PERDANA Menteri mengucapkan tahniah kepada kontinjen negara yang meraih 111 pingat emas malam ini sekali gus muncul juara Sukan SEA ke-29.
Datuk Seri Najib Razak berkata, dengan pencapaian cemerlang itu maka sah dan nyatalah Malaysia menjadi juara keseluruhan temasya sukan dwi tahunan itu.
"Saya mengisytiharkan kontinjen Sukan SEA negara berjaya meraih 111 pingat emas seperti yang menjadi sasaran kita.
"Malaysia mencatat sejarah gemilang Sukan SEA dalam semua acara termasuk renang," katanya ketika berucap melancarkan Projek 'River of Life' dan 'Kolam Biru' di Kuala Lumpur, malam ini.
Hadir sama isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Angka 111 itu diraih pelumba trek negara, Azizulhasni Awang di Velodrom Nasional, Nilai sekaligus melepasi sasaran diletakkan kontinjen negara bagi memungkinkan negara muncul juara keseluruhan temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu.