirkan mimpi aku.

"Baiklah..bila nak pergi?" Aku mula setuju setelah ditimbangtara oleh otak kecil aku.

"Malam ni!" Cepat saja Ajoi menjawab.

"Malam ni tak boleh. Tengok dah pukul berapa? Mahu sebakul mak aku jadi pensyarah nanti." Aku tunjuk jarum jam pada Ajoi.

"Ok, kalau macam tu, kita pergi malam esok. Macam mana? Semua masih ada kat kampung lagi kan?" Usul Lan.

Aku mengangguk. Ajoi dan Sopi pun turut mengangguk. Malam itu kami pulang ke rumah masing-masing. Aku yang paling jauh sekali. Dari berempat, tinggallah aku seorang saja. Dalam keadaan jalan yang agak gelap dan rumah yang berselang jauh, aku dapat merasa bulu roma aku meremang bila aku sekali lagi kena lalu ladang getah yang sudah lama tidak diusahakan. Pokok getah pun sudah banyak yang kering. Teringat masa kecil dulu. Aku baru pulang dari mengaji quran dari rumah Ustaz Khadir. Jalan pokok getah inilah yang aku kena paling takut. Hampir aku terkencing dalam seluar bila tiba-tiba aku diganggu dengan suara menangis dan kemudian mengilai dari celah-celah pokok getah kering itu.

"Janganlah suara tu muncul lagi.." Aku meliar melihat sekeliling. Kaki semakin laju aku langkah.

Tiba-tiba langkah aku terhenti. Sesuatu yang aku ingin hindari sudah tercongok tidak jauh dari tempat aku berdiri. Aduh! Masa inilah dia nak muncul. Apakah kejadian lama akan berulang kembali? Aku pandang seluar jeans yang aku pakai dan perlahan aku melihat ke arah tadi. Entah kenapa aku tak merasa seperti yang aku rasa dulu. Mungkin benar apa yang Lan cakap. Aku dikurniakan mata tembus dan aku terpilih untuk melihat benda halus, mungkin jiwa aku kuat. Apakah mimpi itu juga memberi petanda pada aku???

"Kau jangan ganggu aku. Aku tak pernah kacau kau! Pergi kau dari sini. Aku hanya nak tumpang lalu saja." Aku beranikan diri berkata walaupun jantung aku ketika ini sudah melepasi tahap normal.

"Kau tak kenal aku?"

Aku menelan liur. Tiba-tiba makhluk itu bersuara. Aku cuba mengamati wajah makhluk yang masih berdiri tegak di tepi sebatang pokok getah tadi. Samar-samar wajahnya walaupun pakaiannya seolah seperti seorang perempuan berkebaya atau berbaju kurung. Entahlah, aku pun tak tahu sangat fesyen baju perempuan.

"Aku hanya nak kau tahu siapa aku..."

Muka aku terus pucat lesi sebaik kata-kata itu terhambur dari wajah tak berupa itu. Aku mati kutu. Langkah aku terasa kaku, kejung. Apakah aku sekarang ini bermimpi atau apa??? Aku tampar pipi aku sendiri berkali-kali. Mana tahu aku tertidur lepas balik dari warung Mek Nab tadi dan aku bermimpi.

"Aku tak mimpi.." Pipi yang aku tampar tadi aku gosok. Pedih juga walaupun kena penampar sendiri. Mata masih melekat pada wajah tak berupa tadi.

"Kenapa kau ganggu aku? Kau siapa? Kenapa kau muncul dalam mimpi aku? Dan sekarang kau muncul betul-betul dalam dunia aku??? Kau nak apa sebenarnya??!! Aku menjerit marah. Rasa geram mula merasuk aku.

"Aku akan datang lagi dalam mimpimu.."

"Tunggu!!!" Aku cuba kejar wajah tak berupa tadi yang sudah mula hilang ditelan angin malam dalam ladang pokok getah.

Tercungap-cungap aku menahan nafas. Apa kejadahnya aku mengejar makhluk itu tadi?? Aku baru tersedar yang aku sudah masuk ke jalan lain. Laju saja aku berpusing semula ke arah jalan menuju ke rumah. Arghhh!!! Malapetaka apa pula kali ini yang akan aku hadapi. Esok, aku sudah nekad. Aku akan jumpa Tok Pat!



Reply

Use magic Report

Post time 18-12-2015 09:52 AM | Show all posts
bookmark dulu, nnt baca
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-12-2015 03:58 PM | Show all posts
Edited by Ipo at 18-12-2015 04:06 PM

BAB 2


ASAP berkepul memenuhi ruang tengah rumah yang hanya dilengkapi dengan sebidang tikar mengkuang di tengah-tengah ruang tamu. Di depan Tok Pat, ada beberapa peralatan untuk merawat. Salah satu yang menarik mata aku ialah satu bekas lilin dan beberapa colok serta satu gelas jernih berisi air. Kumat kamit mulut Tok Pat membaca sesuatu yang aku agak tentu jampi serapah dalam bahasa Siam. Aku perhatikan lagi. Pakaian Tok Pat dengan lilitan kain merah di pinggang. Lilin dibakar dan diletakkan di antara dua biji telur dan gelas berisi air tadi.


"Lan..aku rasa tak sedap hati la. Macam syirik je.." Aku mula resah. Telinga aku dari tadi mendengar jampi mentera dalam bahasa Siam. Aku cuit lengan Lan yang asyik melihat upacara perawatan Tok Pat.


"Aku tahu..kita hanya nak tahu siapa perempuan tu." Lan memberi isyarat agar aku diam.


Aku jeling Ajoi dan Sopi yang duduk rapat di dinding. Tidak berani berada dekat dengan aku dan Lan. Sebelum datang tadi, bukan main Ajoi dan Sopi ingin tahu pasal bomoh Tok Pat. Sampai saja di rumah Tok Pat, terus saja diam membisu, macam dijahit mulut masing-masing. Pelik juga.


"Tok...siapa perempuan tu?" Lan beranikan diri bertanya. Hampir setengah jam melihat Tok Pat membaca mentera kumat kamit di depan lilin yang bernyala tadi.

"Emm...kamu orang Islam, kenapa cari Tok? Jarang orang Islam datang minta tolong dengan Tok." Suara garau Tok Pat memecah keheningan malam itu.

Paapp!! Rasa satu tamparan hinggap kat muka aku! Tu dia terkena sebiji. Aku pandang Lan kemudian beralih ke arah Ajoi dan Sopi. Dalam hati aku sudah merasa serba salah. Betul apa yang dikatakan oleh Tok Pat tadi. Kenapa perlu minta bantuan dari bomoh siam sedangkan ramai lagi perawat Islam di bumi Malaysia ini?

"Err...macam ni Tok. Masalah kawan saya ni...agak berat sikit. Kami hanya nak tahu siapa perempuan dalam mimpi Sham ni." Ujar Lan perlahan, seperti berbisik.

"Apa yang Tok nampak tadi, perempuan ni ada kena mengena dengan  Tok Merah." Sambil melihat ke dalam gelas berisi air, Tok Pat meniup perlahan ke arah air dalam gelas itu.

Aku yang mendengar jawapan bomoh Siam itu terus menentang mata Tok Pat. Tergamam. Eh, itu nama atuk aku! Aku pandang Tok Pat tak berkelip. Tok Pat masih menilik air dalam gelas. Dua biji telur tadi kemudiannya diambil dan dipecahkan ke dalam mangkuk. Terlopong aku melihat apa yang ada dalam mangkuk tadi.

"Kamu nampak ni..ada rambut, ada kuku, ada sedikit minyak..." Tok Pat menguis-nguis bahan tadi dengan sebatang jarum hitam. "Semua  bahan ni milik perempuan dalam mimpi kamu tu."

Aku menelan liur. Terasa muka aku berubah pucat. Aku pandang Lan yang turut melihat aku dengan riak pelik. Sopi dan Ajoi yang berada di hujung dinding tadi mula menapak ke arah aku dan Lan. Apa yang ada dalam mangkuk itu yang menarik mereka mendekati Tok Pat .

"Weh! Apa benda ni? macam mana benda ni ada dalam telur?" Ajoi terbeliak mata melihat keadaan telur dalam mangkuk di depan Tok Pat.

Sopi pula tidak berganjak di sebelah Lan.

"Maksud Tok...Tok kenal datuk saya?" Aku semakin ingin tahu. Kenapa tiba-tiba bomoh Siam itu menyebut nama atuk aku.

Tajam Tok Pat merenung Sham yang dari tadi terkebil-kebil memandangnya. Wajah anak muda itu ada iras Tok Merah. Pertama kali melihat anak muda itu melangkah masuk tadi, dia sudah dapat mengagak yang Sham ada kena mengena dengan Tok Merah. Benar telahannya. Nampaknya Tok Merah tidak pernah berubah. Ilmu yang diturunkan kepada Hadi dulu kini ingin diturunkan kepada cucunya pula. Apa yang dia harapkan Sham tidak menerima nasib yang sama seperti ayahnya, Hadi.

