|
Tiada Penyingkiran, Sepah Kian Menyerlah
.jpg)
Teks oleh Razif Rosdi
KUALA LUMPUR, 14 FEB 2009: Gelanggang Raja Lawak 3 minggu ke-7 mengulangi keputusan sama seperti minggu pertama dulu apabila tiada penyingkiran berlaku, sekaligus bermakna 2 peserta bakal tersingkir pada minggu depan.
Bagaimanapun, minggu yang bertemakan Muzikal Komedi ini meriah dengan peserta dicabar untuk menyanyi sambil membuat penonton ketawa. Di samping itu, kumpulan yang semakin menyerlah, Sepah, terus memberikan persembahan yang memukau denga lawak bermesej.
"Selepas tamat raja lawak nanti, kalau anda ada show, saya akan menjadi orang pertama yang membeli tiket persembahan anda. Penyampai anda memang jelas dan chemistry Sepah memang paling ngam," kata Zaibo selaku juri tetap program itu.
Mengulas lanjut mengenai persembahan pada malam tadi, Sepah yang dianggotai oleh Shahmira Muhammad, Mohd Nadzri Zainal Abidin dan Mohd Noor Murad, bersyukur dan bergembira.
"Pujian dari Zaibo begitu menaikkan semangat kami. Alhadulillah, apa yang kami rancang telah menjadi malam ini. Syukur sangat-sangat," kata Jep mewakili Sepah.
Dalam pada itu, 3 peserta yang berada di tangga terbawah pada minggu ini ialah Am, kumpulan Chot dan LNJ. Keputusan malam tadi diumumkan oleh juri tetap, Fauziah Nawi sambil menyanyi lagu bernada hampa. |
|