PELAKON yang sedang meningkat naik, Ayda Jebat tidak pernah menduga dirinya akan disunting untuk menjadi duta produk lantaran karakter keanak-anakan yang dimiliki.Justeru, apabila dihubungi melalui e-mel oleh pengasas Aurawhite Global Sdn. Bhd., Nur Furyna Mohd. Azmir berhubung perkara tersebut, beliau terus memberi respons segera.
“Sebaik membaca kandungan e-mel tersebut, saya lantas menghubungi kak Furyna untuk bertanya apakah produk yang memerlukan saya sebagai duta. Ini kerana, saya melihat kebanyakan produk Aurawhite sebelum ini lebih kepada wanita berusia.
“Justeru, apabila mengetahui mereka bakal mengeluarkan produk kolagen khas untuk remaja, sudah tentulah saya gembira kerana ia memang sesuai dengan perwatakan saya,” tutur Ayda ketika ditemui Kosmo! di Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut anak kelahiran Melaka itu, dia memang mengetahui tentang kewujudan produk Aurawhite namun tidak pernah menggunakannya.
Lantaran itu, apabila dipilih sebagai duta, Ayda mengakui akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mempromosikan produk tersebut.
“Jujurnya saya rasa seronok dan bertuah kerana sifat keremajaan yang ada dalam diri membuatkan pihak Aurawhite mengambil keputusan untuk memilih saya sebagai duta. Nampak comel ke saya?” katanya secara berseloroh.