"Ya..dia kawan satu sekolah dengan Tok dulu di pekan ni." Tok Pat bersuara agak perlahan.


Aku melihat reaksi Tok Pat seperti menyembunyikan sesuatu dari aku. Tajam matanya merenung aku. Mungkin dia boleh membaca fikiran aku atau sikap aku ketika ini. Dari tadi lagi, mata tembus aku melihat satu susuk tubuh seperti bayang hitam berdiri di belakang Tok Pat. Memang sah itu adalah khadam bomoh Siam itu.


"Siapa perempuan tu tok?" Lan yang dari tadi ingin tahu tentang mimpi Sham, melontar soalan lagi.

Ajoi dan Sopi hanya diam tidak berkutik.

"Maaf..Tok tak boleh beritahu. Itu adalah perjanjian Tok Merah  sendiri. " Ujar Tok Pat sambil melihat kembali pada telur dan air dalam gelas.

"Perjanjian??" Aku tercengang. Ah malapetaka apa lagi ni!! Apakah atuk aku ada saka??? Apakah apa yang aku nampak bayang atuk aku dulu tu adalah saka atuk aku??

"Baik kamu tanya dulu pada perawat Islam. Kalau masih tak dapat, barulah kamu datang cari Tok. Satu lagi, dia akan muncul dalam mimpi kamu kalau kamu teringat atau terlintas wajah perempuan tu." Pesan Tok Pat.

Aku terdiam. Lan menepuk bahu aku. Ajoi dan Sopi pula masih tidak berkutik di sebelah Lan. Kata-kata Tok Pat tadi membuatkan aku merasa kecut perut. Apa perempuan itu nak sebenarnya? Apakah dia ingin membalas dendam atau ingin aku tahu apa hubungannya dengan atuk aku??

"Kalau macam tu..kami balik dulu Tok." Lan meminta izin. Dua keping wang kertas sepuluh ringgit dan tiga keping duit syiling 50 sen diletakkan dalam bekas putih. Itu yang Tok Pat mahukan.

Aku  pulang dengan seribu satu persoalan di minda.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-12-2015 04:49 PM | Show all posts
BANYAK persoalan bermain di minda aku. Mundar mandir aku dalam bilik yang hanya memuatkan katil bujang dan almari pakaian.  Pulang saja dari rumah Tok Pat tadi, aku tidak singgah mana-mana walaupun diajak Lan, Ajoi dan Sopi melepak di kedai kopi Mek Nab seperti biasa. Aku sudah tidak tentu hala jadinya bila teringat nama atuk aku disebut Tok Pat. Apakah Tok Pat dan atuk aku sama-sama menuntut ilmu perawatan? Perjanjian apa pula yang atuk aku sudah meterai? Dengan siapa? Kenapa?

"Arghhhhhhhhhhh!!!" Aku menjerit sekuat hati.

"Sham!! Sham!!"

Aku terdiam. Terlupa yang aku masih berada di rumah mak di kampung. Aku segera buka pintu. Mak sudah berdiri di situ dengan wajah panik. Aku meleret senyum bagai tak ada apa-apa yang berlaku.

"Mak dengar Sham menjerit tadi. Kenapa?"

Aku sengih. "Tak ada apa la mak. Stress dengan kerja je. Esok, Sham dah kena balik KL. Ada benda urgent nak buat." Aku menjawab penuh yakin.

"Laa...tu la. Kan mak dah kata. Solat jangan tinggal, baca Quran bila otak dah serabut macam tu. Ingat Allah..hati akan tenang. Bukan dengan menjerit terlolong macam tadi!" Mak membebel.

Aku mengangguk sajalah. Aku akui semua itu dan aku seorang yang degil dan selalu lagha dalam soal itu. "Err..mak, Suri tak balik ke?"

"Tak. Katanya ada benda penting nak siapkan kat kolej tu. Kenapa?"

"Tak ada apa.." Aku sengih lagi. Sengaja aku bertanya pasal adik perempuan aku yang belajar di universiti di sebuah negeri di utara tanahair. Selalunya hujung tahun macam ini, Suri akan lepak sebulan di kampung. Ini sudah masuk minggu kedua bulan 12, batang hidung Suri pun tak nampak.

"Ala kalau rindu adik kamu tu, pergilah jenguk dia kat Perlis nun. Siapa lagi yang dia nak harapkan. Mak tak boleh nak tinggalkan nenek kamu tu. Akhir-akhir ni dia selalu demam." Mak menyambung kata.

Aku angguk-angguk. Sudah lama aku tak jenguk Suri dan nenek. Padahal bukan susah sangat pun nak menjenguk mereka. Kereta pun ada. Hidupkan enjin, pecut saja ke utara. Nenek..

"Dah jenguk nenek belum?"

Aku terkejut. Baru aku terfikir pasal nenek tadi.  Sejak hari pertama aku bercuti, aku belum lagi menjenguk nenek yang rumahnya hanya selang dua buah saja dari rumah mak. Kalau nenek tahu yang aku sudah empat hari balik kampung, mahunya disembur sedas dua dengan bebelan peluru dari mulut dia cok cek cok cek tu.

"Esok Sham singgah rumah nenek sebelum bertolak ke KL." Aku melakar senyuman kelat. Mungkin aku boleh mengorek cerita dari nenek tentang atuk dan mimpi misteri aku itu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-12-2015 09:03 PM | Show all posts
SEMUA barang sudah aku kemaskan dan selamat masuk dalam beg sandang aku. Setiap kali aku balik kampung, aku lebih selesa membawa beberapa pakaian saja yang cukup memuatkan beg sandang aku. Komputer riba, novel seram dan nota peneman setia aku, dimasukkan ke dalam beg lain. Aku pandang cermin sekali lagi. Betulkan rambut yang agak serabai.

"Emm...rasanya semua dah aku kemas.." Bilik kecil itu aku perhatikan seketika. Memang sudah bersih dan kemas.

"Sham..dah nak bertolak ke?"

Aku menoleh. "Sudah mak. Kejap lagi Sham nak ke rumah nenek. Jomlah ikut sekali." Aku menapak ke arah mak yang sedang tersenyum di muka pintu bilik aku.

Kami beriringan menuju ke ruang dapur. Mak sudah sediakan sarapan nasi lemak bersama ayam goreng berempah. Berselera aku makan pagi itu. Siap bertambah dua pinggan nasi. Ayam goreng tiga ketul aku bedal. Aku capai gelas teh panas.

"Sham ke mana malam tadi?"

Perlahan gelas berisi teh panas itu aku letakkan semula. Tidak jadi hendak minum. Pertanyaan mak tadi membantutkan keinginan aku untuk minum. Aku pandang mak untuk seketika. Aku cuba mencari riak wajah ibu tua yang sudah hampir separuh abad itu. Tidak lekang mata aku menatap wajah yang pernah mengandungkan aku sembilan bulan 26 tahun dulu. Memang tidak dimakan tua. Tampak segar sentiasa.

"Mak, ayah meninggal dulu sebab apa?" Aku tidak menjawab pertanyaan mak, soalan lain pula yang aku tanya.

Mak terdiam. Aku lihat wajah mak berubah rona namun aku tahu mak cuba sembunyikan sesuatu dari pengetahuan aku dan Suri. Dari sorotan matanya aku boleh baca makna tersirat. Memang ada sesuatu yang dirahsiakan dari aku selama ini. Apa yang aku tahu, ketika ayah meninggal dulu, aku diberitahu yang ayah mengidap penyakit kanser tulang tahap 4. Dua bulan ayah terlantar sakit sebelum ayah menghembuskan nafas terakhirnya di rumah pada malam Khamis. Aku tahu, ketika ayah sakit, aku secara sembunyi berjumpa dengan Ustaz Adi, seorang guru tahfiz di sekolah pondok. Aku tahu penyakit ayah bukan penyakit biasa. Laporan doktor pada mulanya tidak dapat mengesan jenis penyakit ayah. Bermacam kesimpulan dibuat yang pada pemerhatian aku tidak membawa kepada satu kesimpulan yang jitu. Kaki ayah lumpuh tapi masih panas. Doktor sendiri hairan dengan keadaan itu. Akhirnya ayah disahkan meninggal kerana sakit tua. Pelik bin ajaib!
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 18-12-2015 10:24 PM | Show all posts
"Kan doktor dah beritahu kanser tahap 4. Takkan Sham tak ingat? Sudahlah..perkara dah lepas. Ni, nanti beri nasi lemak ni pada nenek. Mak nak hantar ke warung Cik Misah. Semalam dia dah pesan 50 bungkus nasi lemak."

Aku hanya pandang mak yang mula bangun dan buat-buat sibuk menyusun dan membilang bungkusan nasi lemak yang sudah siap dimasukkan dalam bakul. Aku tahu mak ingin mengelak dari menjawab pertanyaan aku tadi. Bukan aku tak ingat tetapi aku malas hendak mengungkit perkara itu masa kubur ayah masih merah. Biarlah ia reda dahulu. Kata-kata Ustaz Adi masih terngiang di telinga aku. Ayah bukan meninggal kerana kanser dan aku percaya kerana aku boleh nampak ada beberapa orang yang mengiringi jenazah ayah ke tanah perkuburan nampak seperti berdendam. Menjeling tajam dan  mengetap bibir merenung tajam ke arah sekujur tubuh ayah yang sudah berbalut kain kapan.

