Imam maut terbabas elak helang atas lebuh raya
Nurul Kamal yang juga Imam Masjid As-Siddiq, Seri Iskandar maut selepas Perodua Kembara dipandunya terbabas di KM211.8 Lebuhraya WCE arah Utara, dekat Sitiawan, kelmarin dipercayai kerana mengelak burung helang di atas jalan. - Foto ihsan Bomba
MANJUNG: Imam masjid yang maut dalam kemalangan di Kilometer 211.8 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) arah Utara dekat Sitiawan di sini kelmarin dipercayai terbabas kerana mengelak haiwan. Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata pihaknya dimaklumkan tentang kejadian itu jam 4.35 petang. Menurutnya, mangsa Nurul Kamal Zulkarnain, 37, yang memandu Perodua Kembara dipercayai hilang kawalan kerana mengelak burung helang atas jalan. "Kenderaan dinaiki mangsa terbabas sendiri ke bahu jalan sebelah kiri sebelum melambung masuk ke kawasan pokok sawit di tepi jalan sebelah kiri lebuh raya terbabit.
"Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit sebelum dikeluarkan bomba. Bagaimanapun, lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan, malam tadi. Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Siti Syakilla Azmira Abd Aziz di talian 019-8804450 atau 05-6899072. Terdahulu media melaporkan, kemalangan terbabit berlaku selepas mangsa melawat isterinya, Nur Firdaus Salwa Zamrin, 30, yang baru melahirkan anak di Hospital Seri Manjung dan dalam perjalanan pulang ke Seri Iskandar untuk menyampai kuliah Maghrib di Masjid Bandar Universiti. Allahyarham Nurul Kamal meninggalkan seorang isteri dan tiga cahaya mata iaitu anak lelaki berusia dua tahun dan dua anak perempuan masing-masing berusia empat tahun dan bongsu, dua hari.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1308889/imam-maut-terbabas-elak-helang-atas-lebuh-raya
|