Gemilang Laluan Karpet Merah Murai
16-Jan-2010 | Oleh: Haswari Ali
Bertemakan Fabulous 80's, laluan karpet merah majlis ulang tahun ke-2, portal hiburan terunggul murai.com.my ternyata meriah dengan kehadiran hampir 100 selebriti tanah air.
Hampir kebanyakanya hadir mengikut tema, terutama sekali pelakon filem sedang meningkat naik, Lisa Surihani yang telah dinobatkan sebagai perangkul Anugerah Fesyen Terbaik Artis Wanita Rafflesia-Murai daripada barisan juri pada malam itu.
Bagi penyanyi muda, Iz Sulaini (OIAM) yang berpenampilan Funky 80's turut memenangi Anugerah Fesyen Terbaik Artis Lelaki Rafflesia-Murai. Masing-masing membawa pulang set mutiara bernilai RM20,000 tajaan Rafflesia Pearl Centre.
Namun lensa kamera turut tertumpu kepada beberapa artis lain antaranya Syazliyana, Eja, Mawi & Ekin, Sheila, Linda Onn, Lisdawati, Aril, Nita & Zahid dan juga penampilan istimewa barisan artis veteran seperti Ayati Tasrip, Siti Fairuz, Azizul Khamis dan Rohana Jalil.
Suasana Royal Ballroom, Hotel Palace of Golden Horses menjadi lebih gamat lagi dengan kehadiran pelakon dan penyampai radio Raja Azura yang menyerlah sekali dengan persalinan 80-an yang pernah digayakannya ketika era berkenaan.
Begitu juga Ramlah Ram yang telah berbesar hati menyarungkan sekali pakaian yang pernah dipakainya ketika sidang media pelancaran album Kau Kunci Cinta Ku Dalam Htimu pada 1988 lalu.
Wajah pereka fesyen tempatan iaitu Amir Luqman, Hatta Dolmat, Hazwani Osman, Sya Shaharani dan Khairi Sufi juga kelihatan di karpet merah dan pentas bersama rekaan magik mereka sebagai melancarkan segmen terbaru dalam murai.com.my yang dipanggil Stailista.
Masing-masing mengaplikasikan fabrik yang ditaja oleh Jakel Kuala Lumpur dan digayakan oleh 4 model dari Ford's Model Malaysia serta peragawati terkenal Fadzlun Abbas.
Acara diserikan dengan kehadiran kaunter make-over Maybelline yang terletak berhampiran laluan karpet merah yang juga merupakan penaja utama majlis gilang-gemilang itu.
Ke udara selama lebih satu jam, acara karpet merah telah diacarakan oleh editor murai.com.my Ayie yang turut menggayakan pakaian ciptaan Syaiful Baharim dan fabrik oleh Jakel Kuala Lumpur.
Biarpun keputusan pakaian terbaik kategori artis wanita sudapun muktamad menjadi milik Lisa Surihani, tapi Mata Detektif Stalista terpaku melihat penapilan 2 lagi selebriti popular, Syazliyana dan Eja. Jika Syazliyana menyerlah dengan rekaan Michael Ong, Eja pula manis sungguh dengan persalinan yang di belinya di Eropah. Siapa lebih Stalista?