Aku capai dua bungkus nasi lemak yang dihulur mak tadi dan aku masukkan ke dalam beg plastik. Tangan mak aku cium sebelum aku melangkah menuju ke rumah nenek. Tiba di rumah nenek, aku memberi salam. Alhamdulillah, berjawab juga salam aku. Nenek sedang memberi ayam itiknya makan di reban belakang rumah rupanya.

"Nek.." Aku peluk tubuh kecil nenek yang sudah agak bongkok. Pada telahan aku, usia nenek sudah hampir mencecah seratus tahun tapi masih sihat dan kuat.

"Ha...baru hari ni nak jenguk nenek?"

Aku sengih kerang. Kepala yang tidak gatal aku garu, tersengih-sengih depan nenek. Aku tahu, tentu mak yang beritahu pasal kepulangan aku ke kampung. Kalau tak, macam mana nenek tahu aku berada di kampung sekarang ini.

"Ala...Sham banyak kerja la nek. Ni, mak kasi dua bungkus nasi lemak." Aku hulur bungkusan tadi kepada nenek.

"Sham dah makan?"

Aku angguk. Aku ajak nenek ke pangkin kayu di bawah pokok rambutan di sebelah kiri rumah, berdekatan dengan telaga dan pokok limau nipis. Melihat telaga itu, teringat kembali zaman hingusan aku dulu. Di situlah aku suka sangat mandi dengan mencebok air menggunakan tali yang diikat di tangkai baldi. Masih terbayang-bayang suasana girang aku dan Lan mandi. Ajoi dan Sopi kadang-kadang saja ikut bersama. Lan yang paling rapat dengan aku.

"Hah! Jauh menung!!"

Aku gosok paha aku yang ditampar kuat oleh nenek. Oh mak aih...pedih juga kena penampar tadi. "Mana ada nek...Sham teringat zaman budak-budak dulu.."

"Tu la...orang kata zaman budaklah zaman yang paling seronok. Nak bermain saja kerjanya. Kamu tu, senja saja suka sangat mandi kat telaga tu. Memang patutlah kamu tu selalu kena sorok dek hantu jembalang!" Nenek ketawa mengekek sambil menyuap nasi lemak ke mulut.

Aku hanya senyum. Walaupun usia nenek sudah seabad lamanya, wajah nenek seperti tidak dimakan usia sangat. Sama seperti wajah mak. Ilmu atau petua apa yang mereka pakai? Teringin juga nak kelihatan muda sentiasa.

"Ni, dengan beg besar macam ni, dah nak balik Kolumpo la tu!" Cebik nenek.

Aku diam saja. Aku tahu, nenek sudah nak mula cok cek cok cek. Tadah sajalah telinga. Aku dah masak dengan sikap nenek kalau dia tidak puas hati. Mahu satu hari dia membebel bak bertih jagung.

"Nek, Sham tanya sikit boleh?" Aku beranikan diri mulakan mukadimmah.

"Apa dia? Nih, nenek dah ada calon untuk Sham. Cantik orangnya. Harapkan mak kamu tu, sampai bila pun kamu tak bernikah. Sekejap!"

Aku melihat nenek tergesa-gesa masuk ke dalam rumah. Nasi lemak dalam daun pisang yang sudah hampir habis dibiarkan saja terdedah di atas pangkin. Aku menggeleng. Bertaut kening melihat gelagat nenek. Sejak bila pula nenek aku ni sudah pandai mencari calon untuk aku??

"Ni, tengok ni.Cantik budaknya." Nenek kembali ke pangkin dan menghulurkan sekeping gambar kepada aku.

"Nek..Sham ada benda penting nak tanya ni.." Aku buat tak acuh pada sekeping gambar tadi. Gambar itu aku tak pandang pun. "Aduh!"

Perghh! Kepala aku jadi bahan luku buku lima nenek. Memang nenek pantang kalau apa yang dia cakap tidak diendahkan. "Sakitlah nek!"

"Aku suruh kamu tengok gambar tu. Yang kamu tu sibuk nak cakap hal lain kenapa?" Bebel nenek.

Aku terkulat-kulat di depan nenek. Nak tak nak, aku terpaksa melihat gambar yang diberikan tadi. Aku tergamam. Berkali-kali aku genyeh mata, bimbang mata aku yang tak jelas.

"Kenapa? Macam orang nampak hantu je?"

Aku diam. Sedikitpun tak berganjak mata aku dari menatap foto di tangan. Mimpi apakah aku sekarang ini?? Kenapa wajah perempuan dalam gambar ini sama dengan wajah perempuan dalam mimpi aku???

"Err...nek...siapa dia ni?" Suara aku sudah terketar-ketar.

"Ha...cantik kan? Nenek suka budaknya. Cantik, sopan, manis, pandai memasak..ciri-ciri yang nenek suka. Sama macam mak kamu tu. Nama dia ni Syakilla.."

Aku menelan liur. Mata aku masih melekat pada wajah gadis dalam foto itu. Aku cuba mencari perbezaan. Ternyata tiada. Rupa paras, warna kulit dan rambut semuanya sama. Apakah aku yang bermimpi sekarang ini?

"Dia..dia ni anak siapa nek?" Aku semakin ingin tahu.

"Ha...nenek akan beritahu kalau kamu terima budak ni. Macam mana?" Nenek sengih, menampakkan giginya yang sudah jarang. Yalah...asyik mengunyah sirih sejak zaman muda.

"Err...mana boleh macam tu nek. Sham, kalau nak nikah, kena ada perasaan cinta dan sayang. Sekarang ni, kalau tak ada perasaan tu, macam mana nak bina rumahtanggga yang bahagia?" Aku cuba menahan dari ketawa. Entah dari mana idea itu datang. Ah, bantai sajalah. Asalkan nenek boleh terima alasan aku.

"Emm...betul juga tu. Kalau macam tu, nanti nenek kenalkan dengan kamu. Budak ni tinggal dengan nenek dia kat Kampung Sireh."

Fuh! Lega. Ada lah masa untuk aku kenal dan tahu siapa Syakilla sebenarnya. Mungkinkah gadis itu yang selalu muncul dalam  mimpi dengan wajah menakutkan? Atau mungkinkah gadis itu menyimpan satu rahsia yang dia ingin aku tahu??

"Macam tulah nenek Sham. My sweet old woman." Aku cubit kedua pipi nenek dan peluk tubuh nenek seeratnya.

"Dah..jangan nak bodek nenek. Nenek nak juga kamu nikah dengan budak Syakilla ni."

"Yalah nek. Oh ya nek, tadi sebenarnya Sham nak tanya sesuatu...pasal atuk. Atuk dulu belajar ilmu merawat kat mana ya?" Aku ulang semula soalan yang aku hendak tanya tadi.

"Kenapa?" Kali ini bertaut kening nenek.

"Saja nak tahu...mana tahu, Sham boleh belajar ilmu tu. Kan Sham ni cucu Tok Merah." Aku menjawab dengan nada bergurau. Seriau pula melihat reaksi nenek tadi. Seolah pertanyaan aku itu sesuatu yang sangat salah. Mata nenek sudah lain sinarnya. Ada tembusan dan panahan.

"Sudah, nenek tak suka kamu ikut jejak atuk kamu tu. Jangan ditanya lagi pasal tu." Nenek merengus.

Aku tahu kalau nada nenek sudah sebegitu, aku tak perlu lagi bertanya lebih lanjut. Aku sudah tahu sikap nenek. Dia akan mengunci mulut serapat yang boleh. Aku mula minta diri untuk bertolak ke KL. Aku perlu ke rumah semula mengambil kereta yang aku parkir di halaman rumah.

"Nek, Sham pergi dulu ya." Aku mencium tangan berkedut nenek.

"Baiklah. Jangan lupa pesan nenek tadi. Nenek nak jawapan cepat. Kalau tak, disambar orang lain nanti budak Syakilla tu."

Aku anggukkan saja.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-12-2015 11:57 AM | Show all posts
BAB 3


SUDAH seminggu aku kembali dari kampung. Lega bila tiada lagi mimpi misteri menghantui tidur aku. Aku sedaya mungkin tidak mahu memikirkan hal itu atau terlintas sekali pun mimpi misteri itu. Kata-kata Tok Pat aku masih ingat. Pesan Tok Pat aku masih tidak lupa. Aku tahu, ada sesuatu antara Tok Pat dan atuk aku. Mereka dulu satu sekolah, sudah tentu banyak benda yang mereka tahu sementelah lagi atuk aku juga seorang perawat tradisional dan juga seorang guru silat. Jadi, aku dapat merasakan ada sesuatu yang nenek dan Tok Pat cuba sembunyikan dari pengetahuan aku.

Fail yang berada di atas meja aku belek sepintas lalu. Fikiran aku masih melayang pada misteri mimpi aku dan juga kata-kata Tok Pat dan nenek. Apa sebenarnya yang mereka rahsiakan?

