Edited by amiraira at 18-5-2024 11:40 AM
Boleh mandi malam, tapi jangan dua waktu ini...
"JANGAN mandi malam, tak elok. Kalau nak mandi, sebelum maghrib atau mandi selepas jam 12 malam." Kata-kata itu seringkali kita dengar daripada orang di sekeliling kita, bukan? Namun, lazimnya kita akan 'memekakkan' telinga dan melanggar 'pantang' itu. Ya, bagaimana untuk kita memenuhinya sedangkan pulang dari tempat kerja sahaja, langit sudah gelap menandakan masuknya waktu malam.
Apakah pandangan agama tentang perkara itu? Adakah memang ada nas yang melarang kita mandi pada waktu malam? Sebelum menjawab persoalan itu, perlu kita fahami bahawa Islam amat menitikberatkan tentang kebersihan. Bahkan, ALLAH SWT juga suka akan hamba-hamba-NYA yang bersih.
Hakikatnya, mandi merupakan salah satu daripada cara-cara untuk membersihkan diri. Malah, ALLAH SWT juga memerintahkan hamba-hamba-NYA supaya mandi. Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri (mengerjakannya) solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan berjunub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi (bersuci).” (Surah al-Nisa’, ayat 43)
|