"Emm..Syakilla..." Tiba-tiba aku teringat gadis dalam foto yang ditunjukkan nenek dulu.

Aku segera capai beg sandang dan keluarkan foto yang disimpan dalam sampul surat. Foto itu aku tatap untuk seketika. Aku cuba meneliti setiap inci wajah gadis itu jika ada perbezaan dengan perempuan dalam mimpi aku.

"Macam sama..tapi aku pun tak berapa jelas tengok muka perempuan dalam mimpi aku tu.." Aku amati lagi foto itu.

"Weh!!"

Terlepas foto dari tangan aku. Aku pantas menoleh. Ameng ketawa mengekek di belakang aku. Binawe punya kawan!! Aku segera kutip foto yang jatuh atas lantai.

"Kau ni Ameng! Mahu aku mampus kojol ka?" Aku merengus.

"Haiya Sham! Ini amoi ka yang buat kau tak perasan aku ada kat belakang kau?" Sekali lagi Ameng menepuk bahu aku.

Aku hanya menjeling. Apa tidak terkejutnya, ralit aku menatap foto tadi, tiba-tiba belakang aku ditepuk kuat. Kalau aku jenis yang mudah melatah, entah apa yang aku hambur tadi. Aku pandang lelaki Cina yang tersengih-sengih di sebelah. Mata sepet, kulit putih merah, tinggi lampai. Badan sekeping. Teringat pula pada kawan satu sekolah aku dulu, Ah Loi yang mempunyai perwatakan sebiji macam Ameng ini.

"Hello kawan, kalau mahu tegur pun, jangan ini macam la. Kalau aku sakit jantung, mahu aku kojol terus kat sini." Aku merungut tapi aku tahu, Ameng tidak pernah ambil hati apa yang aku cakap.

"Sorry la kawan. Kita sudah kenal lama maaa..." Bahu aku ditepuk mesra kali ini. "Emm...foto siapa ini?"

"Entah..nenek aku kasi. Dia mahu aku kenal sama ini perempuan." Aku menjawab tanpa memandang sedikitpun pada Ameng.

"Let me see.."

Cepat saja tangan Ameng menyambar foto itu dari tangan aku. Aku tengok bibir Ameng sudah senyum sampai ke telinga. Entah apa yang difikirkannya. Aku sambar semula foto tadi dari tangannya.

"Wei, ini amoi banyak cantik aa..kalau kau tak mahu, kasi aku la.." Ameng sengih kerang.

"Banyak kau punya cantik mahu kasi sama lu!" Aku mencebik. Aku akui, wajah gadis bernama  Syakilla itu cukup manis, putih dan lembut pada pandangan mata. Rambut disikat rapi dan diletakkan di sebelah kiri bahu. Kening lebat.

"Jadi..bila mahu kahwin sama ini amoi?"

Aku diam. Malas hendak melayan cakap Ameng. Foto tadi aku letak semula dalam sampul dan simpan dalam beg sandang aku. Aku meneruskan kerja yang tertangguh tadi. Fikiran masih melayang terawang-awang.

"Meng...aku tanya kau sikit.." Aku menoleh perlahan pada Ameng  yang mejanya hanya di sebelah aku saja. Aku lihat dia sudah mula membelek fail. Ameng memang rajin bekerja. Malah, dia disenangi oleh rakan lain di pejabat ini.

"Apa dia? Kalau pasal amoi tadi, aku tak tahu. Tapi kalau mahu tahu macam mana mahu mengurat awek, aku boleh bagi tips." Tersengih Ameng memandang aku.

Aku hanya senyum kelat. Bukan aku tak tahu teman wanita Ameng berderet sejak dia menjadi salah seorang pegawai kerajaan ini. Semua bangsa dia mengurat.
"Bukan amoi la..aku nak tanya pasal mimpi."

"Mimpi? Kau mimpi amoi tadi ka?"

"Ya...maksud aku..perempuan dalam mimpi aku tu..ada persamaan dengan amoi dalam gambar tadi." Aku menjawab jujur. Tak adalah nanti Ameng berteka teki segala.

"Eh, itu perkara biasa maa. Orang cakap, kalau kita selalu fikir atau ingat seseorang, kita akan terbawa-bawa dalam mimpi. Ha, in your case, kau memang ingat amoi tu kan? Sebab tu kau mimpi dia, it such a simple maths!" Ameng memetik jari depan muka aku.

"Kau tak faham Meng. Macam ni.." Aku mulakan cerita mimpi aku kepada Ameng dari awal sampai akhir.

Aku lihat reaksi Ameng mula lain. Kening Ameng sudah bertaut. Mungkin dia juga merasa pelik dengan mimpi aku. Entahlah, aku hanya ingin tahu dari sudut pandangan orang Cina pula. Mana tahu, dia ada tafsiran sendiri.

"Sham..kau rasa itu amoi hantu ka?" Ameng berbisik.

Aku diam. Aku dah agak. Tentu itu yang Ameng akan katakan. Sebelum ini pun, Lan, Ajoi dan Sopi juga beranggapan begitu. Aku tidak salahkan mereka. Aku juga pelik sebenarnya. "Mungkin la kot..."

"Choi!! Suwei!!" Ameng menepuk meja berkali-kali.

Aku ketawa terbahak-bahak. Pucat muka Ameng kali ini. Penakut juga rupanya dia ni. "Takut jugak kau ya. Kalau orang Cina punya tafsiran, apa dia eh?"

Ameng semakin berkerut kening. Mungkin dia juga sedang mencari jawapan pada soalan aku. Aku tahu, Ameng bukan penganut buddha yang taat. Kadang-kadang saja aku tengok dia sembah tokong di jirat. Selain itu, dia macam aku juga. Banyak hal dunia dari hal keagamaan.

"Emm..mak aku ada beritahu aku dulu. Aku tak tahu la betul ka tak. Kalau kau mimpi itu macam haa...itu tandanya kau akan mengalami perkara baik dalam waktu terdekat ni. Kalau kau dikejar hantu, itu tandanya, perkara buruk akan berlaku pada kau satu hari nanti."

Aku renung wajah Ameng. Macam serius saja kata-katanya. Perlahan aku mengukir senyum. "Mengarutlah semua tu..pada aku mimpi hanya sekadar mainan tidur atau macam kau kata mula-mula tadi, bila terlalu ingatkan sesuatu atau seseorang, kita akan terbawa-bawa dalam mimpi." Aku cuba menyedapkan hati sendiri. Aku sebenarnya tidak mahu mengambil serius tentang hal itu.

"Hantu kejar kau ka atau kau kejar hantu?"

Sekali lagi aku ketawa terbahak-bahak mendengar pertanyaan serius Ameng. Lucu pada telinga aku yang mendengarnya. "Kau ni Meng...sudahlah. Rosak tafsiran mimpi kau tu.."

"Eh, tadi bukan main kau tanya aku! Sekarang ni, aku mahu tanya, orang Islam tafsir macam mana?" Ameng pula bertanya.

"Emm..semalam, aku ada baca sikit pasal mimpi ni. Mengikut tafsiran tu..kalau mimpi macam aku tu, kemungkinan aku berada di tempat yang panas..maksud aku, aku mungkin akan diganggu dengan jin atau syaitan atau saka.." Aku berkata perlahan.

"Seramnya..habis tu..kau nak buat apa?"

Aku melihat Ameng pula yang serius memikirkan hal itu. Aku senyum kelat. "Aku tak percaya...aku buat bodoh sajalah. Macam kau cakap tadi, terbawa-bawa dalam mimpi.." Ujar aku, sekali lagi cuba menyedapkan hati sendiri.

"Tapi kalau dalam Islam, mimpi ni ada dua. Benar dan bathil. Bathil tu dusta atau bohong. Jadi, aku anggap mimpi aku tu adalah dusta. AKu rasa mimpi aku tu dari bisikan syaitan." Aku menyambung bicara.

Ameng kelihatan mengangguk-angguk. Entah faham ke tidak. Aku senyum saja. "Dah..sambung kerja. Kalau fikir hal ni, esok lusa pun tak habis bro."

Aku menyambung kerja semula sehingga habis waktu kerja. Jam sudah hampir enam petang. Malam nanti, aku perlu ke rumah Lan. Aku ingin selesaikan masalah mimpi aku dengan segera. Aku pilih Lan kerana Lan bekerja sendiri, jadi mudah untuk dia luangkan masa untuk aku. Malam ini aku akan ke Shah Alam.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 19-12-2015 12:16 PM | Show all posts
AKU membebel sendiri. Mengomel dari tadi. Nak cepat, kereta aku pula buat hal. Nampaknya terpaksalah aku naik motorsikal ke rumah Lan di sekyen 8 Shah Alam malam ni.  Helmet di atas almari kasut aku capai. Aku segera hidupkan enjin motorsikal kapcai aku yang masih elok. Seingat aku, motor Hondacup 70 itu aku beli dengan duit biasiswa ketika aku berada di tahun dua pengajian di universiti. Sampai sekarang motosikal itu masih elok dan tidak banyak ragam.

Dari rumah aku terpaksa menggunakan lebuhraya Federal untuk ke rumah Lan. Hanya jalan itu sajalah yang aku rasa paling dekat. Malas aku hendak menempuh kesesakan jalan walaupun aku menggunakan motorsikal. Kalau keadaaan sesak teruk, motorsikal pun boleh sangkut. Dari lebuhraya Federal itu, aku melalui jalan motor. Sepanjang aku menaiki motorsikal ke rumah Lan, tidak banyak motorsikal lain yang melalui jalan itu. Sebelum ini aku pernah dengar bermacam-macam cerita menakutkan terjadi di lorong motorsikal terutama dekat dengan terowong. Ah, aku peduli apa. Selagi tidak kena batang hidung sendiri, aku redah saja. Lagi pun, aku kena cepat sampai ke rumah Lan. Dulu, laluan motorsikal inilah yang aku selalu guna ketika masih belajar kalau hendak ke Shah Alam.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-12-2015 01:50 PM | Show all posts
Baru sepuluh minit perjalanan, hujan renyai mula turun. Aku yang masih terkedek-kedek menunggang motorsikal terpaksa berhati-hati dengan jalan licin. Tambah lagi jalan laluan motorsikal yang agak sempit dan gelap. Saat aku hampir dengan terowong, hati aku mula berdebar. Harap-harap tiada apa yang berlaku nanti. Memang gelap dan sukar melihat keadaan jalan. Aku redah saja.
"Apa pulak kat depan tu.." Aku perlahankan motorsikal. Dalam samar cahaya lampu jalan di hujung sebelah kanan, kelihatan seorang lelaki sedang menundukkan wajahnya. Dalam keadaan hujan renyai begitu, sukar untuk aku mengenalpasti keadaan lelaki itu.

"Mana pulak dia ni datang?"

Sempat aku melilau melihat sekitar. Kali ini terasa motorsikal aku berat dan tidak selaju tadi. Sudah terasa seperti ada tong simen belakang tempat duduk. Berat yang amat! Aku cuba pecut tetapi masih di tahap 20km sejam. Adoih! Apa pulak kali ni!

Lelaki tadi semakin menghampiri motorsikal aku yang bergerak macam siput. Aku menggelabah. Semakin dekat lelaki itu menghampiri, semakin jelas aku melihat keadaan tubuhnya. Darah! Meleleh darah mengalir dari badannya dan dibawa arus air hujan ke jalan tar laluan motorsikal. Aku menelan liur. Kali ini aku terasa hilang kawalan. Pedih muka terkena pantulan air hujan tak usah cerita. Malam ini pulalah aku pakai helmet yang tidak bertutup.Nasiblah!

Aku cuba memecut motorsikal tetapi masih sama kelajuannya. Lelaki itu yang hanya tunduk saja dari tadi kini sudah mula mengangkat muka. Membuntang aku melihat mukanya penuh darah dan isi daging meleleh jatuh dari pipi. Mata aku beralih pada kakinya yang tempang. Longlai kaki milik lelaki itu seperti sudah patah dua! Kaki lelaki itu diheret menghampiri aku.

"Allahuakhbar!!!"

Entah dari mana aku melaungkan perkataan keramat itu. Sesaat itu juga, motorsikal aku terus memecut laju meninggalkan lelaki kaki tempang dengan muak penuh darah.


Lega, akhirnya aku sampai juga di halaman rumah Lan.  Aku bunyikan hon kerana hujan semakin lebat. Motorsikal aku letakkan di depan garaj pintu depan rumah.

"Sham! Rajin kau datang hujan macam ni!" Laung Lan dari depan pintu yang sudah terbuka.

Aku berlari masuk ke tempat teduh. Hujan renyai tadi sudah mula lebat. . "Tadi masa aku keluar rumah, belum hujan lagi. On the way ke sini, hujan renyai..la ni dah nak lebat."

Tanpa pelawaan dari Lan, aku terus saja masuk ke ruang tamu. Baju kemeja aku agak basah. Sejuk dalam hujan tadi semakin terasa bila disimbahi pula rasa sejuk aircond rumah Lan. Terketar-ketar. Bukan kesejukan hujan yang buat aku menggeletar sebenarnya. Kejadian di terowong tadi yang membuatkan aku merasa cuak.

"Nah..ambil tuala ni." Lan menghulurkan tuala.

Aku mula mengelap mana yang patut. Rambut aku pun sudah basah kuyup.

"Kau ni..gigih nak datang rumah aku ni. Macamlah tak boleh tunggu esok pagi. Kan esok dah hari Sabtu." Lan gelakkan aku.

"Manalah aku tahu nak hujan. Tadi masa kat rumah aku, cuaca terang je. Banyak bintang kat langit. lagipun, aku ada hal penting ni.." Aku yang sudah siap mengelap rambut, mula berehat seketika melepaskan penat berhujan dalam gelap tadi.

"Apa dia? Kejap..sebelum kau cerita, aku nak buat kopi panas. Barulah ada umpphh!" Lan ketawa sambil berlalu pergi ke ruang dapur.

Lan kembali selepas sepuluh minit di dapur. Aku mengangguk senyum. Pucuk dicita ulam mendatang kata orang. Nampaknya aku langkah kanan. Kopi o panas bersama ubi kayu rebus dan kelapa parut memang terangkatlah!

"Mana kau dapat ubi ni Lan?" Aku pula teruja, sebiji ubi kayu rebus aku ambil. Sungguh empuk!

"Jiran aku yang beri petang tadi. Aku rebus la..itu je yang aku tahu masak." Lan gelak lagi.

"Eh, macam ni pun dah ok. Aku suka makan rebus je..kalau dah jadi kuih..sorry la, aku tak makan sangat." Jawab aku, sebiji lagi  ubi rebus aku ambil.

"Emm..apa hal penting tadi yang kau nak cakap?"

Aku habiskan ubi rebus dan aku mula seluk poket seluar. Sekeping sampul berisi foto gadis yang diberikan nenek aku hulur kepada Lan. Aku menyambung kembali mengunyah.

"Siapa ni?" Lan sudah berkerut keningnya.

Aku tidak terus menjawab. Aku biarkan Lan meneliti foto itu. Cawan berisi kopi o panas aku teguk perlahan. Masih panas. "Itu gambar perempuan yang nenek aku kasi masa kat kampung minggu lepas."

"Jadi??" Lan masih tidak faham. "Aku tahu! Ni bakal bini kau kan?"

Belum sempat aku menjawab, Lan sudah memetik jari dengan muka ceria. Bulat matanya memandang aku. Sengih tak usah cerita. Aku senyum kelat. Kopi o panas aku habiskan sebelum mulakan bicara.

"Nenek aku yang sibuk...mak aku tak ada pun nak paksa aku tapi bukan itu yang aku nak beritahu kau. Kau tahu tak..muka perempuan ni sama dengan perempuan yang muncul dalam  mimpi.." Aku beritahu apa yang terbuku dalam minda aku.

Muka Lan sudah berubah riak. Pelik memandang aku dengan jelingan. Kening terangkat. Aku biarkan saja. Macam itulah juga rupa Ameng di pejabat tadi. Malas aku nak cerita lebih lanjut. Tentu Lan akan gelakkan aku.

"Kau kenal dia ni?" Lan kalihkan mata ke arah aku. Riaknya masih sama.

Aku menggeleng. "Aku rasa...aku nak kenal dia ni. Mana tahu, dia boleh merungkaikan mimpi aku tu. By the way, nama dia Syakilla..."

"Emm..pelik. Tak apa..aku boleh tolong kau. Tok Pat hari tu pun cakap ada sesuatu pada mimpi kau tu. Aku percaya, dengan ada foto ni, mungkin kau boleh selesaikan masalah mimpi misteri kau tu." Lan menggaru-garu dagunya yang ada janggut sejemput.

"Persoalannya, macam mana?" Aku pula yang merasa buntu.

"Apa bengap sangat kau ni! Kan foto ni nenek kau yang bagi. Sudah tentulah nenek kau tahu mana budak ni tinggal. Kau minta alamat Syakilla ni. Ala..nenek kau tentu kasi punya sebab nampak kau berminat." Lan mula angkat kening.

Aku senyum saja. Betul juga kata Lan tetapi aku yang serba salah nanti. Kalau nenek benar-benar hendakkan aku bernikah dengan Syakilla, macam mana?? Aku mula mengangguk setuju hanya untuk menghuraikan misteri mimpi Syakilla.


"Err...Lan, aku tidur rumah kau malam ni boleh?" Aku teringat kejadian di terowong tadi. Tak mungkin aku balik malam-malam buta macam ini dan lalui pengalaman yang sama  lagi. Jam pun sudah hampir dua belas malam.

"Boleh je...lagi pun, esok kita ada projek misteri mimpi Syakilla kan?" Lan sengih.

Aku turut sengih. Biarlah Lan tidak tahu hal kejadian tadi. Maknanya esok, aku akan balik kampung sekali lagi walaupun tidak ke kampung Limau Berhantu. Aku perlu ke kampung Sireh untuk bertemu Syakilla.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-12-2015 06:36 PM | Show all posts
BAB 4


KAMPUNG SIREH

BERAS yang baru ditampi tadi disimpan semula dalam bekas. Antah beras kemudian dikumpulkan dan dimasukkan ke dalam mangkuk kecil. Nenek pesan jangan dibuang antah itu. Entah apa yang nenek hendak buat nanti dengan antah yang pada fikiran Syakilla, tidak boleh menumbuhkan padi. Syakilla capai pula sayur kangkung yang dipetik dari kebun sayur mini di belakang rumah. Hari ini lauk sayur kangkung belacan bersama ikan keli goreng berlada. Dua lauk itupun sudah cukup membangkitkan selera dia dan nenek untuk hidangan tengahari nanti.

"Apa sebenarnya nenek rahsiakan dari aku?" Syakilla mengomel sendiri.Ligat tangannya memotong sayur kangkung yang dipotong pendek-pendek.

Walau tangannya ligat memotong sayur, fikirannya melayang pada kata-kata nenek dua malam yang lepas. Sudah seminggu pengajiannya tamat dan dia kembali ke kampung tinggal bersama nenek. Dua hari lepas, nenek memberitahu niatnya untuk melihatnya berumahtangga.

"Nenek ni...entah mamat mana dia cari." Syakilla merengus lagi. "Sudahlah tak ada gambar nak tengok, bolehlah cakap mamat tu handsome, tinggi,berbudi pekerti. Hakikatnya?"

Sayur yang sudah dipotong kemudian dibasuh di tepi pili dekat dengan pintu dapur rumah. Beras yang sudah ditampi tadi dibawa masuk sekali ke dalam rumah. Satu sukat beras dimasukkan ke dalam periuk elektrik.

"Killa, hari ni masak lebih sikit."

Syakilla menoleh. Tiba-tiba nenek muncul di ruang pintu menghala ke ruang tamu. "Masak lebih? Siapa yang nak datang nek?"

"Ada la..."

Syakilla mencebik. Sejak dulu dia sukar membaca fikiran nenek. Banyak kejutan dari nenek. Kejutan yang paling ketara adalah jejaka pilihan nenek untuk calon suami. Zaman sekarang ini, mana ada lagi pilihan keluarga. Walaupun Syakilla tidak pernah ada teman lelaki, baginya dalam mencari jodoh, biarlah dia sendiri yang tentukan. Kawan-kawan satu universiti dulu pun bercinta dan berkahwin dengan pilihan sendiri.

"Nek, kalau nenek tak beritahu, Killa masak satu pot je nek." Syakilla tidak hiraukan kata-kata nenek.

"Kamu ni Killa, bak sini bekas tu." Pot beras dari tangan Syakilla disambar kasar. Azizah cebok lagi dua pot beras dan dimasukkan ke dalam periuk sebelum menyuruh Syakilla membasuh beras tadi.

"Sayur dah potong?"

Syakilla hanya mengangguk. Dia tidak berani membantah jika nenek sudah menyinga begitu. Dulu, dia pernah bertanyakan mengenai arwah ibu. Nenek langsung tidak menjawab. Arwah ibu bercerai hidup dengan ayah. Ayah pula anak orang kaya. Sampai sekarang dia tidak pernah tahu di mana ayah berada. Bila tanya pada nenek, nenek diam seribu bahasa malah ditengking pula. Dia menyambung mengupas bawang untuk menggoreng sayur dan ikan keli. Siap semua bahan, dia mula menggoreng.

"Nek..Killa dah masak sayur dan ikan goreng, Killa masuk bilik dulu ya nek. Killa nak mandi dan solat." Syakilla minta izin.

"Yalah...nanti tengahari ada tetamu nak datang.."

Syakilla yang sedang melangkah terhenti langkahnya. Lantas berpaling semula ke arah nenek. "Siapa nek?"

Azizah hanya senyum. Dia memberi isyarat supaya Syakilla masuk saja ke dalam bilik.

Syakilla kembali mengatur langkah. Usai mandi dan solat, sempat dia membaca al Quran satu halaman. Itu saja yang membuat jiwanya tenang bila otak berserabut dengan segala masalah terutama hal keluarga. Terasa dirinya tidak diperlukan oleh ayah dan nenek. Arwah ibu pun dia tidak pernah kenal. Ibu meninggal sewaktu melahirkannya 24 tahun yang lalu. Sejak itu, dia seperti dianaktirikan oleh nenek. Ada saja yang tidak kena.

Foto ibu yang disimpan dalam laci meja diambil. Dalam keadaan masih bertelekung, Syakilla menatap wajah ibunya yang manis dan ayu. Sungguh, wajah ibunya mirip sungguh dengannya. Setiap kali dia bertanya pada nenek tentang ibu, nenek memekik marah-marah. Entah apa yang tidak kena pada nenek. Pernah nenek tidak benarkannya keluar dari rumah selepas tamat SPM dulu. Malah masa hendak masuk universiti pun, nenek banyak kali main tarik tali, antara hendak benarkan atau tidak. Jenuh dia memujuk nenek untuk benarkannya ke Kuala Lumpur.

"Ibu...walaupun Killa tak pernah kenal ibu, Killa rasa dekat sangat dengan ibu." Syakilla memeluk erat foto ibu dalam dakapannya. Mata dipejam...titis jernih menitik perlahan ke pipi.

"Killa! Killa!"

Syakilla cepat-cepat letak semula foto itu dalam laci dan menanggalkan telekung. "Ya nek!!"

"Kamu buat apa dalam bilik lama sangat tu? Mari sini tolong nenek hidang lauk ni semua. Kejap lagi tetamu nak datang!" Laung nenek dari ruang dapur.

Syakilla segera melangkah ke ruang dapur. Kain batik sarung dikemaskan di pinggang dan baju kurung yang dipakai dibutang di leher. Sampai di dapur, dia mula menghidang lauk yang dimasak tadi.

"Bila tetamu nak sampai nek?"

"Kejap lagi..." Azizah menjenguk ke luar jendela. Tersenyum lebar bibirnya melihat tetamu yang dinanti sudah tiba. "Tu ha, dah sampai!"

Syakilla turut panjangkan leher melihat siapa yang datang. Tergaru-garu kepalanya melihat dua orang lelaki muda yang pada hemahnya agak sebaya dengannya, mungkin tua setahun dua saja. "Siapa pula tetamu nenek ni? Tak pernah nenek ada tamu muda macam tu. Lelaki pulak tu.."

Terjenguk-jenguk Syakilla melihat anak muda itu bersalam dengan nenek dan bersama berjalan menghala ke ruang tamu rumah. Jenuh difikirnya.

"Ya Allah!" Syakilla menutup mulut. Baru dia teringat  lelaki yang ingin dijodohkan dengannya dulu. "Apasal aku tak terfikir benda tu tadi?"

Menggelabah itik Syakilla mundar mandir di ruang dapur. Dia pasti, tentu salah seorang dari lelaki itu yang akan dijodohkan dengannya nanti. Ah, apa pun, dia perlu bersikap selamba. Dia perlu buat sesuatu yang boleh menaikkan darah lelaki itu. Biar lelaki itu  tidak jadi mengambilnya sebagai isteri. Lagi pula, dia baru saja tamat belajar, masih menanti peluang pekerjaan di Kuala Lumpur. Syakilla senyum sendiri.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-12-2015 10:25 PM | Show all posts
AKU melihat sekitar ruang tamu. Kemas dan cantik walaupun perabot tidak semewah perabot orang kaya. Tersusun kemas dan susunatur pula cukup menarik mata memandang. Dari satu sudut meja, kelihatan beberapa foto lama yang diletakkan di sudut kiri meja di sebelah pasu bunga. Sampai saja di halaman rumah tadi, aku sudah merasakan ada sesuatu yang menarik perhatian aku tentang rumah itu. Rumah bercat putih. Terus terlintas di hati tentang rumah putih dalam mimpi misteri aku dulu. Sebelum melangkah masuk ke dalam rumah, aku sempat menjenguk ke arah belakang rumah. Memang ada hutan yang agak tebal. Aku cuba amati suasana di sekeliling rumah itu. Ada sedikit persamaan dalam mimpi aku.

"Datang dari KL ke?"

Aku yang ralit melihat foto tadi dicuit oleh Lan. "Hah? Er...ya nek. Kami dari KL. Saya datang sini sebab nenek saya yang suruh..."

"Nenek tahu. Pagi tadi, nenek kamu dah beritahu pasal kamu nak datang sini. Nenek kamu sihat?" Azizah melakar senyuman manis. Wajah cucu Tok Merah itu ditatap lama. Sudah lama dia ingin menjodohkan cucu Tok Merah itu dengan Syakilla.

Aku hanya senyum kelat. Cepat sungguh nenek aku beritahu kedatangan aku ke sini. Nak buat macam mana, kalau tidak bertanya pada nenek alamat rumah Syakilla, mana aku nak cari lagi? Bukan senang nak cari rumah di kampung. Tadi, sebaik masuk saja simpang ke Kampung Sireh, aku lihat banyak rumah yang bentuk dan warna lebih kurang sama saja.

"Alhamdulillah nek. Oh ya..ni kawan saya, Lan. Kami satu kampung juga tapi lepas tamat belajar, kami tinggal kat KL. Yalah..masing-masing dah sibuk dengan kerja. Baru minggu lepas kami balik kampung." Aku membalas senyuman nenek tadi sambil mata melirik pada Lan yang turut mengangguk.

"Oh begitu. Baguslah orang lelaki kerja kuat. Nanti nak tanggung anak bini. Kita makan dulu ya! Nenek dah siapkan makanan tengahari tu. Mari!" Azizah mengajak tetamunya ke ruang dapur.

Aku dan Lan  mengikut langkah nenek tadi ke ruang dapur. Orang kata rezeki jangan ditolak. Bala jangan dicari. Sampai di ruang dapur, aku lihat nasi dan lauk sudah terhidang di atas tikar mengkuang di atas lantai kayu.  Langkah kaki aku terhenti bila melihat nenek tadi turut berhenti.

"Kenapa dengan kamu ni Killa?"

Aku dan Lan saling berpandangan. Seorang gadis berkain batik sarung dan berbaju kurung sedang berdiri di tepi muka pintu belakang dapur. Apa yang pasti, wajah gadis itu comot dengan arang. Tudung bawal hanya diselempang kiri dan kanan bahu.

"Err...nek, tadi Killa nak cari jam. Jatuh dalam bekas arang tempat bakar ikan tu.." Syakilla berkata tergagap-gagap. Matanya sempat memandang kedua lelaki yang sedang berdiri di muka pintu dapur dari arah ruang tamu.

"Dah! Pergi basuh!" Azizah menolak cucunya ke arah telaga pili di luar pintu belakang dapur. "Tu, cuci muka tu!"

Aku dan Lan masih tidak berganjak dari situ. Melihat sikap nenek Syakilla tadi, tergambar di benak yang Syakilla bukan cucu kesayangan nenek Azizah. Seperti ada sesuatu berlaku dalam keluarga itu.

"Sham, Lan, silalah! Sambil makan, kita sembang.."

Aku dan Lan mengambil tempat duduk dengan bersila di atas tikar mengkuang. Lauk ikan keli goreng berlada, sayur kangkung goreng dan sambal belacan dengan ulam pucuk pegaga cukup membuat air liur aku meleleh. Aku lihat Lan di sebelah pun sudah tidak sabar hendak merasa masakan kampung itu.

"Err...nek makan sekali la. "Lan pelawa nenek Azizah.

Aku pula mencuri pandang pada gadis yang dipanggil Killa tadi yang masih mencuci muka di pintu belakang dapur. Dari tadi aku ingin melihat wajah sebenar gadis itu, adakah sama dengan wajah perempuan yang aku lihat dalam mimpi aku atau sama dengan wajah dalam foto yang nenek beri dulu. Nampaknya, arang yang melekat pada wajah gadis itu sukar dicuci. Masih ada sisa hitam di kedua pipi dan dekat hidung dan mata. Sukar untuk aku melihat dengan jelas.

"Weh! Makanlah! Tak larilah bakal bini kau tu!"

Aku tersentak. Lan menyiku lengan aku. Sengih melihat aku ralit melihat cucu nenek Azizah tadi. Aku berdehem kecil. Lauk ikan keli aku ambil dan letak dalam pinggan nasi aku. Perlahan aku mengunyah, langsung tidak mengangkat muka kali ini. Kantoi dengan gelagat aku sendiri tadi! Tentu Lan menyangka yang aku sudah kemaruk hendak melihat rupa sebenar gadis yang dikatakan bakal isteri aku.

"Nenek faham..tak pernah jumpa kan. Jangan bimbang, cucu nenek tu cantik orangnya." Azizah tersenyum simpul. Dia akan pastikan Syakilla bernikah dengan cucu Tok Merah itu walau apa halangan sekalipun.

Aku masih diam. Kantoi pulak aku tadi. Nenek Azizah perasan agaknya aku asyik mengerling cucunya tadi. Ah, aku bukannya nak sangat pada minah tu. Aku hanya nak tengok wajah sebenar milik gadis bernama Syakilla. Itu saja! Menggerutu hati aku ketika ini.

"Oh ya...nenek kirim salam.." Aku cuba melemparkan senyuman. Aku tahu nenek akan tanya aku pasal hal itu. Nenek macam dapat membaca fikiran aku kalau aku tak sampaikan salamnya pada nenek Azizah.

"Wa'alaikumussalam..nenek sihat?"

Aku angguk. Aku kerling Lan di sebelah. Pelahap betul mamat tu. Sudah dua ekor ikan keli dibedal. Memang tak ingat orang belakang dia ni! Aku cuit lengan Lan. Lan mengangkat muka sambil terjongket kening. Aku mengetap bibir.

"Ehem...nek, tak panggil Syakilla sekali ke?" Lan mula bersuara.

"Kejap lagi dia datang..."

Aku tunduk lagi. Sudah hampir habis nasi dalam pinggan aku, Syakilla masih belum join makan. Ah, kemaruk ke aku ni nak tengok muka gadis misteri tu?

"Err...nek, macam mana nenek kenal nenek saya?" Aku mulakan bicara lagi seraya mendongak melihat nenek Azizah yang mempunyai wajah agak garang. Patutlah Syakilla seperti hendak terkucil tadi bila ditengking agak kuat.

"Oh...arwah Tok Merah tu kenal dengan arwah suami nenek dulu.."

Aku mengangguk. Suapan terakhir aku terganngu sebaik saja aku terpandang Syakilla yang sudah mula menapak ke arah kami yang sedang makan. Gadis itu duduk bersimpuh sebelah nenek Azizah. Wajahnya masih ada sisa arang. Sukar untuk aku melihat wajah sebenarnya, tambah lagi Syakilla di depannya ini bertudung. Syakilla tidak sedikitpun memandang ke arah aku dan Lan. Aku lihat dia mula menceduk lauk sayur dan seekor ikan keli dan dimasukkan ke dalam pinggan nasinya yang sudah sejuk. Ralit aku melihat dia menyuap ke mulut dengan penuh sopan selepas doa dibaca. Perghh...jadi benarlah kata nenek.

"Wei...cukuplah tu.." Lan sekali lagi menyiku lengan aku, nadanya sedikit berbisik kerana Syakilla betul-betul berhadapan dengan aku.

Azizah senyum meleret. Dia tahu tentu cucu Tok Merah itu sudah terpikat dengan Syakilla. Apa tidaknya, dia sudah berikan Syakilla jampi seri wajah tanpa Syakilla sendiri sedar. Namun, dia tahu Syakilla bukan mudah untuk diperbodohkan dalam bab seperti itu. Syakilla begitu kuat beribadah.

Tengahari itu aku dan Lan dijamu pula dengan kuih lepat pisang dan teh o panas selepas habis menjamu hidangan tengahari. Aku mengambil peluang itu untuk berbual dengan Syakilla. Ternyata gadis itu cuba mengelak dari memandang atau menentang mata aku. Aku pula yang merasa segan padanya. Lan pula sudah tersengih-sengih macam kerang busuk.

"Nek, Killa, saya balik dulu. Maaflah..saya datang ni agak tergesa-gesa. Nenek saya yang beria nak saya datang." Aku berbahjasa. Aku tahu aku sudah berbohong. Aku hanya ingin melihat rupa sebenar Syakilla. Itu saja. Setakat ini, soal hati dan perasaan aku tolak tepi.

"Yalah..senang nanti, datanglah lagi. Jangan lama-lama, nanti cucu nenek ni disambar orang lain. Putih mata nanti." pesan Azizah.

Aku senyum kelat. Sempat menjeling pada Lan di sebelah yang sudah meleret senyumannya. Aku tahu makna senyuman tadi.Sebelum aku melangkah ke kereta, sekali lagi aku melihat sekitar rumah putih itu. Kini aku pasti.
Reply

Use magic Report

Post time 20-12-2015 04:58 PM From the mobile phone | Show all posts
Mana Syakilla... Siapa Syakilla... Akupun tak tau ...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-12-2015 05:41 PM | Show all posts
BAB 5


KAKU. Itulah keadaan aku sekarang ini. Sekeliling penuh dengan sawang. Ada sebuah meja dan cermin sahaja dalam ruang itu. Yang pasti dindingnya bercat putih yang telah pudar warnanya. Aku berdiri kaku di penjuru, memerhati sekitar ruang itu. Angin menerpa masuk menyebabkan jendela terbuka luas. Aku cuba menahan angin kuat yang menerpa. Terasa habuk menyapu muka dan masuk ke dalam mata. Dalam keadaan kelam kabut itu, aku sempat melihat angin yang bertiup tadi berpusar di satu arah dekat dengan jendela tadi. Perlahan angin pusar yang kuat itu berputar semakin perlahan sehingga membentuk sesuatu.

Aku tergamam. Sebaik angin lenyap hilang entah ke mana, muncul perempuan misteri dalam mimpi-mimpi aku sebelum ini. Ya, perempuan yang selalu muncul dalam mimpi aku. Kali ini wajahnya jelas dapat aku lihat. Rambut mengurai bak puteri bunian, terselit sekuntum bunga melur di sebelah kiri telinga. Baju kurung putih seakan bersinar ronanya. Selendang putih menutupi sebahagian rambut cukup membuatkan perempuan itu ayu dan sopan di mata aku. Tiada lagi kepingan dan pecahan muka yang seperti aku lihat dalam mimpi aku sebelum ini. Tiada juga lelehan air mata darah dari kelopak matanya yang bening. Segalanya sudah tiada. Namun, wajah yang masih sayu dan sugul itu iras Syakilla, cucu nenek Azizah!

"Kau....kau siapa?" Suara menggeletar aku akhirnya terpacul juga.

Perempuan itu tidak berkata apa-apa. Matanya tajam merenung aku bagai ada sesuatu yang ingin dikatakannya. Aku mengundur setapak bila melihat perempuan itu semakin menghampiri aku.

"Kau...kau nak apa?" Aku semakin rapat dengan dinding.

"Aku ingin kau tahu siapa aku..."

Aku semakin panik. Suara yang melantun dari bibir perempuan itu sungguh merdu. Aku terdiam. Terasa suara aku sudah tersekat di kerongkong. Terasa sempit. Keadaan sekeliling sudah bertukar. Dari rumah usang dan warna putih yang pudar kini sudah bertukar segar dan baru. Segalanya indah. Aku menelan liur. Dunia apakah ini??

"Kau...kau Syakilla kan?" Aku beranikan diri bertanya. Cuba mengagak nama perempuan itu.

Aku sekali lagi menelan liur. Senyuman manis perempuan itu seolah mengiakan pertanyaan aku tadi. Liar mata aku melihat sekitar rumah itu. Perabot antik dan hiasan bunga sungguh sedap mata memandang. Aku genyeh mata. Benar, segalanya berubah. Tiba-tiba aku melihat seorang lelaki muncul di muka pintu. Aku amati lelaki itu.

"Ayah???" Aku tercengang.

Cepat saja bebola mata aku menoleh semula ke arah perempuan tadi. Perempuan itu masih tersenyum dengan pandangan tajam bagai panahan. Apa yang terjadi sebenarnya?? Aku kalih mata pada lelaki yang serupa dengan ayah aku tadi. Kelihatan lelaki itu masuk ke dalam rumah dan terus menuju ke sebuah bilik. Aku beranikan diri mengekori. Dari muka pintu bilik yang terbuka luas, aku dapat melihat ayah aku sedang mendekati seorang perempuan berkebaya nyonya. Aku cuba amati wajah perempuan itu. Ternyata bukan mak aku. Aku amati lagi...ya, itu perempuan berbaju kurung putih tadi!

Aku sembunyikan diri di tepi dinding bila terasa ayah aku menoleh ke arah pintu. Laju degupan jantung aku ketika ini. Ya Allah, betulkah  apa yang aku lihat tadi?

"Aku Syakilla..."

Terperanjat aku! Tiba-tiba perempuan berbaju kurung putih tadi muncul di depan bagai kilat! Tersenyum manis memandang aku yang sudah pucat lesi tersandar di dinding.

"Tapi....kau bukan Syakilla yang aku kenal..." Tergagap-gagap aku bersuara. Bulat mata memandang perempuan itu yang masih merenung tajam ke arah aku. Kali ini lelehan darah merah dari mata beningnya mula mengalir ke pipi. Ah! Sudah! Janganlah dia bertukar rupa lagi! Tak sanggup aku menatap rupa pecah dan kepingan.

"Kau akan kenal siapa aku...."

Sejurus itu, wajah perempuan itu bertukar menjadi wajah yang berkeping-keping dan pecah-pecah dengan air mata darah galak mengalir. Aku kaku berdiri di tepi dinding. Tidak berkutik. "Apa kaitan kau dengan Syakilla...kalau kau bukan Syakilla yang aku kenal?"

"Jawapannya  telah kau lihat tadi.."

Belum sempat aku bersuara lagi, susuk tubuh perempuan tadi perlahan bertukar menjadi angin dan lesap sekelip mata. Aku cepat-cepat mengalih mata ke arah bilik tadi. Tiada lagi kelibat ayah aku. Terus aku menerpa masuk dan mencari segenap ruang. Hanya sebentuk cincin bermata sejenis kayu. Aku segera capai cincin itu dan masukkan ke dalam poket seluar.

"Arghh!! Mana pintu keluar??" Aku mula bengang. Rumah itu tidak mempunyai pintu dan jendela. Melilau aku mencari arah keluar, tak jumpa!

Dinding yang agak usang itu aku tendang sekuat hati dengan harapan papan dinding itu tercabut. Nampaknya tiada kesan apa pun. Sekali lagi aku menendang sekuat hati aku. Sehabis tenaga yang aku ada. Masih tidak terkopak. Aku terus laungkan azan sekuat hati. Tiba-tiba terasa tubuh aku terawang-awang. Sekeliling aku pula gelap, penuh dengan pokok tinggi. Hutan??? Sekali lagi??

Dummm!!!

Dalam keadaan terawang-awang tadi, tiba-tiba aku terjatuh terjelepok di atas tanah. Arghh!!! Aku melolong kesakitan. Terasa tulang belakang aku sudah patah riut!



"ASTAGHFIRULLAHAL'AZIM!!"


Aku menggosok belakang. Perlahan aku mendongak pada pemilik suara tadi. "Kau Sopi..."

"Wei! Kau mimpi apa sampai terbaring atas lantai ni?" Sopi sudah tergelak berdiri di depan aku.

Aku cuba bangun tetapi memang terasa sakit. Sopi menghulurkan tangannya dan aku berpaut, aku gagahi untuk bangun. Sopi memapah aku duduk semula di birai katil.

"Macam mana kau boleh masuk bilik aku ni?" Aku pandang Sopi yang sudah ketawa mengekek gelakkan aku.

"Mana taknya, kau menjerit melolong tadi. Aku ingat penyangak mana yang nak merompak kau tadi! Aku terus masuk bilik kau, tengok kau dah terbongkang baring atas lantai ni."

Aku sengih saja. Aku tahu Sopi masih tidak tidur waktu ini. Sebelum masuk tidur lagi, dia sudah beritahu yang dia akan tidur lewat untuk menyiapkan laporan makmal. Gigih Sopi datang rumah sewa aku untuk berbincang dengan aku tentang kajian analisis bakteria. Aku pula yang tidak tahan mata mengantuk bila sudah hampir pukul satu pagi. Aku terus hempas tubuh atas katil, terus tak sedarkan diri.

"Aku mimpi lagi...jumpa perempuan tu.."

"Apa? Kau biar betul Sham.." Suaran Sopi sudah ketakutan kedengaran di telinga aku.

"Betul dan dia mengaku nama dia Syakilla..." Aku cuba mengingati kembali apa yang aku alami dalam mimpi tadi.

"Syakilla?? Siapa Syakilla?"

Aku geleng. Malas aku hendak bercerita panjang dengan Sopi. Hanya Lan saja tahu kisah aku dan Syakilla, cucu Azizah di Kampung Sireh itu. AKu perlu berjumpa Syakilla  dan aku perlu dapatkan penjelasan dari mak tentang ayah. Kenapa ayah muncul dalam mimpi aku bersama perempuan itu? Apa kaitan ayah dalam hal ini?



Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-12-2015 05:47 PM | Show all posts
Zamzam2013 replied at 20-12-2015 03:58 PM
Mana Syakilla... Siapa Syakilla... Akupun tak tau ...

hehehe..best kan lagu wings tu...
nah ipo belanja...


Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-12-2015 05:52 PM | Show all posts
Mokcun replied at 16-12-2015 06:19 PM
wah best!...sambung lagi ipo

terima kasih tempek cerita seram ni naa....

terima kasih mokcun...citer biasa je...

citer ni sampai bab 10 je...
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 20-12-2015 06:12 PM From the mobile phone | Show all posts
Ipo replied at 20-12-2015 09:47 PM
hehehe..best kan lagu wings tu...
nah ipo belanja...

Kan? Really nice song... Kenangan dulu2
Reply

Use magic Report

Post time 20-12-2015 06:15 PM From the mobile phone | Show all posts
Makin menarik cite ni @Ipo... Sambung lg ya...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-12-2015 09:58 PM | Show all posts
Zamzam2013 replied at 20-12-2015 05:15 PM
Makin menarik cite ni @Ipo... Sambung lg ya...

citer seram yang sendu mendu je zam
tapi ipo akan habiskan jugak...
Reply

Use magic Report

Post time 20-12-2015 10:05 PM From the mobile phone | Show all posts
Ipo replied at 21-12-2015 01:58 AM
citer seram yang sendu mendu je zam
tapi ipo akan habiskan jugak...

Of cozlah kena habiskan @Ipo... Ur the best...
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 06:58 PM GMT+8 , Processed in 0.131578 second(s), 29 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list